Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Bazaar Kita" buka peluang peniaga HBB kembangkan perniagaan

Pandemik COVID-19 telah membuka lembaran baru kepada ramai peniaga tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pandemik COVID-19 telah membuka lembaran baru kepada ramai peniaga tempatan.

Ini termasuk pertumbuhan yang diraih melalui bidang-bidang perniagaan baru, yang turut didorong oleh proses pendigitalan yang dipercepatkan di tengah-tengah pandemik.

Seperti tiga rakan - Cik Sharifah Zainah, Cik Zawiyah Kassim dan Cik Rashida Mudafi - yang bergabung tenaga untuk melancarkan perniagaan tudung mereka di bawah jenama "Mawanour".

Cik Sharifah Zainah adalah seorang ejen hartanah, manakala Cik Zawiyah adalah dari bidang kajian pasaran dan Cik Rashida pula, seorang karyawan sumber tenaga manusia.

"Mata pencarian kami terjejas akibat COVID-19. Jadi kami mula fikirkan bagaimana untuk menjana kewangan yang lebih stabil. Selepas mengkaji trend pasaran, kami memutuskan untuk menjual tudung secara online. Kami menjual antara 50 hingga 70 helai tudung sebulan," kongsi Cik Zawiyah Kassim.

Mereka bertiga juga enggan terlepas peluang apabila ditawarkan peluang untuk membuka gerai fizikal di acara "Pasaran Bazaar Kita", anjuran Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) di Wisma Geylang Serai (WGS).

Acara tahun ini disertai seramai 65 peniaga.

Selain di WGS, gerai-gerai "Pasaran Bazaar Kita" juga dibuka di Curbside Crafters di Kampong Gelam.

Ia adalah sebahagian daripada usaha DPPMS untuk mendorong para peniaga HBB supaya memanfaatkan peluang untuk mengembangkan perniagaan masing-masing Ramadan ini.

Pada tahun lalu, "Bazaar Kita" yang hanya wujud secara online menjana nilai penjualan melebihi S$600,000.

"Tahun lalu, ia sangat berhasil. Kami mempunyai satu peniaga yang melaporkan perniagaan mereka melonjak sebanyak 114%. Jadi memang kita boleh lihat hasilnya di mana mereka dapat memanfaatkan platform Shopee," kata Pengarah SMCCI Enterprise Pte Ltd, Cik Maslina Mohamed.

Tambahnya, bazar-bazar fizikal itu membolehkan para peniaga, terutama yang baru berjinak-jinak, peluang untuk berinteraksi dengan para pelanggan.

"Sambutan kepada gerai kami sejauh ini agak menggalakkan. Ramai pelanggan yang datang untuk mencuba tudung-tudung yang kami jual sebelum membeli," kata Cik Zawiyah.

Pihak penganjur berharap perniagaan akan bertambah rancak menjelang Lebaran nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan