Bawa pulang rakyat S'pura dari luar negara; gilap bakat tempatan pacu inisiatif Negara Bijak, kata Vivian Balakrishna
Mempunyai rakyat yang mahir dalam kemahiran digital menjadi kunci untuk memacu inisiatif Negara Bijak, dan negara ini berharap dapat memikat rakyat Singapura yang berpangkalan di luar negara untuk kembali ke tanah air bagi mengusahakan projek-projek sedemikian, kata Dr Vivian Balakrishnan.
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Mempunyai rakyat yang mahir dalam kemahiran digital menjadi kunci untuk memacu inisiatif Negara Bijak, dan negara ini berharap dapat memikat rakyat Singapura yang berpangkalan di luar negara untuk kembali ke tanah air bagi mengusahakan projek-projek sedemikian, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak Vivian Balakrishnan.
Ini di samping usaha berterusan untuk megembangkan bakat-bakat tempatan, katanya.
Dr Balakrishnan menarik perhatian bahawa di tengah-tengah ketandusan bakat dalam bidang teknologi di peringkat global, terdapat "ratusan" rakyat Singapura yang sedang bekerja di luar negara di tempat-tempat seperti Silicon Valley di Amerika Syarikat, China dan Asia Tenggara.
"Pertama sekali, jika boleh, bawa pulang rakyat kita... Sumber kedua (untuk) mengembangkan bakat tempatan," katanya dalam satu wawancara yang diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Puncak Kepimpinan CNA 2020.
Kemajuan dapat dilihat dalam usaha untuk mengembangkan bakat-bakat tempatan, kata Dr Balakrishan, dengan jumlah kemasukan pelajar bagi kursus-kursus infokom di universiti dan politeknik tempatan naik dua kali ganda sepanjang lima hingga enam tahun lalu, sebagai contoh.
Namun ini mungkin tidak mencukupi, itulah sebabnya mengapa bakat-bakat asing diperlukan bagi melengkapi tenaga kerja tempatan, katanya.
"Jadi elemen ketiga adalah (dengan) berhati-hati dan secara berhemah... melengkapi tenaga kerja tempatan kita, dengan membawa masuk bakat-bakat asing dari luar negara yang ... sememangnya mempunyai kemahiran yang kita perlukan, yang melengkapi kita, yang mempunyai rangkaian, yang mempunyai idea-idea tambahan dan kesungguhan untuk membantu kita membangunkan landskap pemula supaya dapat membangunkan ekosistem lebih besar," katanya dalam wawancara yang disiarkan pada Selasa malam (27 Okt).
Dr Balakrishnan berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ketua Editor Unit Berita Digital CNA Jaime Ho mengenai individu yang diperlukan bagi menepati gagasan Negara Bijak serta bagaimana beliau akan menerangkan "keseimbangan" bagi bakat sedemikian yang diperlukan oleh sektor swasta dan awam sedang COVID-19 mempercepatkan usaha Pemerintah ke arah pendigitalan.
Mengenai sama ada Pemerintah "mengambil terlalu ramai bakat tempatan", beliau menjawab: "Apabila saya bertemu seorang rakyat Singapura di luar negara, perbualan pertama saya bersama mereka adalah ... terdapat banyak peluang di Singapura untuk anda melakukan kerja-kerja yang bermakna.
"Saya berharap anda akan menimbangkan Pemerintah, anda akan pertimbangkan syarikat-syarikat tempatan dan anda akan pertimbangkan syarikat digital berbilang negara ... Kesemua syarikat gergasi teknologi berpangkalan di sini dan hakikatnya, ia bukan satu rahsia (bahawa) semakin banyak syarikat membuka ibu pejabat masing-masing di sini."
Pemerintah memerlukan "bakat yang secukupnya" sedang ia melakar dan mewujudkan infrastruktur dan sofwe digital yang diperlukan, namun ia memainkan "peranan sebagai pelengkap", kata Dr Balakrishnan.
"Kita perlu membangunkan sebahagian daripada aplikasi kita sendiri, jika tidak kesemuanya. Kita perlu mempunyai pemahaman yang secukupnya mengenai teknologi sehingga walaupun kita perlu melakukan penyumberan luar, kita dapat melakukannya dengan cara yang bijak."
Sambil menambah bahawa kebanyakan daripada inisiatif Pemerintah adalah sumber terbuka, beliau berkata: "Kita pada hakikatnya mahu sektor swasta membawa idea dan khidmat ke sini, memberi lesen kepada mereka sama ada secara percuma atau pada kadar minimal dan membenarkan mereka untuk mengendalikannya."
Beliau menukil contoh sistem daftar masuk digital kebangsaan SafeEntry, yang dibangunkan oleh Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech).
"Kita menawarkan wadah teknologi ini kepada sektor privet supaya mereka boleh membangunkan mesin atau khidmat yang dapat memanfaatkannya," kata Dr Balakrishnan yang juga Menteri Ehwal Luar.
"Jadi saya lihat peranan saling melengkapi antara apa yang dilakukan oleh jurutera pemerintah dan peluang bagi sektor swasta. Ini, saya rasa, adalah sihat dan meletakkan kita dalam kedudukan yang baik untuk hari muka."
"LEBIH BERSEDIA" UNTUK COVID-19
Usaha mengembangkan bakat dalam bidang kejuruteraan, sama ada membawa pulang rakyat Singapura di luar negara atau memikat bakat dalam perkhidmatan awam, adalah salah satu daripada usaha yang dilaksanakan sejak negara ini menggariskan wawasan Negara Bijak pada 2014.
Lebih banyak tumpuan diberikan kepada usaha membina infrastuktur - misalnya, mempunyai rangkaian jalur lebar di setiap rumah dan pejabat - dan memastikan ada khidmat digital.
"Jadi jika anda fikirkan tentang ketiga-tiga faktor ini - infrastruktur, bakat dan penggunaan digital yang inklusif - mujur ia sudah dilaksanakan sebelum COVID-19 menular," kata Dr Balakrishnan.
Beliau menarik perhatian kepada bagaimana pandemik COVID-19 mencetuskan peralihan seluruh negara kepada aturan belajar di rumah bagi para pelajar dan bekerja dari rumah bagi golongan dewasa.
Pengagihan pelitup dan penyediaan maklumat mungkin tidak dapat dilakukan jika Singapura tidak mempunyai ketersambungan jalur lebar dan tanpa wayar yang meluas, katanya.
"Dalam erti kata lain kita lebih bersedia berbanding dengan kebanyakan tempat lain," kata Dr Balakrishan yang menambah bahawa wabak Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) pada 2003 adalah "satu persiapan".
Namun, Dr Balakrishnan akur masih terdapat "kelemahan".
Umpamanya, ia menjadi cabaran untuk menyebarkan maklumat sahih dengan pantas dan tepat pada masanya.
"Hakikatnya, ia bukan setakat menyebarkan maklumat yang tepat tetapi juga menangani banyak narratif yang bercanggah," katanya kepada Mediacorp. "Untuk mengatasi kekecohan ini adalah satu cabaran."
Satu lagi cabaran adalah dalam penggunaan alat-alat digital bagi mempertingkatkan usaha pengesanan kontak, yang menimbulkan keprihatinan privasi pada peringkat awal.
"Ini menunjukkan kita perlu menjelaskan, menjelaskan semula, memberi jaminan semula dan saya rasa apa yang membantu dalam kes kita adalah kita dapat berbuat demikian dengan cara yang telus dan tepat pada masanya," katanya lagi.
'RAPTAI TERAKHIR'
Memandang ke hadapan, Singapura perlu bersedia menghadapi kemungkinan berlaku satu lagi wabak yang mungkin lebih mudah berjangkit seperti COVID-19 namun dengan kadar kematian seperti pandemik flu 1918, katanya.
Peralihan ke normal lama tidak mungkin berlaku dan berbahaya jika sesiapa cuba berbuat demikian, tambah Dr Balakrishnan.
"Jadi ini menjadikannya lebih penting untuk kami mempelajari daripada pengajaran yang baik dan bersiap sedia untuk masa hadapan," katanya, sambil menambah bahawa Singapura perlu "membayangkan keadaan normal baru".
Sidang Puncak Kepimpinan CNA 2020: Menempuhi Dunia Pasca Pandemik akan membincangkan menerusi satu siri rancangan televisyen dan seminar online bagaimana perniagaan dan pertubuhan memberi respons terhadap pandemik dan melaksanakan amalan yang inovatif.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.