Skip to main content

Singapura

Bayaran tanpa tunai, tetapi deposit dulang gunakan wang: Mesej mengelirukan kata pakar

Baru-baru dilaporkan sistem pemulangan dulang secara automatik, yang memerlukan para pelanggan untuk membayar deposit untuk menggunakan dulang, akan dilancarkan di sebanyak 25 pusat penjaja.

Anggaran Waktu Membaca:
Bayaran tanpa tunai, tetapi deposit dulang gunakan wang: Mesej mengelirukan kata pakar

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 31 Jan 2018 10:08PM Dikemas Kini : 31 Jan 2018 10:13PM

SINGAPURA: Baru-baru ini sistem pemulangan dulang secara automatik, yang memerlukan para pelanggan untuk membayar deposit untuk menggunakan dulang, dilaporkan akan dilancarkan di sebanyak 25 pusat penjaja.

Susulan itu, beberapa pengamat dan pakar berpendapat ia bercanggah dengan gerakan Singapura untuk menjadi negara tanpa tunai, dan juga "mengelirukan" para pelanggan biasa.

Pada Isnin (29 Jan), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan bahawa Pusat Penjaja Marsiling Mall dan pusat penjaja yang baru dinaik taraf di Blok 163 Bukit Merah mengenakan bayaran deposit S$0.50 dan S$1.00 untuk menggunakan dulang.

Ini sejajar dengan pelancaran sistem pemulangan dulang automatik dan khidmat cuci pinggan pusat yang bertujuan untuk meningkatkan daya penghasilan. Pusat penjaja yang lain di One-North dan Yishun yang diuruskan Timbre Group juga menggunakan sistem pemulangan dulang yang sama.

Minggu lalu, NETS dan EZ-Link mengumumkan bahawa pengguna kad EZ-Link dan kad konsensi boleh membuat pembayaran makanan dan minuman di 1,000 gerai di lebih 30 pusat penjaja mulai April.

Encik Michael Yeo, seorang pengurus kajian di IDC Financial Insights berkata ini memberikan isyarat yang "bercampur-campur". Pada satu pihak, para pembeli digalak membuat pembayaran tanpa tunai, tetapi di pihak lain pula, mereka perlu bayar tunai bagi deposit untuk dulang-dulang.

"Kes-kes seperti ini seringkali berlaku dalam urus tadbir, apabila dua jabatan berbeza mengendalikan dua isu berbeza dalam bidang yang berlainan," kata beliau.

Tambah beliau lagi, pihak berkuasa seharusnya lebih berhati-hati supaya mesej mengenai visi Jawatankuasa Pusat Penjaja 3.0 tidak menimbulkan "kekeliruan komunikasi kepada orang ramai".

Jawatankuasa Pusat Penjaja 3.0 ditugaskan untuk menyemak semula dan membuat saranan kepada Pemerintah mengenai pengurusan dan reka bentuk pusat-pusat penjaja baru selain memastikan kemampanan perniagaan mereka.

Pakar-pakar lain pula merasakan bahawa sistem pemulangan dulang ini adalah satu langkah jangka pendek untuk membentuk sikap masyarakat. Seorang pakar berkata sistem itu berkesan kerana ia menggunakan wang, seperti mana pembeli di pasar raya perlu meletakkan S$1 untuk menggunakan bagi memastikan ia dipulangkan.

Bagi Encik Yeo, ia amat bermanfaat bagi para pelanggan jika terdapat "rasional bagi dua sistem ini", seperti menyepadukan sistem pembayaran tanpa tunai dengan sistem pemulangan dulang.

Seorang jurucakap EZ-Link memberitahu Mediacorp bahawa ini merupakan dua isu yang berbeza - satu memberikan insentif kepada mereka yang memulangkan dulang dan satu lagi menggalak lebih ramai penjaja untuk menerima dan mempromosikan e-bayar.

Namun demikian, jurucakap berkenaan berkata "penting juga untuk menawarkan pengalaman pusat penjaja yang tidak menggunakan bayaran tunai yang bersepadu" kerana ia akan menggalak pelanggan untuk tidak menggunakan wang tunai sepenuhnya.

"Kami juga berpendapat bahawa e-pembayaran boleh digunakan sebagai wadah untuk menggalak pelanggan memulangkan dulang dengan lebih cekap dan dengan cara yang tidak menggunakan tunai di mana pembayaran semula boleh disalurkan kepada kad dan jumlah tersebut (atau insentif) boleh diubah suai mengikut perilaku pelanggan," kata jurucakap tersebut.  

Sumber : CNA/FA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita