Skip to main content

Singapura

Bazar Kampong Gelam ubah pendekatan untuk jadikannya lebih mesra keluarga, ada pengisian rohani

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bazar Kampong Gelam sudah mula dianjurkan sejak tahun 1960an lagi. Enam dekad kemudian, evolusinya bukan sahaja pada barangan dan juadah yang ditawarkan tapi juga pada fungsi dan bentuknya. 

Dewasa ini, bazar Ramadan bukan lagi sekadar tempat untuk membeli keperluan Hari Raya mahupun juadah berbuka, namun ia kini sudah menjadi sebuah titik tumpuan yang menghimpunkan masyarakat berbilang kaum dan agama, dari dalam dan luar negara.

Oleh itu, pihak penganjur perlu memikirkan pendekatan yang sesuai bagi memenuhi keperluan itu dan mengambil kira maklum balas daripada edisi-edisi sebelumnya. 

Antara perubahan ketara tahun ini ialah pada susun aturnya yang lebih lapang dan membolehkan aliran pengunjung yang lebih baik. 

Gerai-gerai yang dahulunya lebih padat kini disusun dengan jarak lebih luas di sepanjang Kandahar Street, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih selesa untuk pengunjung bergerak sambil memilih juadah berbuka.

Ini juga memudahkan untuk mereka berinteraksi dan menikmati juadah buka bersama. 

Related article image
Penambahbaikan yang dilakukan di hadapan Masjid Sultan.

Di ruang hadapan Masjid Sultan pula, penambahbaikan yang dilakukan menjadikan kawasan tersebut lebih teratur. 

Jumlah gerai dikurangkan bagi memberi keselesaan kepada jemaah serta pengunjung bazar, terutama ketika waktu solat dan berbuka puasa.

Penganjur acara Gemilang Kampong Gelam 2026, Syed Muhammad Farit Syed Ahmad menjelaskan, “Di kawasan Sultan Gate, pagar berhampiran bangunan di 45 Sultan Gate telah dialihkan dengan kerjasama pihak berkuasa, sekali gus membuka ruang yang lebih luas. Ruang tersebut kini dijadikan kawasan berbuka puasa. Kami sediakan tempat duduk yang boleh menampung sekitar 180 pengunjung. Mereka boleh berbuka dengan selesa."

Bagi memenuhi keperluan itu, jumlah gerai juga perlu dikurangkan. 

Tahun ini, sebanyak 40 gerai telah dikurangkan berbanding tahun lalu. 

Hanya 13 gerai menjual kelengkapan Hari Raya, manakala 81 lagi gerai makanan dan minuman (F&B) menawarkan juadah-juadah 'viral' dan popular di media sosial. 

Related article image
Ruang di Taman Sultan Gate turut dibuka lebih luas. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

BAZAR MESRA KELUARGA 

Pengalaman sendiri sebagai orang tua juga mendorong Encik Syed memikirkan aspek-aspek bazar yang boleh membantu ibu bapa yang membawa anak-anak kecil mereka. 

"Saya seorang bapa, saya ada anak empat. Jadi saya tahu perasaan sebagai ibu bapa waktu datang kepada bazar Ramadan. Nak beli makan untuk berbuka puasa dan pada waktu itu adalah waktu Maghrib dan saya adakan program ini supaya ibu bapa boleh tinggalkan anak-anak mereka dalam program kita. Ini bukan hanya untuk jaga anak mereka dan juga ada kasi ilmu pada waktu Ramadan, bahasa Arab dan sebagainya, 

"Mereka boleh tinggalkan anak mereka di sini dan juga membeli makanan makanan untuk berbuka puasa. Kalau terkena pada waktu solat pun mereka boleh terus menuju ke Masjid Sultan untuk menjalankan ibadah mereka selepas habis semua, boleh ambil anak mereka di sini.

Selain itu, penganjur bazar Kampong Gelam juga mengambil keputusan untuk tidak merangkumi Baghdad Street sebagai sebahagian daripada kawasan bazar seperti lazimnya. 

Ini untuk memudahkan pengunjung untuk dapat tempat letak kereta yang lebih dekat dengan ruang bazar. 

Related article image
Kawasan pentas utama bazar. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

PENGUNJUNG HARGAI KESELESAAN 

Bagi para pengunjung yang ditemui, pengurangan jumlah gerai itu tidak menjejas kemeriahan di bazar itu. 

Seorang pengunjung, Nurnadhira Abdul Razak berkata, "Suasana sangat meriah walaupun baru hari pertama, tapi sudah ramai orang mula tinjau makanan apa yang ada. Mereka sudah tak buka di Baghdad Street lagi, mungkin kerana trafik. Jadi mereka fokus di Kandahar Street sahaja. Saya rasa ia lebih baik dan tidak jejas trafik sangat,” katanya.

Bagi Melissa Esa pula, susun atur baharu memberi keselesaan kepada keluarga.

“Lebih luas, 'free and easy', boleh bawa anak-anak dan boleh rasa angin,” ujarnya.

Seorang lagi pengunjung, Adriana Jofri, turut terkejut dengan perubahan kawasan di bahagian belakang.

“Bila kami sampai terperanjat kerana di belakang tidak ada bazar, cuma tempat letak kereta sahaja. Saya rasa sekarang jauh lebih mudah sebab ramai orang, terutamanya yang datang dengan orang tua, lebih senang kerana boleh letak kereta di sini,” katanya.

Bagi Encik Mohamed Hafiz Mohamed, pemilik gerai makanan The John Goat yang pertama kali menyertai Bazar Kampong Gelam tahun ini, pengalaman berniaga di kawasan tersebut cukup berbeza berbanding bazar lain.

“Pada saya, budaya dan suasana kemelayuan di Kampong Gelam memang lain daripada tempat-tempat lain. Tambahan pula, kedudukannya yang berhampiran Masjid Sultan membolehkan kami mendengar laungan azan,” katanya.

BAZAR DIHIDUPKAN DENGAN PELBAGAI PERSEMBAHAN DAN PROGRAM

Selain deretan gerai yang menjadi tarikan utama, Kampong Gelam turut dihidupkan dengan pelbagai persembahan dan aktiviti sepanjang Ramadan, menjadikan kawasan itu bukan sekadar lokasi membeli juadah, tetapi juga ruang untuk masyarakat berkumpul dan menghayati kemeriahan bulan mulia.

Menurut Pengarah Tempat KGA, Syed Osman Alsagoff, antara perubahan ketara tahun ini ialah penganjuran aktiviti harian sepanjang minggu.

“Perubahan yang kita ketengahkan untuk tahun ini ialah aktiviti dan acara harian, iaitu daripada hari Isnin hingga ke hari Ahad. Kita ada aktiviti berteraskan agama, dengan kehadiran ustaz dan ustazah di pentas, dan kita juga berbual mengenai perniagaan serta kesejahteraan.

“Untuk hari Jumaat, Sabtu dan juga Ahad, kita ada hiburan. Sebab itu kita turut menampilkan penyanyi-penyanyi dari Malaysia, Indonesia dan juga Singapura,” jelas beliau.

Pihak penganjur turut menganjurkan pelbagai aktiviti berunsur pendidikan termasuk pertandingan al-Quran, menjadikan Bazar Kampong Gelam bukan sahaja meriah dengan jualan dan hiburan, malah sarat dengan pengisian rohani sepanjang Ramadan.

Sumber : BERITA Mediacorp/FT
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita