Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bazar Kampong Gelam turut raikan ulang tahun ke-200 Masjid Sultan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Suasana di Kampong Gelam akan lebih semarak bulan depan dengan acara bazar 'Gemilang Kampong Gelam' menjelang Ramadan ini.

Ia akan berlangsung selama 34 hari itu mulai 2 Mac di sekitar kawasan Muscat Street, Baghdad Street dan Kandahar Street dan dibuka dari 2 petang hingga 11 malam.

Sebanyak 107 gerai menjual pelbagai makanan dan kelengkapan lebaran ditawarkan, berbanding 96 gerai pada tahun lalu.

Ia turut menjanjikan pelbagai sajian menarik termasuk penampilan artis-artis tempatan dan seberang tambak seperti Alif Satar, Tomok dan Taufik Batisah.

Ceramah-ceramah motivasi akan juga diadakan pada setiap hujung minggu.

"Tahun demi tahun biasanya kita suka kalau ada yang berbeza. Idea-idea baru contohnya kita ada 'hologram'. Jadi kita ada lebih tarikan-tarikan contohnya seperti persembahan, kita ada pintu gerbang yang berbentuk dan diperbuat dari LED. Itu semua saya rasa itu satu pembaharuan. Kita juga ada pemasangan seni di situ juga. Itu menggambarkan kita mempunyai unsur budaya dan tradisi. Itu yang pertama yang kita kekalkan di sini," kata Pengerusi One Kampong Gelam, Encik Zaki Ma'arof kepada wartawan Syawal Yusoff.

BERITA Mediacorp difahamkan lebih 80 peratus gerai sudahpun disewakan, setakat ini.

Encik Zaki berkata pihaknya memastikan ia menawarkan harga sewa gerai yang dimampui.

"Mereka (Para pegerai) akan cuba menetapkan harga di mana kalau kita beli di luar pun, kalau boleh lebih murah," ujar Encik Zaki.

PELAJARI SEJARAH MASJID SULTAN SEPANJANG 200 TAHUN

Bersempena dengan ulang tahun ke-200 Masjid Sultan, orang ramai juga boleh menjangkakan pancaran cahaya istimewa pada permukaan masjid bersejarah itu.

Berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, pancaran cahaya pada tahun ini akan menampilkan sejarah masjid tersebut.

"Ia tidak menggunakan bunyi, ia menggunakan teknologi terkini seperti kod QR untuk mendapatkan bunyi. Mereka (Para pengunjung) akan saya rasa lebih mengerti, lebih memahami sejarah Masjid Sultan," kata Pengerusi Masjid Sultan, Encik Mohamed Patail.

Pancaran cahaya itu akan diadakan setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam 7.30 malam.

Encik Mohamed berkata pelbagai program dan acara telah juga disusun untuk meraikan ulang tahun Masjid Sultan.

Ini termasuk penerbitan sebuah buku peringatan, acara jamuan makan malam dan pesta makanan yang dijadualkan berlangsung pada Oktober tahun ini.

SESI IFTAR BERAMAI-RAMAI UNTUK PECAHKAN REKOD DUNIA

Dalam pada itu, satu sesi iftar beramai-ramai melibatkan lebih 1,500 orang juga bakal dianjurkan sebagai satu percubaan untuk memecahkan rekod dunia.

Acara itu yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu (23 Mac).

Orang ramai boleh menempah meja yang berharga S$300 setiap satu.

Dana hasil penjualan meja akan disalurkan kepada Masjid Sultan.

"Bukan hanya dari segi kewangan yang kita cari, yang kita akan dapat, tetapi juga dari dalam bentuk ikhlas iaitu makanan-makanan mereka (para pegerai) dan juga habuan-habuan yang kita kumpulkan, ini semua dapat menyatukan sama-sama untuk penerima yang bersedia untuk terima," tambah Encik Zaki.

One Kampong Gelam menyasarkan lebih 700,000 pengunjung tahun ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan