Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bayaran tambahan bagi ambil pasport, IC di pejabat pos dikecualikan

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan mengecualikan bayaran tambahan bagi pengambilan pasport dan kad pengenalan (IC) Singapura di 27 pejabat pos mulai 1 Oktober, menurut penguasa itu hari ini (22 Sep). 

Anggaran Waktu Membaca:
Bayaran tambahan bagi ambil pasport, IC di pejabat pos dikecualikan

Gambar hiasan pasport Singapura. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 22 Sep 2021 12:03PM Dikemas Kini : 22 Sep 2021 12:04PM

SINGAPURA: Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan mengecualikan bayaran tambahan bagi pengambilan pasport dan kad pengenalan (IC) Singapura di 27 pejabat pos mulai 1 Oktober, menurut penguasa itu hari ini (22 Sep).

Buat masa ini, rakyat Singapura dan penduduk tetap perlu membayar SingPost antara S$6 hingga S$12 bagi khidmat tersebut.

ICA menyatakan ia akan menanggung kos itu "untuk menyediakan kemudahan tambahan kepada masyarakat dan menggalak lebih ramai orang untuk mengambil pasport dan/atau IC Singapura mereka di pelbagai tempat merata negara".

Sesetengah penduduk, bagaimanapun, masih perlu mengambil dokumen mereka di Bangunan ICA.

Mereka termasuk individu yang sebelum ini tidak berjaya melakukan pengesahan biometrik dalam urus niaga bersama ICA kerana kakitangan SingPost bergantung kepada biometrik untuk mengesahkan identiti.

"Pemohon akan dimaklumkan tentang pilihan pengambilan sedia ada bagi mereka apabila dokumen itu siap untuk diambil," menurut ICA.

Penduduk yang layak mesti membuat janji temu online di portal e-Appointment ICA untuk mengambil dokumen di pejabat pos pilihan mereka. Senarai pejabat pos tersebut boleh didapdiperolehi di laman SingPost.

Ini adalah sebahagian daripada rancangan transformasi ICA untuk menyediakan kemudahan lebih tinggi, menurut Pengarah Pusat Perkhidmatan Rakyat ICA, Dominic Chua.

"ICA juga ingin berterima kasih kepada SingPost kerana bekerjasama dengan kami untuk menyediakan khidmat pengambilan dokumen di pejabat posnya sejak 2010," tambah Penolong Kanan Pesuruhjaya itu.

Seperti diumumkan pada Mei, rakyat Singapura berusia 16 tahun dan ke atas yang menyerahkan permohonan pasport mulai 1 Oktober akan mempunyai tempoh sah yang dilanjutkan sehingga 10 tahun bagi pasport mereka. Tempoh itu dilanjutkan berbanding lima tahun sekarang.

"Tempoh sah pasport yang dilanjutkan itu akan mengurangkan kekerapan untuk pembaharuan semula pasport bagi rakyat Singapura," jelas ICA.

Tempoh sah pasport yang dikeluarkan kepada rakyat berusia bawah 16 tahun kekal lima tahun.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan