Bazar Raya Geylang Serai 2023 bermula 17 Mac; tempoh paling lama pernah diadakan, dua tema berbeza
Tempoh Bazar Raya Geylang Serai tahun ini adalah yang terpanjang pernah diadakan.
SINGAPURA: Tempoh Bazar Raya Geylang Serai tahun ini adalah yang terpanjang pernah diadakan.
Ia akan berlangsung selama 36 hari tahun ini, bermula 17 Mac hingga 21 April.
Menurut Wisma Geylang Serai, ia lazimnya diadakan selama 33 hingga 34 hari.
Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, Muhammad Faishal Ibrahim yang juga merupakan Penasihat Utama WGS juga mendedahkan konsortium yang terpilih untuk mengadakan bazar tersebut dalam satu sidang media yang diadakan pagi tadi (26 Jan).
Konsortium tersebut merangkumi tiga syarikat iaitu S-Lite Event Support Pte. Ltd, Enniche Global Trading dan TLK Trade Fairs & Events Pte. Ltd.

Bazar Raya Geylang Serai akan beroperasi setiap hari dari 10.00 pagi hingga 11.59 malam.
Hanya pada hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, ia akan dibuka hingga jam 6.00 pagi.
Secara keseluruhannya, bazar tahun ini akan mempunyai sekitar 700 gerai iaitu peningkatan 10 kali ganda berbanding jumlah gerai yang diadakan tahun lalu.
DUA TAPAK BERBEZA DENGAN DUA TEMA BERLAINAN
Bazar Geylang Serai tahun ini akan dibahagikan kepada dua tapak berasingan.
Tapak yang pertama akan merangkumi kawasan pekarangan bangunan Wisma Geylang Serai termasuk Anjung @ WGS dan tapak kosong bersebelahan dengan bangunan itu.

Tapak yang kedua pula merangkumi kawasan sepanjang Geylang Road termasuk kawasan bersebelahan Kompleks Tanjong Katong (TKC), Kompleks Joo Chiat serta di kawasan luar Pasar Geylang Serai.

Antara kelainan bagi Bazar Raya Geylang Serai tahun ini adalah konsep yang berlainan untuk kedua-dua tapak tersebut.
Tapak pertama di perkarangan bangunan WGS akan bertemakan "Bandar Souq", di mana para penganjur berharap akan dapat menggabungkan ciri-ciri pasar dengan budaya masyarakat Melayu/Islam yang kaya dengan sejarah dan warisan.
Perkataan 'souq' bermaksud pasar atau tempat membeli-belah dalam bahasa Arab.
Ciri-ciri menarik di tapak tersebut termasuk khemah-khemah 'bedoin' dengan pengaruh Timur Tengah yang akan menjadi tempat utama untuk persembahan-persembahan atas pentas.

Rekaannya pula akan menggabungkan unsur-unsur Melayu dan Timur Tengah serta ciri-ciri yang memaparkan keunikan masyarakat berbilang kaum di Singapura.
Bazar Raya tahun ini juga akan menggunakan ciri-ciri tempat makan dua tingkat - sesuatu yang diterapkan semasa Bazar Raya pada 2019.
Ia antara lain akan memastikan kawasan itu mempunyai kerusi meja yang sesuai untuk kegunaan warga emas dan kurang upaya serta kerusi meja rendah untuk golongan kanak-kanak.
Dalam pada itu, tapak kedua di sepanjang Geylang Road pula akan bertemakan 'Bazar Jalanan' dan akan merangkumi tiga jenis hab - Hab Batik, Hab Lap Lip dan Hab Ala Turki.

Antara ciri-ciri menarik yang diterapkan tahun ini adalah pembangunan menara bazar jalanan seni grafiti yang akan menyerikan kawasan itu sepanjang bulan.
Dalam hal itu, Encik Faishal yang juga Penasihat Utama WGS berkata, "Dengan adanya ciri-ciri ini, kita mengharapkan bazar Raya pada tahun ini boleh memberikan ruang untuk masyarakat kita menikmati suasana dan perayaan Hari Raya yang kita akan sambut bersama-sama, serta pengalaman baru dan menarik."
"Ini supaya kita boleh mengimbas kembali pengalaman kita di bazar masa lampau dan meneruskan usaha untuk membina masyarakat yang gemilang," tambah beliau.
BAZAR RAYA BERKONSEPKAN '4G'
Secara keseluruhannya, Bazar Raya Geylang Serai ini akan dianjurkan dengan teras konsep '4G' iaitu Generasi, Menyumbang Kembali (Giving Back), Mesra Alam (Go Green) dan Grafiti.
Pihak penganjur berkata bahawa mereka akan memastikan bahawa Bazar Raya tahun ini adalah sesuai bagi setiap generasi, daripada golongan kanak-kanak hinggalah ke golongan warga emas.
Dalam memastikan aspek itu dititikberatkan, mereka juga akan mendapatkan vendor-vendor yang menjual makanan dan barangan seperti baju-baju yang tradisional serta yang 'hipster' atau moden.
Pengarah syarikat Enniche Global Trading, Encik Al Shiddiq Rizal berkata: "Kita harus mengikut aliran masa. Mungkin dahulu orang katanya, makanannya terlalu moden, 'hipster', kurang tradisional. Jadi pada tahun ini, kami akan cuba menerapkan unsur-unsur Timur Tengah dengan budaya Melayu. Konsepnya akan memberikan pengalaman bazar yang berlainan daripada tahun-tahun sebelumnya."
Menyumbang Kembali (Giving Back) juga merupakan antara konsep yang menyerlah buat Bazar Raya Geylang Serai tahun ini.
Menurut pihak penganjur, beberapa rak-rak masyarakat akan disediakan di merata kawasan bazar untuk menggalak masyarakat setempat untuk mendermakan barangan yang masih boleh digunakan seperti baju Hari Raya mahupun makanan tidak mudah rosak dan Halal, untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan.

Selain itu, mereka juga sedang bekerjasama dengan beberapa pihak penaja untuk menyediakan juadah berbuka pada setiap hari Isnin hingga Khamis.
Para penerima bantuan usaha tersebut termasuk para penghuni Rumah Anak Yatim Darul Ihsan dan Rumah Kebajikan Muhammadiyah yang boleh berbuka puasa di bazar itu kelak.
Selain itu, para peniaga di bazar itu juga digalak untuk menggunakan beg-beg guna semula untuk para pelanggan mereka dalam usaha untuk menjadikan edisi bazar kali ini lebih mesra alam.
Pihak penganjur juga akan melekatkan poster-poster untuk tidak menggalak para pengunjung daripada menggunakan straw plastik untuk minuman mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.