Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bazar Ramadan Downtown East digantung, tindakan diambil terhadap pengendali: SFA

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bazar dipanggil Fiesta Ramadan 2022 yang dibuka di Downtown East digantung kerana beroperasi tanpa permit yang sah. 

Demikian menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Selasa (12 Apr). 

Bazar tersebut sudah beroperasi secara haram di 1 Pasir Ris Close E!Hub@Downtown East sejak 9 April, menurut SFA. 

Sewaktu pemeriksaan pada 11 April, lapan gerai makanan sedang beroperasi, tambah SFA. 

Permohonan syarikat pengendali acara, iaitu Event Business Management, bagi bazar yang berlangsung dari 9 hingga 24 April, tidak diluluskan kerana ia tidak memenuhi syarat-syaratnya, menurut SFA. 

Ini termasuk menyediakan jadual pembersihan dan senarai penjual makanan, serta maklumat tentang sama ada mereka yang menyediakan makanan sudah menjalani latihan kebersihan makanan untuk dibenarkan menyediakan produk makanan. 

Syarikat tersebut juga tidak mengendahkan amaran yang diberikan pada 11 April supaya menghentikan operasi acara itu. 

"Memandangkan Event Business Management Pte Ltd gagal menghentikan bazar tersebut pada 11 April 2022, meskipun diberikan amaran oleh SFA, SFA menggantung operasinya mulai 12 April dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengendali tersebut atas kesalahan mengendalikan bazar sementara tanpa permit," menurut SFA. 

Pengendali bazar sementara, yang tidak mematuhi undang-undang boleh didenda sehingga S$10,000. Jika mereka merupakan pesalah berulang, pesalah tersebut berdepan hukuman denda sehingga S$20,000, penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali. 

"Di bawah Akta Kesihatan Awam Persekitaran, semua pengendali bazar sementara harus mendapatkan permit daripada SFA untuk tempoh acara tersebut. Ini membolehkan SFA memastikan bahawa para pengendali acara sudah mematuhi langkah-langkah keselamatan makanan," menurut SFA lagi. 

"Permohonan harus dihantar sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh acara itu bermula. Gerai makanan dan minuman di acara-acara sementara juga perlu mempunyai lesen SFA, dengan mereka yang menyediakan makanan harus selesai mengikuti Kursus Keselamatan Makanan Peringkat 1 yang wajib." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan