Bayar zakat, derma melalui kios layan diri di 16 masjid tempatan
Gerakan SalamSG merintiskan kios-kios layan diri di masjid-masjid tempatan dalam usaha untuk menggalak lebih ramai jemaah membuat pendermaan dan pembayaran zakat menerusi kaedah digital
SINGAPURA: Gerakan SalamSG merintiskan kios-kios layan diri di masjid-masjid tempatan dalam usaha untuk menggalak lebih ramai jemaah membuat pendermaan dan pembayaran zakat menerusi kaedah digital.
Inisiatif itu diumumkan di pelancaran SalamSG Ramadan di Masjid Khalid pada Ahad (12 Mac) yang turut dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli dan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Musim SalamSG tahun ini dimulakan pada bulan Ramadan dan akan diteruskan hingga ke Hari Raya Haji pada bulan Zulhijjah.
Menjelaskan tentang kios layan diri yang baru diperkenalkan, Pengerusi Bersama Gerakan SalamSG, Shamsul Hadi Jangarodin berkata, ia menyediakan lebih banyak pilihan kepada masyarakat untuk melakukan bayaran seperti zakat dan derma kepada masjid-masjid melalui kaedah digital.
"Kami akui ramai di kalangan golongan senja yang belum peka untuk menggunakan laman web. Jadi kami sediakan kios layan diri di mana kami memberi peluang kepada golongan senja untuk menggunakan kad kredit dan debit mereka untuk membuat bayaran zakat dan menderma kepada masjid-masjid kita," kata Encik Shamsul Hadi.
Dalam inisiatif perintis itu, sebanyak 16 masjid akan dilibatkan.
Masjid-masjid itu adalah:
1) Masjid Darul Ghufran
2) Masjid Al-Ansar
3) Masjid Darul Aman
4) Masjid Al-Istiqamah
5) Masjid Al-Muttaqin
6) Masjid Muhajirin
7) Masjid Al-Falah
8) Masjid Sultan
9) Masjid Mujahidin
10) Masjid An-Nur
11) Masjid Pusara Aman
12) Masjid Assyakirin
13) Masjid Al Mukminin
14) Masjid Ar-Raudhah
15) Masjid Al Islah
16) Masjid Khalid
"Ia masih baru, jadi 16 masjid sahaja dipilih, mengikut demografi masjid-masjid ini. Kami menilai berapa sedianya masjid-masjid ini untuk menyokong usaha ini. Kami akan menilai selepas Ramadan, bahagian yang perlu diperbaiki dan kami akan berbuat sedemikian," tambah Encik Shamsul.
INISIATIF HIJAU
Antara inisiatif utama Gerakan SalamSG juga adalah untuk menggalakkan masyarakat agar menjalankan gaya hidup lebih mampan dan mesra alam pada bulan Ramadan.
Misalnya, kakitangan masjid akan menjalankan usaha untuk menyediakan botol-botol minuman untuk para jemaah semasa berbuka puasa di masjid.
Kakitangan masjid juga digalakkan untuk menjimat penggunaan air sepanjang bulan Ramadan.
LEBIH BANYAK KEGIATAN DIANJURKAN SECARA FIZIKAL
Memandangkan Ramadan tahun ini akan disambut dalam keadaan DORSCON Hijau, lebih banyak kegiatan dirancangkan.
Ini termasuk Cabaran Belia Ramadan (RYC) yang akan dianjurkan di setiap kelompok masjid.
Menurut Encik Shamsul, program itu tidak dianjurkan semasa pandemik.
Lantaran itu, beliau berasa senang hati program sebegitu dapat diadakan semula untuk menggalakkan penglibatan golongan belia selain daripada memupuk tanggungjawab sosial antara mereka.
Dalam menunjukkan nilai-nilai rahmah, Gerakan SalamSG melakarkan program "SalamSG Gives" yang merangkumi pemberian habuan-habuan Ramadan kepada para penerima bantuan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Syawal.
Pada bulan Zulhijjah pula, usaha itu akan diperluaskan untuk melibatkan pengagihan daging-daging korban kepada para penerima zakat serta para pekerja hijrahan.
JANGAN LUPA PENGAJARAN SEWAKTU PANDEMIK, SAMBUT RAMADAN DENGAN KESYUKURAN
Semasa acara pelancaran Gerakan SalamSG 2023, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir mengingatkan masyarakat Islam tempatan untuk menjalani bulan Ramadan dengan penuh kesyukuran, terutama sekali selepas pandemik.
Dr Nazirudin berkata: "Kesyukuran, kalau pada dulunya kita perlu bersabar dengan perubahan dan penyesuaian seperti masjid-masjid yang perlu ditutup, jumlah jemaah yang dikurangkan. Sekarang kita boleh menyambung kegiatan dan menerima lebih ramai jemaah."
"Kesyukuran juga bermaksud kita tidak lupa pengajaran yang kita lalui sebagai satu masyarakat. Sebagai contoh, bagaimana kita terus memelihara masjid, memastikan ia bersih, ibadat kita disusun rapi dan baik dan juga kita mementingkan keadaan dan orang lain juga tidak kira jemaah atau orang di luar masjid," tambah beliau.
Dr Nazirudin berharap nilai-nilai itu dapat terus diperkukuhkan di dalam masyarakat.
"Pada diri kita, keluarga dan masyarakat, saya khuatir kalau kita lupa pengajaran daripada pandemik lalu, kita mungkin hilang nilai-nilai tersebut dan tersilap dalam melaksanakan kehidupan keagamaan di mana nilai dan ibadat sentiasa berkait rapat dan dianggap tidak terpisah," ujar Dr Nazirudin.
Beliau juga berharap agar masyarakat dapat memperelok ibadat dengan menyebarkan kesejahteraan, sifat ihsan dan rahmah kepada orang lain.
Ini adalah selaras dengan tema Gerakan SalamSG pada Ramadan ini untuk memacu perubahan tingkah laku dalam masyarakat di dalam persekitaran norma baru selepas pandemik.
Ia dilakukan menerusi beberapa inisiatif dan program yang dipertingkat yang menggalak pengetahuan lebih mendalam, sifat rahmah serta kebersamaan di dalam masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.