Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bazar Deepavali: Penjualan naik 50%-80% berbanding 2 tahun lalu

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Perniagaan di sekitar kawasan Little India bertambah rancak di hari-hari menjelang perayaan Deepavali esok.

Walaupun ada kebimbangan tentang jumlah kes Covid-19 yang kian meningkat, orang ramai tetap semangat untuk berbelanja.

Ramai yang sanggup ke sana untuk menikmati potongan harga dan ada pula semata-mata untuk menikmati suasana perayaannya.

Para pengunjung yang ditemui BERITAmediacorp mengalu-alukan kemunculan bazar Deepavali setelah dua tahun ditiadakan.

"Kami gembira kerana ada bazar. Saya berpendapat ia sesuatu yang kami amat rindukan. Dengan adanya bazar, suasananya amat menyeronokkan. Semua orang gembira dan terdapat pelbagai aktiviti di sini," ujar Encik Hem Kumar, yang sedang membuat persiapan saat-saat akhir Deepavali.

Seorang lagi pengunjung, Cik Namrata turut teruja dapat berbelanja di bazar meskipun akan tetap menyambut Deepavali secara sederhana sahaja.

"Oleh kerana kami menetap di Singapura, kami sudah terbiasa dengan langkah jarak selamat. Kami masih akan hanya menyambut Deepavali bersama anggota keluarga sahaja dan secara sederhana. Kami ingin menjaga keselamatan," kata Cik Namrata kepada BERITAmediacorp.

Menurut para pengendali kedai di kawasan bazar di Little India itu, walaupun jualan mereka pada awalnya agak perlahan, ia kini lebih memberangsangkan.

PENJUALAN NAIK 50%-80%

Malah, buat sebilangan pegerai, penjualan mereka meningkat antara 50 peratus hingga 80 peratus berbanding dua tahun lalu.

Pemilik kedai Fiza Bollywood Fashion, Encik Faisal Matal Choudry berkata: " Penjualan kami sebelum ini sangat teruk tetapi kini ia lebih baik. Respons amat baik. Jadi kami harapkan lebih baik tahun depan."

Seorang lagi pengendali kedai Cik M Kaliarasi pula berkata meskipun orang ramai masih lagi risau dek peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini, mereka tetap mahu berbelanja di bazar.

"Para pengunjung yang datang akan memakai pelitup muka. Mereka tahu bahawa mereka boleh mendapatkan segala yang diinginkan di sini dan tidak perlu singgah ke beberapa tempat," kata Cik M Kaliarasi.

Para peniaga yang tersebut berharap penjualan akan bertambah baik pada malam ini menjelang Deepavali.
Sumber : BERITA Mediacorp/NA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan