Bayi ditemui tertiarap, tidak bernafas di rumah pengasuh, ditinggalkan bersendirian selama 3 jam: Siasatan koroner
SINGAPURA: Seorang bayi berusia enam bulan yang ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak bergerak di rumah pengasuhnya, telah dibiarkan bersendirian di di dalam sebuah bilik selama tiga bulan.
Demikian menurut mahkamah koroner pada Isnin (27 Mac).
Siasatan berhubung kematian bayi bernama Yong Jing Yu dibuka pada Isnin. Ibu bapa bayi itu, Encik Yong Chen Seng dan Cik Toh Jinq Lay, menghadiri perbicaraan tersebut dan mengajukan pertanyaan tentang apa yang berlaku.
Identiti pengasuh itu tidak didedahkan semasa perbicaraan tersebut.
Menurut keterangan pegawai siasatan kes berkenaan, pengasuh itu memberi makanan kepada bayi tersebut dan menidurkannya di dalam tempat bermain kanak-kanak atau 'playpen' di rumahnya sekitar pukul 3.00 petang pada 28 Disember 2021.
Pada kira-kira pukul 6.20 petang, dia ingin memandikan bayi itu tetapi mendapatinya dalam keadaan meniarap atas tilam di salah satu sudut tempat bermain itu.
Apabila dia mengangkatnya, dia menyedari muka bayi itu berwarna kebiruan dan tidak bertindak balas. Dia kemudian meminta anak lelakinya supaya menghubungi ambulans dan diberi tunjuk ajar melalui telefon oleh seorang operator untuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum paramedik tiba.
Dua daripada tiga paramedik yang tiba di tempat kejadian itu, mendapati badan bayi itu sudah sejuk.
Dia dibawa ke Hospital Besar Sengkang (SKGH) di mana bayi itu disahkan meninggal dunia pada malam itu.
Punca kematiannya tidak dapat dipastikan. Pada mulanya, punca kematian bayi itu dicatatkan sebagai kegagalan kardiorespiratori, namun ahli patalogi forensik menjelaskan ia hanya "sebab sementara" semasa menantikan siasatan lanjut.
Ibu bapa Jing Yu menanyakan beberapa soalan apabila pegawai siasatan memberi keterangan.
Pengasuh itu keluar rumah, meninggalkan dua bayi di ruang tamu, manakala Jing Yu pula di dalam sebuah bilik. Cik Toh bertanya, siapa yang menjaga bayi-bayi itu semasa pengasuh tidak berada di rumah.
Pegawai siasatan berkata, pengasuh itu ingatkan dia akan hanya meninggalkan rumah "sekejap" sahaja dan anak lelakinya yang berusia 13 tahun, akan menjaga bayi-bayi itu.
Pegawai itu menambah, tidak ada bukti bahawa anak lelaki pengasuh itu meninggalkan biliknya untuk melihat keadaan bayi-bayi tersebut.
Pegawai siasatan kes tersebut mengesahkan bahawa tiada sesiapa yang melihat keadaan bayi itu antara pukul 3.00 petang hingga 6.00 petang pada hari tersebut.
Mahkamah turut diberitahu bahawa pengasuh itu mensyaki Jing Yu menghidap penyakit semput kerana dia dan anak lelakinya turut mengalami penyakit itu. Dia dipercayai memberikan Jing Yu 1 mililiter Zemmolin pada 26 Disember 2021 tanpa kebenaran ibu bapanya.
Koroner Negara Adam Nakhoda memberi arahan kepada pegawai siasatan untuk mengambil keterangan lanjut daripada pengasuh tersebut mengenai beberapa perkara.
Ia termasuk sama ada pengasuh itu menidurkan Jing Yu dalam keadaan meniarap sambil dibedung dan sama ada kepala bayi itu berada di tempat yang sama apabila dia ditemui, berbanding dengan apabila dia diletakkan.
Dapatan tersebut akan dikeluarkan pada satu tarikh kelak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.