Bazar Raya Geylang Serai 2024 bermula 8 Mac, berskala lebih kecil
Ia akan beroperasi dari 10.00 pagi hingga 11.59 malam dan akan dilanjutkan hingga 6.00 pagi pada malam Hari Raya, 10 April 2024.
Tempoh bazar itu lebih pendek berbanding bazar tahun lalu yang diadakan selama 36 hari iaitu yang terpanjang pernah diadakan.
Dengan tema #SemangatRaya, bazar kali ini akan mempunyai 500 gerai.
Daripada jumlah itu, sehingga 150 gerai akan menjual makanan dan minuman.
Semua gerai itu dikehendaki mempunyai sijil halal atau pemilik Muslim atau diiktiraf oleh konsultan pensijilan halal.
Gerai-gerai tersebut juga diwajibkan mempunyai dua produk makanan yang dijual pada harga S$3 setiap satu.
Ini bagi memberikan pilihan yang lebih dimampui buat pengunjung.
"Wisma Geylang Serai (WGS) berbesar hati dapat menganjurkan Bazar Raya Geylang Serai 2024 yang sangat dinanti-nantikan. Bazar perayaan ini sudah menjadi satu paparan perpaduan sosial masyarakat kita, dengan keluarga dan rakan-rakan daripada segenap lapisan masyarakat dan kaum, datang bersama untuk mengunjungi bazar, makan dan berbelanja bersama serta menikmati pelbagai kegiatan yang ditawarkan," kata Penasihat Utama WGS, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Tahun lalu, sebanyak 700 gerai ditawarkan. Jumlah lebih kecil itu dijangkakan disebabkan kerja-kerja pembangunan yang diadakan sekitar kawasan Geylang Serai.
Sebelum ini, pihak WGS juga mengumumkan had sewa bazar raya Geylang Serai ditetapkan sebanyak S$15,000.
SERTAKAN ASPEK PENDIDIKAN
Bazar tahun ini akan dianjurkan oleh S-Lite Event Support yang berjaya mendapat tender sekali lagi.
Tahun lalu, syarikat itu menganjurkan bazar Geylang Serai bersama lagi dua syarikat TLK Trade Fair and Events dan Enniche Global Trading.
Penganjur menjanjikan beberapa aspek baharu dalam bazar kali ini.
Ini termasuk menyertakan elemen-elemen pendidikan seperti paparan layar yang memaparkan gambar lama bazar Geylang Serai pada tahun 80-an dan 90-an.
Selain itu panel-panel juga akan dibangunkan untuk berkongsi beberapa fakta menarik mengenai bazar Geylang Serai.
Bazar tahun ini juga memperuntukkan 20 gerai percuma buat tujuan kemasyarakatan dan keselamatan awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.