Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bazar Ramadan Geylang Serai mungkin kembali diadakan tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:
Bazar Ramadan Geylang Serai mungkin kembali diadakan tahun ini

Gambar fail. (Gambar: Wisma Geylang Serai/Facebook)

BERITAmediacorp: Bazar Ramadan di Geylang Serai mungkin dianjurkan semula tahun ini, setelah dua tahun ditiadakan ekoran COVID-19.

BERITAmediacorp difahamkan, tender terbuka bagi mendapatkan penganjur bagi bazar itu mula dibuka sejak minggu lalu (1 Mac) oleh Persatuan Rakyat (PA).

Bazar itu akan dijalankan di sekitar kawasan dalam dan luar Wisma Geylang Serai (WGS).

Permohonan bagi tender tersebut akan ditutup pada Isnin depan, 14 Mac.

(Gambar: Wisma Geylang Serai/Facebook)

Menurut maklumat yang kami dapatkan, bazar sebulan itu dijadual berlangsung sehari sebelum puasa iaitu 2 April, dan berjalan sehingga 2 Mei, iaitu pada malam Hari Raya.

Sumber-sumber bagaimanapun berkongsi bahawa ia merupakan sebuah bazar dalam skala jauh lebih kecil berbanding bazar-bazar Hari Raya sebelum pandemik. Ini bagi mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat bagi membendung penularan COVID-19.

Namun masih ada juga kemungkinan bazar di Geylang Serai perlu dibatalkan jika keadaan pandemik tidak mengizinkan.

BERITAmediacorp sudah menghubungi pihak WGS pada Isnin (7 Mac) untuk mendapatkan pengesahan, bagaimanapun belum mendapat sebarang jawapan sehingga artikel ini diterbitkan.

Namun demikian, sumber-sumber mengesahkan bahawa WGS sudahpun mengadakan satu pertemuan pada 7 Mac untuk memberi taklimat kepada syarikat-syarikat penganjur acara yang berminat dengan projek ini.

ANTARA SYARIKAT YANG BERMINAT 

Antaranya syarikat yang berminat termasuklah Enniche Global Trading yang sebelum ini pernah menganjurkan bazar fizikal dan online untuk WGS.

Semasa dihubungi, pengasasnya, Encik Mustaffa Shah memberitahu BERITAmediacorp bahawa syarikatnya sudah membuat bidaan untuk menganjurkan bazar dengan kurang daripada 40 gerai.

Ini jauh berbeza daripada lebih 1,000 gerai yang pernah diuruskannya sebelum pandemik.

Ketika itu, tambah Encik Mustaffa, harga sewa untuk gerai menjual makanan boleh mencecah sehingga S$14,000 manakala gerai-gerai pakaian dan runcit pula di antara S$3,000 hingga S$14,000.

Pihaknya juga sudahpun menarik minat daripada para pegerai untuk menyertai bazar tersebut.

Encik Mustaffa menambah, beliau kurang pasti sekiranya ada bazar yang akan dianjurkan di kawasan-kawasan lain di Geylang Serai.

Gambar fail. (Gambar: Wisma Geylang Serai/Facebook)

Sebuah lagi syarikat penganjur acara, Orange, menyatakan ia  masih menimbangkan perincian bagi tender tersebut dan belum bersedia berkongsi sebarang komen lanjut.

Semasa dihubungi pihak kami, sebuah lagi pertubuhan yang biasanya menganjurkan bazar di kawasan Geylang Serai, iaitu Kampong Ubi CC menyatakan ia tidak akan menganjurkan sebarang bazar tahun ini. 

ADA SYARIKAT MASIH BERBELAH BAGI 

Syarikat penganjur acara seperti Mak Besar SG pula menyatakan pihaknya belum mencapai kata putus sama ada akan memohon bagi tender bazar Geylang Serai itu.

"Yang kita tahu adalah mungkin ia tidak sebesar yang biasa yang kita tahulah bila bazar Ramadan, beratus-ratus pegerai kan. Tapi kali ini ia lagi terkawal. Mungkin kurang daripada 100. Jumlah sebenar saya tidak berapa ingatlah," kata Cik Haryani Othman, pengasas Mak Besar SG kepada BERITAmediacorp.

Antara faktor yang menjadi pertimbangan syarikat ini adalah daya untuk menguruskan beberapa acara buat masa ini. Ini kerana pihaknya sudahpun menganjurkan sebuah 'bazar kecil-kecilan' sejak September tahun lalu yang akan dilanjutkan sehingga bulan Ramadan. 

"Kami belum lagi membuat apa-apa keputusan. Sebab sekarang ini kita sudah ada satu acara berskala kecil dimana kita panggil Mak Besar Arcade di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi," tambahnya.

Acara itu dijangka akan memuatkan antara 16 hingga 20 gerai pada satu-satu masa dan pihaknya juga bercadang untuk meluaskan lagi ruang jualan di kawasan lapangan terbang.

Cik Haryani menambah beliau turut prihatin dengan nasib peniaga kecil-kecilan yang terjejas teruk oleh kesan pandemik. Ini juga antara sebab beliau berat hati untuk menyertai bazar-bazar yang lebih besar seperti di Geylang Serai.

"Unsur kos itu ataupun pengeluaran duit untuk bayaran sewa bagi peniaga-peniaga kecil adalah satu isu yang besar sekali sekarang. Kami bimbang kalau kami buat yang besar-besaran, ada peniaga-peniaga kecil atau sederhana yang tidak boleh mengikuti acara itu," jelasnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan