Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bazaar Singapura anjuran tiga dewan perniagaan dan perusahaan tingkatkan keupayaan pemasaran digital para peniaga

Menyediakan wadah dan peluang untuk perniagaan kecil dan sederhana (SME) serta perniagaan dari rumah (HBB) mendakap pendigitalan bagi menarik lebih ramai pelanggan serta menjadi lebih berdaya saing. 
 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menyediakan wadah dan peluang untuk perniagaan kecil dan sederhana (SME) serta perniagaan dari rumah (HBB) mendakap pendigitalan bagi menarik lebih ramai pelanggan serta menjadi lebih berdaya saing. 

Itulah yang cuba diusahakan tiga dewan perniagaan dan perusahaan menerusi kempen 'Bazaar Singapura' yang dianjurkan. 

''

Kempen bazar tersebut akan bermula esok (9 Sep) hingga 10 Oktober bersempena Jualan Raksasa Singapura (GSS). 

'BAZAAR SINGAPURA' DIADAKAN SECARA ONLINE, DAPAT JANGKAU LEBIH RAMAI PENIAGA DAN PELANGGAN 

Meskipun sekatan-sekatan COVID-19 sudah dilonggarkan, kempen bazar itu tetap diadakan secara online. 

Menurut Pengurus Pejabat Transformasi Digital DPPMS, Encik Zaki Masturi, trend membeli-belah para pelanggan serta kos lebih rendah bagi para peniaga menjadi antara sebab kempen itu tidak diadakan secara fizikal.

''

Beliau berkata: "Walaupun ramai peniaga telah kembali ke alam fizikal, namun masih terdapat 73 peratus pengguna Internet membeli-belah secara online dan 40 peratus pengguna Internet masih membeli menerusi media sosial. DPPMS sangat peka dengan trend ini dan kami ingin membantu peniaga untuk terus mengambil kesempatan dan menceburi bidang e-dagang." 

"Untuk para peniaga, mereka boleh menjual daripada mana mereka berada. Oleh kerana kos sudah dikurangkan akibat tidak perlu membayar kos sewa kedai dan sebagainya, mereka boleh memberi harga lebih murah. Ini adalah satu kebiasaan selama dua tahun kita di dalam pandemik COVID-19," tambah Encik Zaki. 

Kempen membeli-belah secara maya itu lebih tertumpu kepada selera tempatan dengan tema "For Locals, By Locals". 

''

Bazar online itu juga dijayakan hasil kerjasama oleh Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu India Singapura (SICCI). 

Ini merupakan usahasama yang pertama antara ketiga-tiga dewan perniagaan dan perusahaan tersebut.   

Encik Zaki berkata: "Oleh kerana kerjasama kami dengan Dewan Perniagaan Cina dan India, kami boleh luaskan lagi jangkauan dari segi peniaga, maknanya kita akan ada lebih produk yang lebih meluas, lebih daripada produk Melayu sahaja." 

Para peniaga yang mengambil bahagian dalam kempen 'Bazaar Singapura' hanya perlu membayar S$50 sebagai yuran pendaftaran. 

Selain itu, mereka juga boleh menyenaraikan produk-produk mereka melalui lelaman www.bazaarsingapura.sg

Sejauh ini, lebih 45 perniagaan daripada industri runcit, makanan dan minuman (F&B) dan perkhidmatan sudah mendaftarkan diri untuk kempen tersebut.

Encik Zaki berkata: "Saya harap kempen ini boleh memberi sedikit sebanyak maklumat kepada para peniaga apakah tingkah laku para pelanggan, apa yang mereka ingin beli, apakah kemahuan mereka. Mereka boleh memahami dari segi produk, strategi pemasaran dan kandungan pemasaran serta harga-harga barangan mereka, adakah ia bersesuaian atau tidak.

''
MEMPERJUANGKAN PENDIGITALAN DI KALANGAN SME DAN HBB

Memandangkan persaingan dalam industri runcit dan F&B tempatan kian lebih tinggi, pihak DPPMS merasakan adalah genting untuk para peniaga SME dan HBB untuk memanfaatkan keupayaan digital yang baru untuk menarik lebih ramai pelanggan serta kekal berdaya saing. 

Menurut Encik Zaki, antara kelemahan dalam perniagaan SME dan HBB tempatan adalah strategi pemasaran mereka. 

Beliau berkata: "Ramai peniaga yang tidak menumpukan perhatian kepada pemasaran. Mereka menumpukan perhatian mereka bagaimana untuk membuat penjualan dan bagaimana untuk mendapatkan keuntungan. Mereka kurang pasti bagaimana untuk memasarkan produk dan perniagaan serta diri mereka." 

''

Lantaran itu, para penganjur kempen 'Bazaar Singapura' antara lain bekerjasama dengan Lazada Singapore dan TikTok Singapore, untuk mencari huraian mempertingkatkan keupayaan pemasaran para peniaga. 

Menurut Encik Zaki, para peniaga bukan sahaja akan mendapat akses kepada jumlah pelanggan lebih ramai tetapi mereka juga akan mendapat lebih banyak sokongan untuk memperkukuhkan keupayaan e-dagang mereka menerusi kerjasama itu. 

"Untuk para peniaga yang mengambil bahagian dalam kempen ini, mereka boleh memanfaatkan semua pemasaran dan jangkauan yang dapat diberikan berbanding kalau mereka melakukannya sendiri dan mereka perlu membayar lebih untuk pemasaran," jelas Encik Zaki. 

Misalnya, para peniaga yang sudah mendaftarkan diri sejak bulan lalu diberi peluang untuk menyertai satu bengkel yang dianjurkan TikTok Singapore.

Bengkel tersebut bertujuan untuk para peniaga membiasakan diri dengan penggunaan aplikasi TikTok dan mempelajari fungsi e-dagang serta memanfaatkan sokongan teknikal untuk menggunakan platform-platform baru. 

'BOTAK BRISKET' MANFAATKAN SOKONGAN DIGITAL

Antara para peserta kempen Bazaar Singapura adalah pengasas perniagaan Botak Brisket, Encik Muhammad Nuridris. 

Menerusi perniagaan HBB yang dimulakannya sewaktu pandemik COVID-19 baru bermula, beliau menjual pelbagai jenis daging salai, yang berharga antara S$100 hingga S$200. 

''

Encik Nuridris yakin kempen membeli-belah itu akan dapat membantunya melebarkan sayapnya dalam industri F&B tempatan.

"Dari mula, para pelanggan saya 90 peratus berbangsa Melayu. Ada yang akan pesan untuk acara-acara perhimpunan seperti Hari Raya. Untuk Bazar Singapura, ia bukan sahaja DPPMS tetapi ada badan-badan lain juga. ia akan memberi saya peluang untuk meluaskan pelanggan saya bukan sahaja daripada bangsa kita tetapi bangsa lain," kata Encik Nuridris.

Dalam pada itu, Encik Nuridris juga akur bahawa sokongan yang beliau terima menerusi kempen tersebut, membuatnya lebih peka kepada unsur-unsur pemasaran digital bagi perniagaannya. 

Ini lebih-lebih lagi selepas menyertai bengkel TikTok bersama para peniaga lain beberapa minggu lalu. 

Beliau berkata: "Apabila saya pergi ke bengkel itu, saya memang selalu berasa ragu-ragu tentang TikTok sebab rasakan ini untuk budak-budak muda tetapi apabila saya cuba dan memahami algoritma TikTok, dan cuba menggunakan wadah itu, saya kagum dengan betapa mudahnya algoritma TikTok berfungsi."

"Kalau niat kita betul untuk membuat kandungan yang baik, tidak perlu ada mutu baik pun, ia boleh menjadi satu wadah pemasaran yang baik."

Encik Nuridris mengatakan bahawa antara perkara yang dipelajarinya semasa bengkel tersebut adalah waktu terbaik untuk memuatnaikkan kandungan serta struktur kandungan yang bersesuaian untuk para pengguna TikTok. 

Menurut beliau, pemasaran digital adalah sangat penting untuk para peniaga HBB seperti dirinya lebih-lebih lagi dengan keupayaan yang agak terhad untuk memasarkan perniagaannya. 

"Kita beroperasi di rumah. Pemasaran kita hanya melalui sebaran orang dan pemasaran digital. Kalau kita tidak menguasai pemasaran digital,  ia akan menjadi sangat sukar," kata beliau. 

''

Bagi para peniaga SME dan HBB yang berminat untuk menyertai 'Bazaar Singapura', mereka boleh membuat pendaftaran sebelum 12.00 tengah malam ini (8 Sep).

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan