Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bayi dalam ICU NUH masih perlu lagi S$2 juta untuk jalani rawatan termahal dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi dalam ICU NUH masih perlu lagi S$2 juta untuk jalani rawatan termahal dunia

(Gambar-gambar: Syahirah Yakub)

SINGAPURA: Dalam tempoh seminggu sahaja, lebih S$1.1 juta berjaya terkumpul bagi bayi berusia dua bulan yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Nasional (NUH) untuk menjalani rawatan termahal di dunia dan bertahan hidup. 

Namun derma yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa bayi comel bernama Zayn Nabeel Abdat ini masih cukup tinggi, iaitu sebanyak sekitar $2 juta. 

Gambar dipetik dari laman Ray of Hope pada 26 Ogos. 

Jika Zayn berjaya mengumpul S$3 juta, dia mungkin akan menjadi kanak-kanak kedua di Singapura yang berjaya menjalani terapi gen dipanggil Zolgensma bagi ‘Spinal Muscular Atrophy’ (SMA) hasil sumbangan ikhlas orang ramai. 

Zayn pada 12 Ogos lalu disahkan mengalami SMA atau sejenis gangguan genetik yang menjejas sel-sel saraf. Sekiranya dia gagal mendapatkan rawatan, ototnya akan semakin melemah dan akhirnya lumpuh. 

Ini sekali gus bermakna, Zayn perlahan-lahan akan hilang keupayaan untuk bergerak dan bahkan menghirup udara segar kerana bernafas juga memerlukan pergerakan otot. 

SMA yang dialami Zayn boleh dirawat dengan terapi gen sekali sahaja – Zolgensma. Rawatan itu mampu menghalang keadaan si pesakit daripada memburuk tetapi kosnya mencecah S$3 juta. 

Lebih membimbangkan lagi, bayi yang disahkan mengalami SMA Jenis 1 seperti Zayn didapati tidak mampu bertahan lebih daripada dua tahun sekiranya tidak dapat menjalani rawatan. 

Maka itulah, ibu bapa Zayn, Encik Nabeel Salim Abdat dan Cik Syahirah Yakub, melancarkan kempen mengumpul dana.

Anak mereka kini sedang dirawat dalam ICU kerana paru-parunya mengecil dan dia sukar bernafas. 

“Setiap ibu bapa pasti ingin melihat anak mereka membesar dengan sihat. Walaupun keadaannya sekarang seperti itu, kami masih menaruh harapan itu dapat dicapai,” kata Encik Nabeel, 30 tahun, dalam wawancara bersama Mediacorp awal minggu ini. 

“Selagi dia masih bernafas, kami akan berjuang untuknya,” tambah si ibu, Cik Syahirah, seorang penjawat awam. 

Sebelum Zayn, seorang kanak-kanak berusia dua tahun menarik perhatian ramai kerana mengalami masalah kesihatan serupa. Nasib menyebelahi kanak-kanak tersebut apabila dia berjaya mengumpul dana berjumlah sekitar $2.8 juta dalam tempoh 10 hari sahaja. 

Setelah menjalani Zolgensma, Devdan Devaraj, kini sudahpun boleh berdiri dan berjalan dengan hanya memerlukan sedikit bantuan. 

Seorang lagi ibu juga pernah cuba mengumpul dana bagi jumlah setinggi S$3 juta setelah anaknya disahkan menghidapi SMA. 

Rayyan Qush yang ketika itu berusia sekitar setahun malangnya meninggal dunia dalam tidur ketika kempen mengumpul derma masih dijalankan. 

Anda boleh membuat sumbangan ikhlas bagi Zayn menerusi pautan ini
Sumber : BERITA Mediacorp/aq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan