Baucar kedua barangan dapur Belanjawan 2020 akan dihantar ke rumah 150,000 penerima
Agihan kedua Baucar Barangan Dapur Belanjawan 2020 akan dipos ke rumah 150,000 penerima yang layak, dedah Kementerian Kewangan (MOF) pada Ahad (6 Dis).
SINGAPURA: Agihan kedua Baucar Barangan Dapur Belanjawan 2020 akan dihantar ke rumah 150,000 penerima yang layak, dedah Kementerian Kewangan (MOF) pada Ahad (6 Dis).
Kementerian itu turut mendedahkan bahawa dengan kerjasama Singapore Post ia sudah mengaturkan dua penghantaran kepada mereka yang layak menerima baucar tersebut.
"Kami akan melakukan dua penghantaran ke rumah para penerima. Penghantaran pertama akan dilakukan pada empat hari Sabtu antara 12 Dis 2020 dengan 2 Januari 2021, mengikut poskod kediaman masing-masing," menurut MOF.
"Sekiranya tiada orang di rumah untuk menerima baucar itu pada hari penghantaran, kami akan melakukan penghantaran kedua antara Isnin hingga Jumaat pada minggu seterusnya (tidak termasuk cuti umum)."
MOF menambah: "Jika baucar-baucar tersebut tidak diterima selepas kedua-dua percubaan untuk menghantarnya, kami akan meninggalkan kad pemberitahuan mengenai penghantaran tersebut untuk para penerima mengambil sendiri baucar barangan dapur itu di pejabat pos yang ditetapkan dalam masa 10 hari biasa."
Baucar yang diumumkan semasa Belanjawan 2020 dibentangkan pada 18 Februari lalu bermatlamat untuk "membantu rakyat Singapura yang kurang bernasib baik menampung perbelanjaan keluarga sepanjang tempoh ketidaktentuan ekonomi yang luar biasa ini", menurut MOF.
Rakyat Singapura berusia 21 tahun ke atas pada tahun ini yang tinggal di flat satu dan dua bilik dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah layak menerima baucar tersebut.
Setiap penerima yang layak akan menerima baucar barangan dapur bernilai S$300 pada 2020 - S$150 pada Oktober dan lagi $150 pada hujung tahun ini - dan lagi S$100 akan diagihkan pada Oktober 2021. Mereka akan diberikan baucar tersebut secara automatik dan akan menerima baucar mereka secara individu.
Kaedah penghantaran yang baru itu, menurut MOF, mengambil kira maklum balas dan pengalaman semasa mengagihkan baucar pertama pada Oktober lalu.
"Langkah ini bagi
mengimbangi keselamatan dengan lebih baik, sambil memudahkan urusan penerima," menurut kementerian tersebut.
Baucar pertama yang bernilai S$150 dihantar melalui pos kepada 150,000 rakyat Singapura menerusi kiriman pos berdaftar pada Oktober lalu. Namun beberapa penangkapan dibuat selepas sebilangan baucar dicuri dari peti surat blok HDB di merata Singapura.
Bulan lalu, Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah memberitahu Parlimen bahawa kurang 0.2 peratus atau 229 set baucar barangan dapur Belanjawan 2020 yang dihantar melalui pos dilaporkan dicuri setakat sehingga 28 Oktober.
Cik Indranee berkata "sebahagian besar" baucar barangan dapur itu diterima dengan lancar oleh para penerimanya.
Berdasarkan siasatan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF), kes-kes curi itu "nampaknya berunsur cuba mengambil kesempatan daripada agihan baucar tersebut dan kes-kes yang dilaporkan itu tidak ada kaitan antara satu sama lain", tambah beliau, sambil menarik perhatian bahawa peti surat tidak terkunci bagi sesetengah kes.
Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata beliau berharap agar agihan baucar kedua itu akan dapat menghulurkan "bantuan tambahan" semasa "tempoh yang mencabar" ini.
"Sepanjang tempoh yang mencabar ini, kami tahu bahawa perbelanjaan keluarga mungkin bermain dalam benak fikiran dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga yang kurang bernasib baik," kata beliau.
"Kami mengagihkan baucar pertama pada Oktober yang membantu menampung perbelanjaan keluarga para penerima. Saya berharap agar agihan baucar kedua ini akan dapat memberikan bantuan tambahan."
Baucar Barangan Dapur Belanjawan 2020 boleh digunakan di pasar raya Fairprice, Giant, Prime dan Sheng Siong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.