Bayi Tahun Baru: Sara selamat dilahirkan selepas ibu alami sakit 20 jam
Jika ramai yang berpusu-pusu ke kawasan Marina Bay untuk menonton pertunjukan bunga api bagi sambutan ambang Tahun Baru 2020, pakar perbidanan Dr Jazlan Shah Joosoph sebaliknya memilih untuk membatalkan rancangannya ke sana.

Dr Jazlan Joosoph (kanan) bantu menyambut kelahiran anak sulung Cik Nadira dan Encik Muhd Salahuddin. (Gambar: Dr Jazlan Joosoph)
SINGAPURA: Jika ramai yang berpusu-pusu ke kawasan Marina Bay untuk menonton pertunjukan bunga api bagi sambutan ambang Tahun Baru 2020, pakar perbidanan Dr Jazlan Shah Joosoph sebaliknya memilih untuk membatalkan rancangannya ke sana.
Bagaimanapun, Dr Jazlan tetap tidak terlepas daripada menikmati "kemeriahan" sempena awal pagi Tahun Baru ini.
"Saya hanya berkesempatan mendengar dentuman bunga api dari wad bersalin di Hospital Raffles, diiringi dengan jeritan pesakit meneran, suara para jururawat memberi dorongan dan tangisan bayi yang baru lahir," seloroh Dr Jazlan.
SARA BAYI TAHUN BARU 2020
Dr Jazlan membantu menyambut kelahiran bayi Tahun Baru, Sara Muhammad Salahuddin, pada jam 12.34 tengah malam tadi (1 Jan).
Sara juga bayi pertama yang disambut beliau sempena tahun baru ini.
Meskipun saban tahun beliau menyambut bayi-bayi Tahun Baru, ia tetap suatu pengalaman yang "istimewa" bagi Dr Jazlan tahun ini.
"Perasaannya tidak akan pudar. Ia selalu terasa istimewa! Pengalamannya lebih manis memandangkan bayi dilahir pada tanggal istimewa yang mudah diingat setiap tahun," kata beliau.
SEKITAR 20 JAM MENAHAN SAKIT
Yang menariknya kali ini juga, kata Dr Jazlan, kelahiran bayi Sara berlaku pada waktu larut malam, meskipun beliau meramalkan ibu kepada bayi tersebut, Cik Nadira Mohamed Samsudin, akan bersalin waktu petang atau awal malam.
Ini memandangkan Cik Nadira sebenarnya sudah mula mengalami sakit bersalin sejak jam 4.00 pagi 31 Dis. Bermakna, sekitar 20 jam menahan sakit bersalin!

(Gambar: Dr Jazlan Joosoph)
Cik Nadira, yang juga seorang eksekutif di Agensi Jagaan Bersepadu (AIC), berkongsi pengalamannya: "Kami tiba di hospital pada 5.30 pagi, tetapi leher rahim (serviks) saya hanya terbuka sepenuhnya sekitar jam 10.00 malam. Kemudian saya mula menolak keluar bayi (push) pada 11.30 malam."
LAHIR DUA MINGGU LEBIH AWAL
Sara selamat dilahirkan dua minggu lebih awal sekitar sejam kemudian dengan berat badan 2.88 kilogram.
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan kelahiran selamat dan lancar anak sulung saya ini.
"Tarikh kelahiran yang dijangkakan (EDD) sebenarnya jatuh pada 15 Januari. Melahirkan bayi pada Tahun Baru tidak dirancang, tetapi ia tentu sekali anugerah indah daripada Allah sedang kami melayari tahun baru ini dengan kelahiran anak kami," ujar Cik Nadira, yang bakal menginjak usia 27 tahun.
Cik Nadira dan suaminya Encik Muhammad Salahuddin Misnari, yang bernikah pada Februari lalu, turut melahirkan harapan agar anak, dan diri mereka juga, dalam keadaan sihat supaya anak mereka dapat membesar dalam sekitaran yang selesa dan positif.

(Gambar: Nadira Mohamed Samsudin)
Yang pasti, Dr Jazlan juga mahu memastikan kesejahteraan para pesakitnya sehingga sanggup mengorbankan hari cuti umum dan masa bersama keluarga demi kebajikan mereka.
"Pengorbanan sudah lumrah dalam tugas saya. Ini termasuk mengorbankan masa dan tenaga pada hari-hari cuti umum dan hujung minggu.
"Secara peribadi, ini tidak menjadi masalah bagi saya kerana saya senang dengan tugas mulia sebagai doktor pakar perbidanan. Saya cukup bersedia melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini pada bila-bila masa," kata Dr Jazlan.
Tiga tahun lalu, Dr Jazlan turut mencatat sejarah dengan menyambut kelahiran enam bayi sempena Tahun Baru 2017.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.