Bazar 'Gemilang Kampong Gelam' cuba bangkitkan semangat hidup masyarakat di kampung
SINGAPURA: Peluang untuk berkumpul, menikmati makanan dan mengenali adat dan budaya Melayu.
Bazar ‘Gemilang Kampong Gelam' yang membuka tirainya pada Sabtu (2 Mac) cuba membangkitkan nostalgia kehidupan bermasyarakat di kampung.
"Orang dahulu mahu cepat moden. Sekarang kami ingin imbau kembali ke zaman dahulu kerana rindukan semangat di kampung. Kami terapkan unsur-unsur tersebut. Sebab itu saya tidak fokus kepada estetik (dalam bazar di Kampong Gelam)," kata pengarah syarikat Eventify, Encik Kamal Rouzie kepada wartawan Fatyn Abdul Samad.
Encik Kamal mempunyai sembilan tahun pengalaman menganjurkan acara, konsert dan festival membeli belah seperti GegarFest dan RocketFest di Singapore Expo dan Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec.
Ini merupakan kali pertama syarikat mengendalikan sebuah bazar Ramadan yang berskala besar.
Sebelum ini, Eventify pernah juga menganjurkan bazar Ramadan di sekitar bekas bangunan Kompleks Tanjong Katong di Geylang Serai tetapi pada skala yang lebih kecil.
Menurut Encik Kamal, beliau mengemukakan tender bagi penganjuran bazar di Kampong Gelam atas dorongan para vendor yang pernah bekerjasama dengan syarikat beliau.
"Sebenarnya kami menerima banyak panggilan daripada para vendor dan (mereka) bertanya mengapa saya tidak cuba untuk (dapatkan tender) bazar di Kampong Gelam? Ia membangkitkan semangat saya (untuk mencuba)," kongsi Encik Kamal, 36 tahun.
Bazar ‘Gemilang Kampong Gelam’ akan berlangsung selama 34 hari mulai Sabtu ini.
Terdapat 107 gerai menjual pelbagai makanan dan kelengkapan lebaran di Bussorah Mall, Baghdad Street dan Kandahar Street.
Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus gerai sudahpun disewakan.

Tinjauan BERITA Mediacorp pada Khamis (29 Feb) mendapati bahawa kerja-kerja pemasangan khemah dan gerai sedang giat dilakukan.
Eventify diberi lima hari sahaja untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.
“Cabaran adalah baik dan kami akan tempuhinya dengan cara terbaik untuk menyediakan khemah, permaidani, gerai-gerai dan dekorasi untuk acara ini,” kata Encik Kamal.
Menurut Encik Kamal, beliau mengambil kira maklum balas para vendor yang mengambil bahagian dalam bazar pada tahun lalu.
“Sebagai penganjur bazar ini, kami harus turunkan rasa ego kami. Kalau kita rasa sesuatu itu bagus, tidak semestinya ia bagus untuk penjual. Kalau tidak ada penjual, tidak ada acara. Dari situ kami dapat banyak maklum balas, cadangan dan idea daripada para vendor,” ujar beliau.

“Bila kami bercakap tentang membuat sesuatu untuk pertama kali memang kita akan hadapi sesuatu yang kita tidak tahu. Apa yang kita tidak tahu akan mendatangkan kerisauan,” kata beliau.
Walau bagaimanapun, Encik Kamal yakin pasukannya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran yang mungkin berlaku.
Beliau berharap bazar anjurannya bukan sahaja dapat memuaskan hati pengunjung tetapi juga peniaga yang menyewa gerai sepanjang tempoh bazar itu berlangsung.
“Bazar Kampong Gelam ini ikonik. Ia satu acara negara yang dapat diraikan semua orang,” kata Encik Kamal.
Anda boleh ikuti lebih banyak perkongsian Encik Kamal dalam siri video "Buat Apa Itu?" di laman media sosial BERITA Mediacorp.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.