Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bazar LalooLalang kembali dengan 80% pegerai baru, berkonsep klasik era 60-an

Bazar LalooLalang yang diasaskan oleh pelakon dan pengacara Singapura, Huda Ali, bakal menyambut ulang tahunnya yang kedua tahun ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Bazar LalooLalang kembali dengan 80% pegerai baru, berkonsep klasik era 60-an

Bazar Laloolalang kembali dengan konsep ‘Singapura Classic Revival’ atau kebangkitan semula zaman klasik Singapura! (Gambar: Laloolalang/ Instagram)

BERITAMediacorp: Bazar LalooLalang yang diasaskan oleh pelakon dan pengacara Singapura, Huda Ali, bakal menyambut ulang tahunnya yang kedua tahun ini.

Sempena meraikan sambutan itu, bazar tersebut bakal kembali dengan konsep berbeza yang dapat dinikmati setiap golongan usia, iaitu ‘Singapura Classic Revival’ atau kebangkitan semula zaman klasik Singapura!

Bazar di Muzium Negara itu, yang akan diadakan dari 10 hingga 12 Februari ini, turut mengembalikan kegemilangan era 60-an hingga 80-an dengan pakaian, lagu-lagu serta permainan dari zaman tersebut.

Huda Ali memberitahu BERITAMediacorp bahawa konsep itu tercetus setelah bazar tersebut mendapat respons yang baik bagi bazar LalooLalang edisi Hari Raya di Persatuan Silat Singapura.

(Gambar: Laloolalang/ Instagram)

Bazar Laloolalang di Persatuan Silat Singapura. (Gambar: Laloolalang/ Instagram)

RUANG KELUARGA, AKTIVITI KANAK-KANAK DI LALOOLALANG

“Para pengunjung yang lebih berusia berasa seronok apabila kami mengembalikan kenangan Hari Raya pada masa lalu dengan hiasan lampu colok dan persembahan lagu. Malah, mereka juga gemar pada ruang ‘lepak’ yang kami sediakan bagi bazar-bazar yang lalu. Di samping itu, generasi baru juga mungkin belum pernah mencuba makanan serta permainan lama.

“Oleh itu, kami mengadakan bazar ini lengkap dengan dekorasi, persembahan, permainan dan beberapa makanan ‘old-school’ yang dapat dinikmati setiap peringkat usia,” ujarnya lagi, yang dihubungi BERITAMediacorp yang juga sibuk dengan siri Cantik Detektif.

Malah, menurut Huda, tarikan utama bagi bazar itu adalah ruang keluarga yang bakal disediakan. Selain dapat bersantai, aktiviti seni bagi kanak-kanak, permainan lama, tayangan filem klasik dan persembahan oleh seniman jalanan juga dapat dinikmati oleh para pengunjung.

“Sekiranya kaum ibu ingin membeli-belah, sekurang-kurangnya kaum bapa juga boleh melakukan aktiviti-aktiviti menarik bersama anak-anak mereka,” jelasnya lagi.

(Gambar: Picneeds/Instagram)

Ruang berkelah di salah sebuah bazar Laloolalang yang lalu. (Gambar: Picneeds/ Instagram)

HUDA: “80% DARIPADA PEGERAI KAMI ADALAH PEGERAI BARU”

Dengan adanya pelbagai bazar yang kian diadakan sekarang ini, Huda Ali tidak menyangkal akan persaingan yang wujud, namun beliau menganggapnya sebagai suatu perkara yang lumrah.

Ini strategi Huda seperti yang dikongsinya kepada BERITAMediacorp: “Kami berpegang pada objektif asal kami iaitu untuk memberikan platform kepada para usahawan muda untuk menjual barangan mereka.

"Kami ingin beri mereka peluang untuk berniaga dan bagi setiap bazar yang kami adakan, kami mencuba sedaya upaya untuk mengambil pegerai yang berlainan. Malah 80 peratus daripada pegerai kami adalah pegerai baru.”

“Pada masa yang sama, saya anggap ini adalah cara saya untuk memberi kembali kepada masyarakat. Saya berasa seronok menganjurkan acara sebegini. Kadang-kadang rasa seperti ibu bapa pengantin!” kongsinya.

(Gambar: Huda Ali/ Instagram)

(Gambar: Huda Ali/ Instagram)

Menurut Huda, selain ingin menggalakkan acara mesra keluarga, beliau juga ingin mengeratkan tali silaturahim antara keluarga, sahabat-sahabat lama serta para pegerai.

“Saya tidak sabar untuk menganjurkan bazar dengan konsep klasik kali ini, dan saya berharap orang ramai juga akan berkongsikan keseronokan bersama kami. Ia tentu akan menjadi hujung minggu yang menyeronokkan,” katanya lagi.

Bazar LalooLalang dengan tema ‘Singapura Classic Revival’ dibuka dari jam 12.00 tengahari hingga 10.00 malam di Muzium Negara. Tiada bayaran masuk dikenakan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan