Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bazar Gemilang Kampong Gelam dibuka lebih awal kepada umum jelang pelancarannya pada 6 Mac

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kawasan Kampong Gelam kembali bermandikan cahaya dengan pembukaan Bazar Ramadan pada Sabtu (2 Mac).

Pelbagai sajian menarik ditawarkan buat para pengunjung selama 34 hari iaitu tempoh yang paling panjang ia pernah diadakan.

Berdasarkan tinjauan wartawan Syawal Yusoff, suasana cukup meriah sekitar hari pertama bazar tersebut dibuka kepada orang ramai.

Malah, ramai sudah mula membanjiri bazar tersebut untuk cuba dahulu antara makanan dan minuman yang ditawarkan gerai-gerai di sana untuk mereka pilih bagi juadah berbuka puasa apabila Ramadan nanti.

Selain juadah popular tempatan seperti Nasi Beriani dan Burger Ramly, ada juga makanan-manakan 'hipster' seperti 'Sushibakes' termasuk makanan Korea dan Jepun.

Dengan tema 'Gemilang Kampong Gelam', terdapat lebih 107 gerai yang menjual pelbagai jenis produk makanan serta kelengkapan Lebaran.

Sekalipun hujan pada sebelah petang dan jalan raya serta beberapa tempat letak kereta di sana ditutup, ramai yang masih sanggup jalan jauh semata-mata untuk menjadi antara yang pertama untuk mengunjungi bazar itu.

Walau bagaimanapun, menurut penganjurnya One Kampong Gelam (OKG), beberapa langkah sudah diambil untuk memberi kemudahan dan memastikan keselamatan para pengunjung.

"Kita ada beberapa pasukan operasi yang akan memastikan tidak ada kesesakan dan supaya para pengunjung akan rasa selamat untuk membeli belah di sini," kata Encik Burhan Jumadi, penganjur.

Tambahnya: "Kita ada bekerjasama dengan beberapa rakan-rakan berkepentingan di Kampong Gelam. Salah satunya adalah Park Royal at Beach Road. Jadi kita ada laluan alternatiif bagi tempat meletak kereta kerana kami menutup banyak jalan di Kampong Gelam. Jadi kita menasihati pengunjung untuk meletakkan kereta di luar kawasan Kampong Gelam jadi tidak ada kesesakan.

BERITA Mediacorp difahamkan bahawa 85 peratus gerai di sana sudah habis disewa namun pihak penganjur agak yakin jumlah itu akan naik menjelang Ramadan nanti.

Pada hari pertama bazar itu, kira-kira 70 peratus gerai sudah dibuka - sebilangan besar merupakan gerai makanan.

Bagi para pengunjung pula, mereka mengalu-alukan langkah untuk membuka bazar tersebut lebih awal iaitu kira-kira seminggu lebih awal sebelum tibanya Ramadan.


"Ingin recce (meninjau-ninjau), ingin tahu apa ada dijual di bazar Ramadan ini. Dan juga menjelang Ramadan yang akan tiba, kami hendak lihat jika mungkin ada jual baju kurung di sini juga," kata Encik Izdiyad Syamin Rosli, seorang pengunjung bazar tersebut.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Khaliza Kamsin berkongsi: "Masa kita datang semasa Ramadan terlalu ramai sangat orang, terlalu sesak jadi kita tidak ada peluang untuk beli barang, untuk tengok-tengok sebab terlalu ramai sangat. Jadi kali ini okay kerana ia baharu dibuka, kita cuba lihat okay ke tidak. Apa-apa kedai yang ada, makanan-makanan kegemaran kita semua kan. Sebab itulah kita datang awal sikit."

Bazar itu turut menarik para pelancong serta pengunjung bukan Melayu.

"Kami membeli banyak makanan seperti burger, otak-otak dan makanan kegemaran tradisi. Jadi kami menikmati keadaan sekarang ini. Kami juga akan datang ke sini beberapa kali lagi," kata Encik Benjamin Tang yang datang bersama-sama isteri dan dua anaknya.

Selain dapat membeli-belah, terdapat beberapa elemen interaktif yang ditampilkan untuk berkongsi kekayaan sejarah Kampong Gelam dengan para pengunjung.

Bersempena ulang tahun ke-200 Masjid Sultan, sebuah pertunjukan pancaran cahaya juga mewarnai permukaan bangunannya.

Pertunjukan itu boleh disaksikan setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 7.30 malam.

Banyak lagi acara menarik juga boleh dijangkakan sehingga 5 April ini.

Ini bermula dengan pelancaran rasminya pada Rabu ini, 6 Mac.

Antara yang boleh dijangkakan ialah persembahan tarian budaya Melayu dan dikir barat serta penampilan artis-artis tempatan seperti Taufik Batisah dan Don Jany dan dari seberang tambak seperti Tomok dan Alif Satar.

Acara akan diserikan lagi dengan kehadiran penasihat Perikatan Kampong Gelam (KGA) Dr Muhammad Faishal Ibrahim sebagai tetamu terhormat dan Datuk Bandar CDC Tengah, Cik Denise Phua.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan