Bazar Ramadan di estet perumahan kembalikan nostalgia, mudahkan penduduk beli juadah berbuka puasa
SINGAPURA: Mengembalikan nostalgia sambut Ramadan dengan membawa bazar lebih dekat lagi dengan penduduk di kawasan kejiranan.
Inilah antara daya tarikan bazar-bazar Ramadan yang diadakan di estet-estet perumahan tahun ini.
Daripada sushi hinggalah sajian tradisional Melayu, beraneka pilihan disediakan di bazar kolong blok 301 Tampines Street 32.
Para pegerai juga seronok dapat bertemu dengan jiran tetangga dan ada juga yang mahu meneruskan tradisi berjualan di situ pada bulan Ramadan.
"Saya dan mak saya sudah buka gerai di bazar ini selama 10 hingga 15 tahun sejak saya kecil lagi jadi kita rasa macam kita ingin menyambut lagi setiap tahu sebagai tradisi kita," kongsi pemilik Nuraisyah Nasi Padang, Nur Aisyah Abdul Aziz kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Bazar ini dapat mengajar saya banyak kriteria seperti khidmat pelanggan iaitu bagaimana anda melayan pelanggan dan macam mana dapat tarik pelanggan lama dan pelanggan-pelanggan setia kita," tambahnya.
KEMBALIKAN NOSTALGIA, MUDAH DIAKSES PENDUDUK
Selain mudah diakses, bazar anjuran MAEC Kelab Masyarakat Tampines Changkat itu juga berjaya mengembalikan nostalgia menyambut Ramadan, baik untuk pengunjung mahupun peniaga.
"Suasana di bawah blok ini teringat masa-masa kampung, macam ada semangat kekampungan. Dulu masa saya kecil pun ada bazar di bawah blok. Jadi bila saya dah besar ini, dapat berniaga bawah blok macam gembira," kongsi pemilik Pitstop, Rafi Marican.
Malah, sambutan dari para penduduk juga tidak menghampakan tahun ini.
Encik Rafi juga mendapati ada pelanggan yang sanggup datang dari sejauh kawasan Barat dan Utara.
"Sejauh ini, penduduk Tampines ini tidak menghampakan baik orang Melayu/Islam kita, kaum India, Cina dan kira berbilang kaum semua datang. Kadangkala setiap tahun, kita nampak kaum lain datang, Alhamdulillah amat menyokong. Orang-orang Tampines memang terbaik. Kadangkala orang Jurong dan Yishun pun datang juga, Alhamdulillah," jelas Encik Rafi.
Para penduduk yang BERITA Mediacop temui juga amat mengalu-alukan bazaar yang diadakan di kawasan kejiranan itu.
"Senang tidak perlu pergi jauh-jauh ke Geylang kerana susahkan? Jadi di bawah blok ini lagi senang," ujar Cik Zainab Saini, 59 tahun..
"Orang seperti kita yang bekerja tidak ada masa untuk balik dan masak dan kita berpuasa, jadi kita rasa lemah jadi ini sangat membantu kita jadi ia amat memanfaatkan kita," kongsi seorang lagi penduduk, Cik Anju Ibrahim, 65 tahun.
"Ia sangat bermasyarakat dan selesa juga di sini dan kadangkala, kita pun jumpa jiran dan anggota keluarga yang tinggal di daerah Timur juga," kongsi seorang lagi penduduk Tampines, Cik Siti Hajjar Mohd Idrus.
Bagi pelajar, Dion Lim, 17 tahun, bazar sebegini merupakan peluang untuk beliau cuba makanan dari tradisi dan kaum yang lain.
"Saya ingin mencuba makanan di sini yang dimasak mengikut tradisi yang lain," kongsi Dion.
"Saya rasa ia (bazar) amat mudah kerana sesetengah orang mungkin ingin turun bawah dan beli makanan di sini dan selepas sekolah, pelajar juga akan datang untuk beli makanan sebelum mereka pulang ke rumah," tambahnya.
ANJURKAN KEGIATAN MENARIK SEPERTI GERAI PERMAINAN TRADISIONAL UNTUK PENDUDUK
Berlangsung sehingga 7 April, para pengunjung juga boleh menjangkakan pelbagai kegiatan menarik pada setiap Sabtu.
Selain 11 gerai makanan yang ditawarkan di sini, Rangkaian Belia dari Tampines Changkat CC juga menganjurkan pelbagai kegiatan, antaranya gerai permainan tradisional untuk para penduduk berbilang kaum.
Ini bagi mereka mengenali sedikit sebanyak tentang adat dan budaya Melayu.
BAZAAR DI JURONG WEST DAPAT SAMBUTAN
Tidak kurang meriahnya ialah bazar di 495 Jurong West Street 41 anjuran Hajjah Amnah Catering & Services.
Ia dibuka pada Jumaat (15 Mac) dan meskipun dibuka lewat sedikit, sambutan dari penduduk tidak mengecewakan.
"Saya rasa lebih kepada jimat kos sebab kalau (makanan) kebanyakannya yang kita lebih senang jumpa terdapat dalam kejiranan itu sendiri, tidak perlu pergi jauh-jauh sangat," kongsi seorang penduduk, Encik Jamil Hashim.
"Daripada kecil lagi, bazar Jurong memang meriah jadi setiap tahun sampai sekarang, saya akan ke sini," kongsi seorang lagi pengunjung, Cik Shila Azman.
ADA PENIAGA AMBIL PELUANG BUKA GERAI SEKALI LAGI
Lebih 30 gerai makanan ditawarkan di sini dan ada peniaga yang mengambil peluang untuk berniaga di sini sekali lagi.
"Saya memang tinggal di kawasan ini sebagai penduduk Jurong. Sebenarnya saya sudah buat perniagaan ini hampir 20 tahun daripada kolong blok jadi ini merupakan tahun kedua kita adakan di gelanggang bola keranjang ini jadi memang saya selalu teruja untuk menyertainya sebab saya hanya berniaga setahun sekali di bulan Ramadan," kongsi pemilik Burger Power Gerek Seyy, Rosnah Hussain.
"Alhamdulillah, nampaknya kita dapat banyak respons memandangkan kawasan Jurong ini ramai orang yang sentiasa menantikan bazar Ramadan setiap tahun. Bukan hanya orang Melayu/Islam kita yang berpuasa tetapi juga daripada kaum lain. Mereka akan datang," tambahnya.
BAZAR DI KAWASAN KEJIRANAN BATU LONCATAN BAIK UNTUK PENIAGA BAHARU
"Kalau mereka ingin bermula berniaga, ini platform yang terbaik untuk mereka sebagai batu loncatan untuk mereka belajar berniaga dan sambutannya mungkin untuk sekarang bagus dan di lain hari di bazar atau di pasar malam, sambutannya lain pula. Jadi mereka perlu menyesuaikan diri," ujar Penyelia Fruitty Empire, Muhd Adhar.
"Kita buka kedai di sini sebab kita sudah lama dan terbiasa di sini, sudah berapa tahun pun kita akan buka di sini," tambahnya.
Bazar di Jurong West itu akan dibuka sehingga 8 April ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.