Bazar Raya Geylang Serai, Bazar Raya Hab Tampines Kita, Bazar Raya Utara dibatalkan tahun ini
Demi keselamatan dan kemaslahatan rakyat dan penduduk Singapura, Persatuan Rakyat (PA) tidak akan menganjurkan sebarang bazar dan pasar malam berkuat kuasa Rabu (18 Mac).
SINGAPURA: Demi keselamatan dan kemaslahatan rakyat dan penduduk Singapura, Persatuan Rakyat (PA) tidak akan menganjurkan sebarang bazar dan pasar malam berkuat kuasa Rabu (18 Mac).
Ini termasuk Bazar Raya yang dianjurkan di Wisma Geylang Serai serta Bazar Raya di Hab Tampines Kita dan Bazar Raya Utara di Woodlands.
Langkah yang diumumkan oleh Persatuan Rakyat (PA) menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (18 Mac) selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan (MOH) pada 13 Mac mengenai amalan menjarakkan hubungan sosial apabila berada di tempat-tempat awam dan supaya menangguhkan atau membatalkan semua acara keramaian dan perhimpunan besar-besaran bagi mencegah penularan virus korona COVID-19.
Menurut PA, meskipun pihaknya memahami bahawa bazar-bazar sedemikian akan menceriakan dan memeriahkan lagi suasana perayaan, ia terpaksa dibatalkan kerana acara-acara seumpama itu boleh menarik ramai pengunjung dan ini akan meningkatkan lagi risiko menjangkiti COVID-19.
Menurut PA selanjutnya , mungkin ramai yang akan berasa kecewa dengan pengumuman tersebut dan keputusan sukar itu adalah sesuatu yang perlu diambil demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Bagi pameran-pameran perdagangan yang sedang berlangsung, pihak penganjur perlu mengambil langkah berjaga-jaga tambahan seperti menjalankan pemeriksaan suhu badan dan menyediakan cecair pembasmi kuman.
Bagi bazar-bazar di mana tendernya sudah diberikan pula, para penganjur dikehendaki mematuhi syarat-syarat pembatalan dan menjaga serta melindungi kepentingan para penyewa dan pembida tender.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.