Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bayaran bagi beg plastik di kebanyakan pasar raya SG bermula 3 Julai

Anggaran Waktu Membaca:
Bayaran bagi beg plastik di kebanyakan pasar raya SG bermula 3 Julai

(Gambar fail: CNA/Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Mulai 3 Julai tahun ini, para pelanggan perlu membayar sekurang-kurangnya 5 sen bagi setiap beg plastik yang diambil daripada pengendali pasar raya besar.

Mengumumkan tarikh tersebut di Parlimen pada Khamis (2 Mac), Mengeri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor berkata sekitar 400 - atau dua pertiga daripada kesemua pasar raya di Singapura akan menguatkuasakan bayaran tersebut, yang mana akan diguna pakai bagi beg pakai buang yang diperbuat daripada semua jenis bahan.

Bayaran tersebut tidak akan dikenakan bagi beg-beg plastik yang digunakan untuk menyimpan produk segar, daging atau makanan laut.

Rang undang-undang yang mewajibkan bayaran bagi beg plastik di pasar raya besar, dibentangkan bagi bacaan pertama di Parlimen pada 6 Februari tahun ini.
Dipanggil Rang Undang-Undang (Pindaan) Kemampanan Sumber, ia bertujuan mengurangkan sisa bungkusan dan makanan.

"Menyusuli rundingan dengan pengendali pasar raya, kami memahami bahawa kebanyakannya akan mengenakan bayaran 5 sen bagi setiap beg, dan ini akan menyederhanakan kesan kos berpotensi terhadap para pengguna," jelas Dr Khor.

"Dengan membuat kos beg plastik pakai buang lebih ketara kepada para pengguna, bayaran tersebut akan mengalakkan mereka untuk lebih menyedari dan mengurangkan penggunaan bahan pakai buang."

Bayaran bagi beg plastik - yang akan bermula pada Isnin - akan tertakluk kepada pengendali pasar raya dengan kadar pusing ganti tahunan lebih S$100 juta. Ini termasuk NTUC FairPrice, Cold Storage, Giant, Sheng Siong dan Prime Supermarket.

Pengendali pasar raya dengan kadar pusing ganti tahunan kurang daripada S$100 juta akan digalakkan untuk mengenakan bayaran bagi beg plastik secara sukarela dan malah, kebanyakannya sudah berbuat demikian, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran dalam kenyataan media bersama.

"Sama ada ia diperbuat daripada kertas, plastik atau bahan yang boleh urai, bahan pakai buang memberi kesan terhadap persekitaran kita semasa pengeluaran, pengangkutan dan pelupusan. Oleh itu, para pembeli digalakkan supaya mengurangkan penggunaan kesemua jenis beg plastik pakai buang, tanpa mengira jenis bahan," tambah NEA.

Bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawapan, pengendali pasar raya akan diperlukan untuk mendedahkan maklumat mengenai jumlah beg plastik yang diberikan, hasil yang diterima daripada bayaran bagi beg dan bagaimana hasil kutipan tersebut digunakan. Mereka digalakkan untuk menyalurkan hasilnya bagi tujuan sosial atau alam sekitar.

"NEA sudah mendampingi pengendali pasar raya tertentu bagi menyumbangkan sebahagian daripada hasil itu untuk menyokong peralihan kepada pengurangan penggunaan beg plastik, dan menggalakkan pembeli untuk membawa beg mereka sendiri, atau bagi program yang akan memanfaatkan masyarakat tempatan itu," menurut kenyataan media tersebut.

Dr Khor menarik perhatian bahawa sungguhpun bayaran wajib itu tidak dikenakan di kedai runcit lain seperti kedai serbaneka, banyak perniagaan sudah mengenakan bayaran untuk beg secara sukarela, termasuk rangkaian kedai serbaneka besar seperti 7-Eleven dan Cheers.

Beliau menambah: "Kami akan memantau keberkesanan bayaran itu dan menilai keperluan untuk memperluaskan langkah wajib itu kelak."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan