Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bayaran tunai kos sara hidup, cukai setem pembeli lebih tinggi: 7 perkara yang anda perlu tahu tentang Belanjawan 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Bayaran tunai kos sara hidup, cukai setem pembeli lebih tinggi: 7 perkara yang anda perlu tahu tentang Belanjawan 2023

(Gambar: Jeremy Long/CNA)

Diterbitkan : 14 Feb 2023 11:03PM Dikemas Kini : 16 Feb 2023 12:50PM

SINGAPURA: Dalam ucapan Belanjawannya tahun ini, Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata cabaran yang perlu dihadapi Singapura, termasuk tekanan inflasi.

Walaupun terdapat tanda-tanda awal bahawa kadar inflasi utama global semakin lemah, Pemerintah menjangkakan inflasi utama Singapura kekal tinggi untuk sekurang-kurangnya separuh pertama tahun ini, kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, di Parlimen pada Selasa (14 Feb).

Oleh itu, Pemerintah akan melaksanakan pelbagai langkah yang disasarkan untuk mengurangkan kesan inflasi ke atas kos sara hidup.

Berikut ialah tujuh perkara yang perlu anda tahu tentang kenyataan Belanjawan tahun ini.

1. Imbangi kesan inflasi

Pemerintah akan memberikan "bayaran khas kos sara hidup" sekali sahaja kepada warga Singapura yang layak berumur 21 tahun dan ke atas tahun ini, mempunyai taksiran pendapatan tahunan di bawah S$100,000 dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.

Bergantung pada jumlah pendapatan yang diperolehi individu itu, mereka akan menerima bayaran antara S$200 hingga S$400 Bayaran itu akan diagihkan pada bulan Jun kepada kira-kira 2.5 juta warga dewasa Singapura.

Semua isi rumah Singapura juga akan mendapat baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) sebanyak S$300 lagi pada Januari 2024.

Rakyat Singapura juga akan mendapat bayaran tunai yang lebih tinggi di bawah skim Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Mereka yang tinggal di rumah dengan nilai tahunan S$13,000 dan ke bawah akan menerima kuantum Tunai GSTV lebih tinggi daripada S$500 kepada S$700 tahun ini, dan S$850 mulai tahun depan.

Bagi mereka yang tinggal di rumah dengan nilai tahunan melebihi S$13,000 hingga S$21,000, pembayaran tunai akan meningkat daripada S$250 kepada S$350 tahun ini dan kepada S$450 mulai tahun depan.

Sebagai sebahagian daripada Pakej Jaminan, kira-kira 2.9 juta rakyat dewasa Singapura akan menerima antara S$700 dengan S$2,250 secara keseluruhan dalam tempoh lima tahun, satu tambahan sehingga S$650 daripada pakej bantuan yang diumumkan sebelum ini.

2. Bantu keluarga dapat rumah

Geran perumahan bagi pembeli kali pertama flat jualan semula ditambah sehingga S$30,000, bergantung kepada saiz flat tersebut.

Pembeli kali pertama merujuk kepada mereka yang tidak pernah menerima subsidi perumahan sebelum ini. Untuk layak menerima geran itu, mereka harus tidak memperoleh gaji lebih daripada S$14,000 sebulan, dan tidak mempunyai hartanah privet.

Pemerintah juga akan memperhalusi proses undi bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) untuk membantu kumpulan tertentu, seperti keluarga yang mempunyai anak dan pasangan muda yang sudah berkahwin dan berusia 40 tahun ke bawah yang membeli rumah pertama mereka. Langkah itu termasuk memberi mereka undi tambahan dan keutamaan membeli flat BTO.

3. Lebih banyak bantuan untuk ibu bapa

Hadiah Tunai Bonus Bayi akan ditambah sebanyak S$3,000 untuk bayi warga Singapura yang layak yang dilahirkan pada atau selepas 14 Feb 2023.

Tempoh pembayaran juga akan diselaraskan untuk menyediakan sokongan kewangan secara tetap setiap enam bulan sehingga anak itu berumur enam setengah tahun.

Geran Langkah Pertama Akaun Pembangunan Anak (CDA) akan dinaikkan daripada S$3,000 kepada S$5,000. Pemerintah juga akan meningkatkan had pemadanan bersama bagi anak pertama dan kedua sebanyak sebanyak S$1,000.

Geran Sokongan Bayi sebanyak S$3,000 yang sekarang ini disediakan bagi kanak-kanak yang lahir dari 1 Okt 2020 hingga 30 Sep 2022, akan diperluaskan kepada bayi yang lahir dari 1 Okt 2022 hingga 13 Feb tahun ini.

Cuti bapa dibayar pemerintah akan digandakan daripada dua kepada empat minggu bagi bapa yang anak mereka lahir pada atau selepas 1 Jan 2024.

Cuti penjagaan bayi tanpa gaji juga akan digandakan bagi setiap ibu bapa yang mempunyai anak berusia kurang dua tahun, daripada enam hari kepada 12 hari setahun.

Bagi bayi Singapura yang lahir atau dijadikan anak angkat mulai 1 Jan 2024, Pelepasan Anak bagi Ibu Bekerja akan ditukar daripada peratusan pendapatan yang diperoleh ibu kepada jumlah tetap.

4. Had gaji bulanan CPF dinaikkan

Had gaji bulanan CPF akan dinaikkan secara bertahap daripada S$6,000 kepada S$8,000 menjelang 2026 bagi membantu warga Singapura berpendapatan sederhana mengetepikan lebih banyak wang bagi persaraan.

Bermula September 2023, had gaji bulanan CPF akan dinaikkan sebanyak S$300 kepada S$6,300.

Ia akan meningkat kepada S$6,800 mulai Januari 2024, S$7,400 dari Januari 2025 dan S$8,000 mulai Januari 2026.

Tiada perubahan pada had gaji tahunan CPF.

5. Cukai Setem Pembeli lebih tinggi untuk hartanah bernilai lebih tinggi

Bagi hartanah kediaman, nilai hartanah yang melebihi S$1.5 juta dan sehingga S$3 juta akan dikenakan cukai sebanyak 5 peratus, manakala yang melebihi S$3 juta akan dikenakan cukai sebanyak 6 peratus, meningkat daripada kadar sekarang sebanyak 4 peratus. Perubahan itu dijangka menjejaskan 15 peratus hartanah kediaman.

Bagi hartanah bukan kediaman, nilai hartanah yang melebihi S$1 juta dan sehingga S$1.5 juta akan dikenakan cukai sebanyak 4 peratus, manakala yang melebihi S$1.5 juta akan dikenakan cukai sebanyak 5 peratus, meningkat daripada kadar sekarang sebanyak 3 peratus. Perubahan itu dijangka menjejaskan 60 peratus hartanah bukan kediaman.

Perubahan pada Cukai Setem Pembeli akan dikenakan kepada semua hartanah yang diperoleh mulai Rabu.

6. Yuran Pendaftaran Tambahan (ARF) lebih tinggi untuk kereta

Kadar ARF akan diselaraskan untuk membezakan dengan lebih baik antara kereta mewah dengan cukai lebih tinggi bagi kereta lebih mewah.

Pembeli kereta dengan Nilai Pasaran Terbuka (OMV) melebihi S$40,000 akan membayar kadar ARF lebih tinggi.

Contohnya, bagi tahap tertinggi OMV melebihi S$80,000, kadar baru ARF ialah sebanyak 320 peratus OMV, naik daripada 220 peratus sekarang ini.

Rebat ARF Pilihan (PARF) akan dihadkan pada S$60,000 untuk mengelakkan rebat yang berlebihan bagi kereta mahal  apabila pendaftarannya dibatalkan.

7. Cukai tembakau lebih tinggi

Berkuat kuasa Selasa, cukai eksais tembakau dinaikkan sebanyak 15 peratus bagi semua produk tembakau. Kenaikan itu dijangka menjana pendapatan tambahan sekitar S$100 juta setahun.

Sumber : CNA/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan