Bayaran tunai bagi pekerja bebas jika cuti sakit, masuk hospital
Mulai 17 September, semua pekerja bebas akan ditawarkan bayaran tunai setiap hari apabila mereka dimasukkan ke hospital ataupun mengambil cuti sakit.
SINGAPURA: Mulai 17 September, semua pekerja bebas akan ditawarkan bayaran tunai setiap hari apabila mereka dimasukkan ke hospital ataupun mengambil cuti sakit.
Manfaat itu boleh diraih menerusi beberapa pelan insurans baru yang dilancarkan hari ini (6 Sep), yang dapat melindungi pendapatan golongan sedemikian yang sakit atau cedera dan tidak berupaya untuk bekerja.
Persatuan Instruktor dan Jurulatih (NICA) bekerjasama dengan NTUC Income serta syarikat pemula GigaCover bagi menawarkan insurans Cuti Sakit Lebih Panjang kepada para anggotanya.
Terdapat dua jenis manfaat insurans yang boleh diraih iaitu menerima pendapatan semasa dimasukkan ke hospital serta bayaran tunai harian sepanjang cuti sakit.
Bagi cuti kerana dimasukkan ke hospital, NTUC Income menawarkan sehingga $80 setiap hari jika pekerja bebas itu ditahan sekurang-kurangnya enam jam.
Sementara itu, GigaCover membayar sehingga $200 sehari namun bayarannya akan hanya bermula empat hari selepas dimasukkan ke hospital.
Bagi cuti sakit, NTUC juga memberikan sehingga $80 sehari namun ia hanya diberikan jika pemegang polisi itu diberi cuti sakit sekurang-kurangnya lapan hari secara berturut-turut, sehingga 14 hari dalam setahun.
Bagi GigaCover pula, ia membayar sehingga $200 sehari namun ia hanya diberikan kepada mereka yang diberikan cuti sakit enam hari atau lebih secara berturut-turut, dan maksimum 21 hari dalam setahun.
Semua pengumuman itu dibuat di acara "Future of Work" atau "Pekerjaan Masa Depan" yang menghubungkan masyarakat pekerja bebas dengan syarikat-syarikat kecil dan sederhana di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.