Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bayi 1 tahun bawah jagaan suspek pengedar dadah dijumpai dalam operasi CNB

Seorang bayi lelaki berusia setahun ditemui semasa operasi yang dijalankan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB). Bayi itu dijaga oleh seorang wanita yang disyaki pengedar dadah.

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi 1 tahun bawah jagaan suspek pengedar dadah dijumpai dalam operasi CNB

Bayi dijumpai di Joo Chiat di mana suspek bersembunyi. (Gambar: CNB)

Diterbitkan : 28 Feb 2018 08:00PM Dikemas Kini : 28 Feb 2018 08:55PM

SINGAPURA: Seorang bayi lelaki berusia setahun ditemui semasa operasi yang dijalankan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB). Bayi itu dijaga oleh seorang wanita yang disyaki pengedar dadah.

Pada Isnin lalu (26 Feb), para pegawai CNB menangkap wanita berusia 33 tahun itu di kawasan Kinta Road.

Sekitar 195 gram dadah heroin dan 27 gram dadah 'Ice' turut dijumpai dalam beg yang dibawanya. Dia kemudian dibawa ke tempat persembunyiannya di Roberts Lane dan sebanyak 20 pil 'Ecstasy' dan sejumlah kecil heroin serta 'Ice' ditemui.

Semasa siasatan, para pegawai mengesyaki wanita itu mungkin mempunyai anak kerana terdapat mesej-mesej yang merujuk kepada seorang bayi dalam telefon bimbitnya.

Dia pada awalnya menafikannya namun kemudian mendedahkan bahawa dia adalah penjaga seorang bayi lelaki berusia setahun, yang dipercayai berada bersama dua lagi individu yang disyaki pengedar dadah.

Bimbang tentang keselamatan bayi itu, para pegawai CNB dan Pasukan Polis Singapura (SPF) menjalankan operasi susulan untuk mencarinya dan memburu dua suspek berkenaan.

Menerusi tindakan pantas itu, kedua-dua suspek diberkas pada 27 Februari.

Seorang lelaki berusia 51 tahun ditangkap di Joo Chiat Road. Sebelum ditangkap dia dilihat bersama bayi tersebut.

Menimbangkan keselamatan bayi itu, para pegawai CNB bertindak pantas untuk menyelamatkannya dan dalam pada itu menahan suspek lelaki berkenaan.

Selepas itu seorang pengedar dadah wanita berusia 38 tahun dan seorang lagi suspek penyalah guna dadah berusia 41 tahun diberkas di sebuah bilik hotel; di kawasan yang sama.

Sekitar 640 gram dadah heroin dijumpai di bilik itu.

Siasatan lanjut pula membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 34 tahun yang menempah bilik itu.

Dia ditangkap di kediamannya yang terletak di Rivervale Drive dan sedang disiasat atas kesalahan mengedar dadah.

Kesemua suspek yang diberkas adalah rakyat Singapura.

Bayi itu pula diserahkan di bawah jagaan Khidmat Perlindungan Kanak-Kanak Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Usaha-usaha sedang dijalankan untuk mencari ibu kandung bayi itu, yang juga diburu atas kesalahan dadah.

Pengarah Divisyen Komunikasi CNB, Sng Chern Hong berkata: "Kes ini jelas menunjukkan kesan buruk dadah. Bayi itu ditinggalkan oleh ibu kandungnya di bawah jagaan individu yang disyaki pengedar dadah. Mujur para pegawai kami berjaya mengesan bayi itu dan mencegah lebih banyak bahaya daripada menimpanya."

Siasatan ke atas kegiatan dadah semua suspek masih dijalankan. Dadah yang dirampas sebanyak 640 gram heroin itu cukup untuk memuaskan ketagihan sekitar 305 penagih selama seminggu.

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan