Bayaran lewat, penalti kewangan jejas syarikat keselamatan SG; tingkatkan risiko gaji pekerja tertunggak
Industri kewangan memberi amaran bahawa amalan perniagaan seperti bayaran lewat daripada pelanggan dan penalti kewangan memberi tekanan terhadap aliran tunai syarikat, sekali gus meningkatkan risiko kelewatan pembayaran gaji bagi pegawai keselamatan tempatan.
Pemain industri menyatakan bayaran lewat daripada pelanggan dan penalti kewangan boleh memberi tekanan terhadap aliran tunai syarikat, menjejas keupayaan mereka membayar pekerja tepat pada waktu. (Gambar: CNA/Raj Nadarajan)
Isu itu diketengahkan menyusuli penutupan agensi keselamatan TwinRock, di mana beberapa pegawai tidak dibayar gaji selama berbulan sebelum syarikat itu berhenti beroperasi pada Oktober lalu.
Beberapa pegawai TwinRock, yang bersetuju ditemu bual dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan, berkata mereka tidak menerima gaji selama tempoh sehingga empat bulan.
Rekod sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang dilihat oleh Mediacorp, menunjukkan jurang dalam bayaran bulanan CPF, menunjukkan tempoh di mana sumbangan CPF tidak dibuat.
Kesatuan Pekerja Keselamatan (USE) menyatakan kebanyakan pekerja yang terjejas tidak melaporkan isu itu dengan segera kerana mereka sudah bekerja dengan syarikat itu selama beberapa tahun dan berharap situasi itu akan bertambah baik.
PIHAK KESATUAN TAWAR PENGANTARAAN, BANTUAN
Setiausaha Agung USE Raymond Chin berkata pihak kesatuan pertama kali mendapat tahu mengenai isu bayaran gaji itu pada Oktober 2025 setelah seorang pegawai keselamatan menghubungi perkhidmatan pengantaraannya untuk mendapatkan bantuan berhubung tunggakan gaji.
Kesatuan itu kemudian menghubungi syarikat tersebut dan para pekerja yang terjejas untuk memahami situasi berkenaan dan bantu mendapatkan semula gaji yang tertunggak.
Encik Chin berkata 11 anggota kesatuan yang digajikan oleh TwinRock terjejas.
USE mewakili mereka dalam tiga sesi pengantaraan antara November 2025 dengan Februari 2026.
Ia berjaya mendapatkan pembayaran penuh gaji tertunggak bagi tiga orang pekerja dan memudahkan perjanjian penyelesaian untuk baki lapan lagi pekerja.
Pihak kesatuan juga memberikan baucar bantuan sewajarnya dan membantu para pegawai yang terjejas mendapatkan pekerjaan baharu.
Sejak Januari, USE mengendalikan sekitar 352 kes melibatkan isu seperti gaji dan pertikaian faedah, pemberhentian kerja, pelanggaran kontrak dan konflik di tempat kerja.
Encik Chin berkata jumlah kes secara keseluruhan semakin merosot dan pertikaian gaji bukan dalam kalangan kes-kes yang sering dilihat.
TWINROCK NUKIL TEKANAN ALIRAN TUNAI
Apabila Mediacorp mengunjungi alamat pejabat berdaftar TwinRock pada 1 Julai dan 6 Julai, sebuah lagi syarikat sedang beroperasi di premis itu.
Namun, rekod perniagaan masih menyenaraikan TwinRock sebagai sebuah syarikat aktif.
Emel yang dihantar oleh Mediacorp untuk mendapatkan komen juga gagal disampaikan kepada alamat emel itu.
Dalam satu kenyataan pada Rabu (8 Jul), TwinRock menyatakan ia berhenti berurus niaga dengan kliennya pada Oktober 2025 dan akan melalui fasa pembubaran.
Syarikat itu menyatakan bayaran lewat oleh para pelanggan dan "ganti rugi tertentu" merupakan antara punca penutupannya, sambil menyifatkan situasi itu sebagai "krisis dalam industri" yang menjejas keupayaan agensi membayar gaji pegawainya tepat pada masanya.
'Ganti rugi tertentu' (liquidated damages) adalah penalti kewangan yang dinyatakan dalam kontrak apabila kewajipan yang dipersetujui tidak dipenuhi.
AGENSI MENYATAKAN PENALTI TANGGUHKAN PEMBAYARAN
Persatuan Agensi Keselamatan Bertauliah menyatakan ganti rugi tertentu itu boleh menjejas dengan ketara aliran tunai sesebuah agensi keselamatan.
Presiden persatuan itu V W Nathan berkata agensi-agensi kadangkala dimaklumkan mengenai pelanggaran kontrak hanya pada hujung bulan, sekaligus mereka mempunyai ruang yang terhad untuk membetulkan masalah sebelum potongan dibuat.
MOM, Lembaga CPF dan TADM menyatakan mereka akan terus membantu para pekerja yang terjejas berhubung tunggakan gaji dan CPF mereka.
Mereka juga mengingatkan para majikan mengenai tanggungjawab mereka untuk membayar gaji dan sumbangan CPF tepat pada waktunya, dan menggalakkan para pekerja yang berdepan pertikaian gaji supaya mendapatkan bantuan melalui TADM, yang boleh membantu dalam pengantaraan atau merujuk kes kepada Tribunal Tuntutan Pekerjaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.