Baucar GST $1.3 bilion akan diagihkan mulai Jun
Baucar GST bernilai S$1.3 bilion akan diagihkan mulai Jun kepada sekitar 1.4 juta rakyat Singapura dan 950,000 keluarga, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Selasa (1 Jun).
SINGAPURA: Baucar GST bernilai S$1.3 bilion akan diagihkan mulai Jun kepada sekitar 1.4 juta rakyat Singapura dan 950,000 keluarga, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Selasa (1 Jun).
Baucar-baucar itu menggabungkan pembayaran tetap serta bayaran sekali sahaja yang merupakan sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga Tambahan bernilai S$900 juta yang dilancarkan untuk membantu keluarga semasa tempoh ketidaktentuan ini di tengah-tengah COVID-19.
Keluarga berpendapatan rendah hingga pertengahan dijangka menerima lebih banyak sokongan daripada pakej itu yang diumumkan semasa Belanjawan 2021 pada Februari.
UNTUK PENDUDUK S'PURA
Sekitar 1.4 juta penduduk Singapura akan menerima baucar GST sehingga S$500 tahun ini. Ini merangkumi Baucar GST – Bayaran Tunai Khas sekali sahaja sebanyak S$200 dan Baucar GST - bayaran wang tunai sehingga S$300.
Bayaran sekali sahaja dan bayaran tetap itu akan diberikan secara langsung menerusi akaun bank para penduduk mulai 23 Jun dan 30 Julai masing-masing, jika mereka menghubungkan nombor kad pengenalan mereka kepada akaun PayNow.
Mereka yang belum berbuat demikian namun sudah pun memberi nombor akaun bank kepada Pemerintah akan menerima bayaran mereka melalui pemindahan wang antara bank pada tarikh kemudian sementara yang lain yang lain akan menerima bayaran melalui kiriman cek ke alamat berdaftar.
Pemerintah akan menanggung perbelanjaan sekitar S$280 juta bagi Baucar GST - Bayaran Khas Tunai manakala Baucar GST - Bayaran Wang Tunai pula, berjumlah sekitar S$405 juta.
Sekitar 575,000 penduduk berusia 65 tahun dan ke atas tahun ini juga akan mendapat tokokan MediSave sehingga S$450 setiap orang mulai 30 Julai. Tokokan ini berjumlah sekitar S$170 juta secara keseluruhan.
UNTUK KELUARGA
Sekitar 950,000 keluarga rakyat Singapura yang tinggal di perumahan awam akan mendapat rebat suku tahunan Baucar GST - U-Save pada Julai.
Mereka juga akan menerima rebat tambahan sebanyak 50 peratus menerusi Baucar GST - Bayaran Khas U-Save sekali sahaja.
Secara keseluruhan, sesebuah keluarga boleh menjangkakan menerima rebat antara S$355 dengan S$595 dalam tahun kewangan 2021, bergantung pada jenis flat yang didiami mereka.
Ini bermakna keluarga yang tinggal di flat satu bilik atau dua bilik akan menerima sokongan setara dengan bil api air selama empat setengah sehingga enam bulan, menurut MOF.
Bagi keluarga yang tinggal dalam flat tiga dan empat bilik, sokongan itu setara dengan bil api air selama satu setengah sehingga tiga bulan.
Secara keseluruhan, Baucar GST - U-Save dan rebat Baucar GST - Bayaran Khas U-Save berjumlah sekitar S$460 juta.
Bayaran pemerintah lain yang dapat dijangkakan oleh para penduduk yang layak pada lewat tahun ini adalah skim Tokokan MediSave Lima Tahun, baucar barangan dapur dan tokokan bagi akaun pendidikan anak-anak, menurut MOF.
Setiap keluarga juga boleh menjangkakan untuk menerima rebat bagi bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan serta baucar Majlis Pembangunan Masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.