Skip to main content

Singapura

Bayaran S$6,000 untuk pekerja diberhentikan bertujuan cegah kebergantungan kepada bantuan, kata pakar

Anggaran Waktu Membaca:
Bayaran S$6,000 untuk pekerja diberhentikan bertujuan cegah kebergantungan kepada bantuan, kata pakar

(Gambar fail: TODAY/Lim Li Ting)

SINGAPURA: Jumlah bantuan kewangan untuk pekerja diberhentikan bertujuan untuk menyokong para pencari kerja di samping memastikan kebergantungan kepada kebajikan tidak berlaku.

Demikian menurut pakar ekonomi dan sosiologi.

Di bawah Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture, pekerja berpendapatan rendah dan sederhana yang hilang pekerjaan boleh mendapat sehingga S$6,000 dalam tempoh sehingga enam bulan.

Ini diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (18 Ogos), dalam satu anjakan besar dalam pendekatan Singapura ke arah membantu mereka yang tidak bekerja.

Pencari kerja yang layak juga perlu memainkan peranan mereka dengan menghadiri latihan, bimbingan kerjaya dan khidmat pemadanan pekerjaan.

Para pakar memberitahu Mediacorp bahawa jumlah bantuan kewangan tidak boleh terlalu tinggi atau cukup untuk tempoh yang terlalu lama, kerana ia boleh menyebabkan kesan kurang baik.

Jika jumlahnya terlalu tinggi, tingkah laku mungkin berubah dan motivasi pekerja untuk meneruskan pencarian mungkin lebih rendah, jelas Christopher Gee, timbalan pengarah di Institut Kajian Dasar (IPS).

"Tambahan lagi, lebih tinggi jumlah bantuan kewangan, lebih mahal lagi programnya," kata Encik Gee, yang juga seorang penyelidik kanan yang memimpin Jabatan Tadbir Urus dan Ekonomi.

Pakar sosiologi Tan Ern Ser menyatakan dengan bantuan kewangan maksimum sehingga S$1,000 sebulan, pekerja yang diberhentikan kemungkinan perlu menggunakan simpanan mereka atau bergantung kepada sokongan keluarga.

"Jika hanya sebanyak S$1,000 sebulah, maka ia boleh dilihat sebagai jumlah nominal, terutamanya dengan inflasi yang masih ada. Oleh itu, ia tidak mungkin menyebabkan kebergantungan kepada kebajikan," katanya.

"Langkah itu kelihatan lebih simbolik, dan berkait rapat dengan asas-asas bantu diri sebagai barisan pertahanan pertama," tambah Dr Tan, seorang penyelidik utama tambahan dan penasihat akademik di Makmal Sosial di IPS.

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng akan memberikan lebih banyak butiran mengenai skim terbaharu itu.

Menurut laman Tenaga Kerja Singapura (WSG) pada pagi Isnin (19 Ogos), skim itu boleh menyediakan sokongan buat pekerja warga Singapura yang diberhentikan, yang sebelum ini purata pendapatan bulanannya kurang S$5,000, sementara mereka mencari pekerjaan baru.

Sekalipun demikian, setakat jam 3.00 petang pada Isnin, jumlah S$5,000 dipadamkan, dan laman berkenaan menyatakan bahawa skim itu buat "warga Singapura berpendapatan rendah hingga sederhana yang diberhentikan kerja".

Menjawab pertanyaan CNA, seorang jurucakap WSG berkata: "Lebih banyak butiran skim akan dikeluarkan menerusi pengumuman (Kementerian Tenaga Manusia) akan datang dan butiran acara itu akan diumumkan tidak lama lagi."
LATIHAN, KHIDMAT KERJAYA

Dr Tan berkata nama skim sudahpun memberikan beberapa petunjuk mengenai kriteria kelayakan.

"Ia dibentuk sebagai skim bantu pencari kerja, dan oleh itu ia merupakan langkah dasar untuk memudahkan pengambilan semula pekerja berbanding mewujudkan sikap bergantung kepada bantuan,” katanya.

Profesor Madya Walter Theseira dari Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) menarik perhatian kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh PM Wong dalam ucapannya, seperti menjalani latihan.

"Pekerja di bawah skim itu perlu menetapkan perancangan jelas untuk mencapai sasaran mereka dari segi latihan dan sama ada mereka boleh diambil bekerja dalam tempoh enam bulan skim itu," katanya.

"Mereka sepatutnya melakukan ini dengan bantun perkhidmatan kerjaya yang disediakan oleh pemerintah atau rakan agensi dalam tempoh skim itu."

Beliau menambah bahawa daripada pengalaman negara lain, selalunya kadar pemadanan pekerjaan dengan pencarian pekerjaan meningkat ketara hanya menjelang penghujung skim sedemikian.

Ini menunjukkan "sekurang-kurangnya sebilangan pekerja tidak cukup gigih mencari kerja sedangkan masih ada tempoh yang panjang bagi meraih manfaatnya, atau mereka tidak menerima pekerjaan yang ditawarkan dengan harapan untuk mencari pekerjaan yang lebih baik", kata Profesor Madya Theseira.

"Ini menunjukkan betapa pentingnya pengurusan kes untuk meningkatkan prospek pekerja dalam skim itu," tambahnya.

BUTIRAN SKIM MUNGKIN BERUBAH DALAM MASA AKAN DATANG

Berdasarkan pengalaman negara lain, terdapat kemungkinan besar butiran skim itu akan berubah pada masa hadapan, kata pakar.

"Di peringkat global, semua skim sedemikian diubah suai dari masa ke masa berdasarkan pengalaman," kata Prof Madya Theseira. "Tidak mungkin, walaupun dengan manfaat penyelidikan antarabangsa, untuk mengelak semua isu atau untuk mereka membentuk skim yang sesuai dengan segera, kerana konteks pekerjaan berbeza secara meluas dari negara ke negara."

Beliau berkata dengan faedah dilihat sebagai "agak tidak cukup besar" bagi pekerja berpendapatan sederhana, mungkin ada keperluan untuk memeriksa kumpulan itu dengan teliti untuk melihat sama ada mereka "termasuk dalam beberapa jurang".

"Jika, sebagai contoh, mereka tidak layak bagi Elaun Latihan Pertengahan Kerjaya SkillsFuture (sehingga S$3,000 sebulan) yang jauh lebih tinggi nilainya, maka apa yang boleh dilakukan untuk mereka jika mereka mendapati faedah tersebut tidak mencukupi berbanding pendapatan yang diraih sebelum ini?" katanya.

Encik Gee menyatakan bahawa pemerintah cenderung untuk mengambil "pendekatan berperingkat" kepada skim sokongan sosial sedemikian, yang boleh menjelaskan mengapa sokongan awal sehingga S$1,000 sebulan mungkin dianggap rendah.

"Pemerintah cenderung mengambil pendekatan secara berperingkat - mulakan dengan langkah kecil dan lihat sama ada lebih banyak diperlukan. Kemudian jika ada bukti kukuh bahawa lebih banyak diperlukan, maka ia akan dinaikkan lagi," katanya.

"Jika ia terlalu murah hati dan menjejas perubahan tingkah laku dalam kalangan mereka yang tidak bekerja tetapi bukan untuk menjadikan keadaan lebih baik, maka ia sukar - jika tidak mustahil dari segi politik - untuk mengurangkan faedah."

KENAPA SEKARANG?

Mengenai mengapa sokongan sedemikian diperkenalkan sekarang, pakar ekonomi berkata ia adalah sebagai pengiktirafan bahawa landskap buruh sudah berubah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Sepanjang dekad yang lalu atau lebih, kita semakin berdepan kejutan yang lebih kerap dan mencabar," kata ahli ekonomi veteran Song Seng Wun, memetik peristiwa seperti pandemik COVID-19.

"Selain itu, anda kini mempunyai teknologi yang mengubah amalan perniagaan dengan ketara…jadi mungkin dengan menjangkakan bahawa akan ada lebih banyak gangguan yang tidak dirancang seperti itu...adalah baik untuk mempunyai cara lain untuk memikirkan tentang sokongan buruh," kata Encik Song, seorang penasihat ekonomi di CGS-CIMB Securities.

Skim baharu itu dikeluarkan di tengah-tengah beberapa pemberhentian kerja berprofil tinggi, dengan bilangan pemberhentian pekerja pada 2023 meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Firma seperti Lazada, Amazon, platform pulangan tunai online yang disokong Temasek Shopback, Ninja Van dan Citi adalah antara syarikat yang baru-baru ini mengumumkan pemberhentian pekerja.

Profesor Madya Theseira berkata terdapat kebimbangan yang semakin meningkat bahawa pekerja matang mungkin terus terkesan daripada kerjaya yang stabil apabila kehilangan pekerjaan mereka, dan mungkin tidak bekerja selama bertahun-tahun atau sepanjang hayat mereka.

Beliau menambah bahawa pertumbuhan ekonomi gig dan kerja kontrak mungkin menyumbang kepada situasi ini, "dengan mewujudkan laluan kepada pekerjaan yang tidak dianggap wajar, tetapi masih diambil sebagai alternatif untuk tidak bekerja".

"Oleh itu, menetapkan semula perkara ini dengan dasar adalah penting untuk mengelakkan prospek sebahagian besar rakyat Singapura, terutamanya pekerja matang, disebabkan kemahiran dan kelayakan pekerja tidak padan dengan pekerjaan yang tersedia dalam ekonomi," katanya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita