Bayi dibawa ke hospital; 2 kucing diselamatkan dalam kebakaran di Jurong East
Seorang bayi dibawa ke hospital pada Isnin (13 Jun) menyusuli satu kebakaran di sebuah flat HDB di Jurong East.
SINGAPURA: Seorang bayi dibawa ke hospital pada Isnin (13 Jun) menyusuli satu kebakaran di sebuah flat HDB di Jurong East.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang kebakaran di Blok 310 Jurong East Street 32 sekitar pukul 7.50 pagi.
Kebakaran itu melibatkan kandungan di dapur sebuah unit di tingkat lima, menurut SCDF dalam catatannya di laman Facebook, sambil menambah bahawa kebakaran itu berlaku di bahagian dapur sahaja.
Gambar unit yang terjejas itu menunjukkan kandungan yang hangus di bahagian dapur serta peralatan yang rosak.
Dua individu dan seorang bayi berada di unit itu ketika kebakaran, dan meninggalkan tempat tersebut sebelum pasukan bomba tiba. Bayi berkenaan dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH) sebagai langkah berjaga-jaga, kata SCDF.
Sekitar 15 orang juga dipindahkan oleh polis dari unit-unit berhampiran sebagai langkah berjaga-jaga.
Kebakaran itu dipadamkan dengan menggunakan jet air dan beg udara mampat.
SCDF menyatakan dua kucing ditemui dalam keadaan sedar dalam unit itu dan diselamatkan. Beberapa anggota bomba yang turut dilatih sebagai teknisyen perubatan kecemasan, memberi oksigen kepada dua haiwan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.