Bazar Kampong Gelam sudah tarik lebih setengah juta pengunjung, harap lebih ramai datang pada minggu terakhir
SINGAPURA: Dalam tempoh kurang sebulan, bazar Kampong Gelam sudah menerima lebih setengah juta pengunjung sejak ia dibuka pada 2 Mac lalu.
Jumlah itu sudah melebihi jumlah keseluruhan pengunjung di Bazar Kampong Gelam tahun lalu sepanjang 33 hari ia berlangsung.
Pihak penganjur berharap jumlah pengunjung pada tahun ini akan terus meningkat pada minggu terakhir sebelum melabuhkan tirainya pada Jumaat (5 Apr).
"Seperti yang kita sudah terima dari juruukur, sehingga ini sudah menjangkau lebih 500,000 pengunjung yang sudah ke Kampong Gelam ini. Mudah-mudahan, angka itu akan bertambah sampai akhir Jumaat nanti insya-Allah," kongsi Pengerusi One Kampong Gelam (OKG), Zaki Ma'arof.
Bazar Kampong Gelam yang bertemakan 'Gemilang Kampong Gelam', merupakan antara yang terawal membuka tirainya pada 2 Mac lalu.
BAZAR KAMPONG GELAM IBARAT SEBUAH FESTIVAL
Malah ia juga dibuka serentak pada hujung minggu konsert Taylor Swift diadakan, yang menarik ramai pelancong ke Singapura.
Mereka juga sempat berkunjung ke bazar itu yang bukan sekadar tempat menikmati makanan sahaja bahkan seakan-akan bersuasanakan sebuah festival.
Ditanya sama ada ia merupakan strategi OKG untuk memikat pelanggan, ini jawapan Encik Zaki:
"Sebenarnya tidak, itu hanya secara tidak langsung dan kebetulan ada konsert Taylor Swift jadi memang ada ramai pelancong yang ke Singapura untuk menonton konsert dan kebetulan kita juga sudah buka dan beroperasi jadi banyak juga pelancong yang melimpah ke sini untuk melihat suasana Kampong Gelam ini dengan adanya gerai-gerai yang telah dibuka."
Untuk lima hari terakhir bazar itu berlangsung, para pengunjung boleh jangkakan pelbagai acara menarik.
"Seperti biasa yang sudah dalam program kita, masih ada pertunjukan di pementasan. Kita ada mengundang artis-artis Malaysia yang saya rasa dapat menarik juga pengunjung ke sini dan acara cabutan nombor bertuah, iaitu nama-nama yang akan kita panggil yang sudah berbelanja akan menerima baucar. Itu akan dilangsungkan dan diteruskan juga," ujar Encik Zaki.
Bazar Kampong Gelam akan berlangsung hingga Jumaat (5 Apr) ini dan menawarkan lebih 115 gerai F&B dan runcit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.