Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bayi di Singapura meninggal dunia akibat COVID-19; kematian pertama pesakit koronavirus bawah 12 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi di Singapura meninggal dunia akibat COVID-19; kematian pertama pesakit koronavirus bawah 12 tahun

Gambar: Facebook/Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH)

SINGAPURA: Singapura melaporkan kematian pertamanya disebabkan COVID-19 melibatkan pesakit berumur bawah 12 tahun.

Bayi lelaki Singapura itu berusia satu setengah tahun dan meninggal dunia pada Isnin (27 Jun), menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media.

“Punca kematiannya ialah Encephalitis akibat COVID-19, jangkitan Pernafasan Virus Syncytial dan Enterovirus,” kata kementerian itu, sambil menambah pesakit itu tidak mempunyai sejarah perubatan lain dan sebelum ini sihat.

Kementerian Kesihatan menyatakan kanak-kanak itu dirawat di Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) pada 21 Jun kerana demam panas dan sawan berulang. Dia juga semakin hilang kesedaran.

“Kanak-kanak itu dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi Kanak-kanak dalam keadaan kritikal pada 22 Jun, dan disahkan menghidap Meningoencephalitis yang teruk. Ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) untuk pesakit itu positif COVID-19 serta dua virus lain – Rhinovirus/Enterovirus dan Virus Pernafasan Syncytial,” kata MOH.

Kementerian Kesihatan menyatakan COVID-19 boleh menyebabkan penyakit yang teruk, walaupun pada kanak-kanak dan mereka yang tidak mempunyai penyakit sedia ada.

Vaksinasi mengurangkan dengan ketara kemungkinan penyakit yang teruk apabila seseorang dijangkiti.

“Semua kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun disyorkan divaksin dengan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty, terutamanya kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kronik.

“MOH, Penguasa Sains Kesihatan dan Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi COVID-19 akan mengkaji keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak di bawah umur lima tahun sebaik sahaja dokumen diserahkan kepada kami untuk penilaian oleh syarikat pengeluar,” kata MOH.

“MOH mengucapkan takziah mendalam kepada keluarga pesakit. Kami difahamkan bahawa KKH sedang berhubung dengan keluarga berkenaan untuk memberikan sokongan yang diperlukan.”
Sumber : CNA/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan