Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bazar Ramadan di lokasi bukan konvensional, tawar beraneka produk menarik

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas dua tahun ditiadakan ekoran Covid-19, bazar-bazar Ramadan kembali  bak cendawan tumbuh selepas hujan

Selain kawasan popular seperti Geylang Serai dan Kampong Gelam, muncul pula bazar-bazar lebih kecil dan menarik di tempat-tempat yang bukan konvensional.

DEWAN MAJLIS KAHWIN BERTUKAR WAJAH JADI BAZAR RAMADAN

Dewan MIURA. di Joo Chiat biasanya riuh dengan enam hingga tujuh majlis persandingan setiap hujung minggu.

Memandangkan tiada tempahan majlis walimatul urus semasa Ramadan, dewan itu berubah wajah menjadi sebuah bazar.

"Kami membuka ruang ini jadi semua pegerai boleh menyertainya untuk mengalami sesuatu yang berlainan. Juga bagi orang ramai untuk datang dan membeli-belah dalam sekitaran yang berlainan," kata Juliza, jurucakap MIURA kepada BERITAmediacorp.

Bazar "Ramadan Festival" yang mempunyai 30 gerai itu adalah anjuran syarikat Whitevellum.

Ia beroperasi selama tiga minggu dan dibuka dari Jumaat sehingga Ahad.

Syarikat Whitevellum adalah salah satu pemain utama pameran perkahwinan mempelai Melayu dan ini kali pertama ia menganjurkan bazar Ramadan.

Selain Ramadan Festival di MIURA, ia turut mengendalikan satu lagi bazar Ramadan di ruang HAUS217 di Lavender.

Pengasas Whitevellum, Rosyieqa Anuar (kiri) dan Ferrina Arriyani.

Pengasas Whitevellum, Rosyieqa Anuar (kiri) dan Ferrina Arriyani.


"Di MIURA, konsepnya lebih moden dan ramai pegerai di sini menjual baju moden dan tradisional kerana memang sesuai dengan konsep lokasinya. 

“Di HAUS217, terdapat banyak gerai makanan dan gerai minuman serta pakaian yang sesuai dengan konsep yang lebih "hip",” kata pengasas bersama Whitevellum, Ferrina Arriyani.

Harga sewa gerai yang sangat berpatutan serta tempoh sewa yang pendek turut menarik ramai peniaga baru. 

"Oleh kerana ini adalah pertama kali kami anjurkan Ramadan Festival, kami meletakkan harga sewa yang agak rendah bagi kedai-kedai online dan perniagaan dari rumah untuk sertai festival kita," kata Rosyieqa Anuar, pengasas Whitevellum.

--

Salah seorang pegerai itu adalah Cik Nadia pemilik gerai Honé Look.

"Saya hendak mencuba berniaga secara fizikal selepas sekatan COVID dilonggarkan. Saya ingin mencuba berniaga di tempat baru ini kerana saya rasa ada potensi disebabkan lokasinya di Joo Chiat," kata Nadia.

Setiap minggu, senarai pegerai di Ramadan Festival akan bertukar dengan tawaran-tawaran menarik lain.

KUNJUNGAN MENGIKUT TEMPAHAN SLOT WAKTU

Tempahan slot secara online perlu dibuat untuk mengunjungi bazar ini. 

Setakat ini, lebih 25 peratus daripada tempahan slot untuk hujung minggu pertama ini sudah ditempah.

"Jadi kita menganggarkan dalam 1,000 pengunjung akan datang pada hujung minggu ini dari Jumaat hingga Ahad," kongsi Rosyieqa.

BAZAR MAKBESAR DI LAPANGAN TERBANG CHANGI TAWAR KEPELBAGAIAN

Bazar Ramadan anjuran MakBesar pula terletak di besmen 2 Terminal 3 Lapangan Terbang Changi. 

Terdapat 20 gerai yang menjual pelbagai keperluan Ramadan dan Hari Raya.

--

Seperti Bazaar Ramadan Festival, ia menjanjikan beraneka produk baru setiap minggu.

"Konsep kita adalah kepelbagaian. Biasanya apabila kita pergi mana-mana bazar, para peniaganya kekal sama untuk selama sebulan. Tetapi 80% gerai di sini bertukar-tukar setiap minggu," kata penganjur MakBesar Cik Haryani Othman.

Cik Haryani menjelaskan beliau memilih Lapangan Terbang Changi untuk bazarnya kerana ia mesra keluarga dan turut menarik ramai pekerja serta  pengunjung Melayu/Islam.

Beliau yakin dapat menarik sehingga 50,000 pengunjung sepanjang Ramadan ini.

HARGA SEWA MAKBESAR SERENDAH S$300

Cik Haryani mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa harga sewa sebuah adalah serendah S$300 bagi seminggu.

"Changi Airport Group memberi sokongan padu kepada para peniaga kecil-kecilan, terutamanya yang ingin bangkit daripada pasca COVID-19 ini," kongsi beliau.

--

Pemilik Unique.co Cik Amy Anglia berkata beliau terdorong untuk menyertai bazar itu disebabkan harga sewanya yang amat berpatutan.

"Di MakBesar ada kelonggaran. Kontrak sewa adalah berdasarkan minggu dan bukan sebulan," kata beliau.

Para pengunjung bazar yang ditemui memberikan maklum balas yang positif.

"Saya rasa ini adalah satu inisiatif yang bagus sebab selalunya bazar diadakan di kawasan Geylang Serai.  Bagus diadakan di sini kerana ada ramai orang Melayu yang suka berbelanja di sini juga," kata Cik Nur Fatin.

Seorang lagi pengunjung Cik Siti Nurhidayah Khan bahawa beliau lebih suka bazar di Lapangan Terbang Changi kerana ia lebih selesa kerana berhawa dingin.

Bazar MakBesar di Lapangan Terbang Changi dibuka setiap hari dan akan berlangsung hingga 1 Mei ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan