Skip to main content

Singapura

Bayi lahir pada 2025 akan terima 'hadiah istimewa' sempena SG60

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi lahir pada 2025 akan terima 'hadiah istimewa' sempena SG60

(Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 05 Nov 2024 07:03PM Dikemas Kini : 05 Nov 2024 09:26PM
SINGAPURA: Hadiah istimewa akan diberikan kepada pasangan yang mempunyai bayi tahun depan, sedang Singapura meraikan ulang tahunnya yang ke-60.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah mengumumkan rancangan itu dalam catatan Facebook pada Selasa (5 Nov) tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Hadiah itu adalah sebahagian daripada siri program dan acara selama setahun yang akan dianjurkan pada 2025 untuk memperingati perjalanan pembangunan Singapura sebagai sebuah negara.

SG60 akan meraikan "nilai bersama yang menjadikan kita sebagai warga Singapura termasuk kepelbagaian budaya, daya tahan, keberanian, keterbukaan dan rasa kekeluargaan, sekalipun berbilang kaum, agama dan latar belakang," tulis Cik Indranee.

"Dalam konteks yang lebih luas, keluarga kita sendiri adalah bahagian penting dalam masyarakat kita - ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara kita, orang-orang tersayang.

"Untuk Singapura kekal kukuh dan berkembang maju pada tahun-tahun akan datang, kami memerlukan lebih ramai keluarga Singapura dan, sudah tentu, lebih ramai bayi warga Singapura untuk menulis kisah Singapura seterusnya," tambah Cik Indranee.

"Sebagai isyarat tentang betapa pentingnya perkahwinan dan keibubapaan kepada masa depan kita sedang kita memasuki tahun ke-60 negara kita, kami merancang hadiah istimewa untuk bayi SG60 pada tahun depan."

Sambutan SG60 telah diumumkan pada Isnin (4 Nov) oleh Perdana Menteri Lawrence Wong semasa majlis jamuan malam sempena ulang tahun ke-60 Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat Persatuan Rakyat di One Punggol.

"SG60 bukan hanya mengenai perayaan. Ia adalah dan harus menjadi peluang untuk kita semua merenung nilai-nilai bersama kita, siapa kita sebagai rakyat Singapura dan apa yang kita perjuangkan," kata PM Wong.

"Ia sepatutnya menjadi peluang untuk kita memperbaharui komitmen kita kepada Singapura, untuk memainkan peranan kita membina masa depan kita bersama."

Aktiviti tahun depan berdasarkan tema "Building Our Singapore Together" di mana rakyat Singapura dari semua lapisan masyarakat akan mempunyai lebih banyak peluang dan platform untuk berhubung dan menyumbang kepada negara dan masyarakat.

Beberapa sorotan termasuk Chingay, Exercise SG Ready, Hari Air Sedunia Singapura, Bulan Keharmonian Kaum dan Agama, Astaka Singapura di Ekspo Osaka 2025 dan Kejohanan Akuatik Dunia.
Sumber : CNA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita