Skip to main content

Singapura

Baucar fizikal CapitaVoucher tidak akan diterima mulai 1 Jul, pembeli perlu guna baucar digital

Anggaran Waktu Membaca:
Baucar fizikal CapitaVoucher tidak akan diterima mulai 1 Jul,  pembeli perlu guna baucar digital

Gambar: Carousell

Diterbitkan : 27 Apr 2023 02:23PM
SINGAPURA: Mulai 1 Julai ini, baucar beli-belah CapitaVoucher tidak lagi boleh digunakan untuk membuat bayaran di pusat beli-belah yang mengambil bahagian.

Sebaliknya, baucar berkenaan akan digantikan sepenuhnya dengan program digital sedia ada iaitu eCapitaVoucher.

Orang ramai yang masih menyimpan baucar tersebut dinasihatkan supaya menggunakannya sebelum 30 Jun.

Bagi mereka yang tidak sempat menggunakannya, baucar-baucar berkenaan boleh ditukar kepada STAR$ dengan nilai yang sama, mulai 2 Mei hingga 30 September.

Mereka yang ingin menukar baucar CapitaVoucher kepada STAR$ boleh berbuat demikian di kaunter khidmat pelanggan di 11 pusat beli-belah CapitaLand.

Antaranya di Bugis Junction, ION Orchard dan Raffles City.

Mereka perlu membawa baucar CapitaVoucher yang sah dan memiliki akaun keanggotaan CapitaStar.

Mereka juga perlu memuat turun aplikasi CapitaStar dalam telefon bimbit mereka.

Program ganjaran gaya hidup CapitaStar mempunyai lebih 1.4 anggota di Singapura.

Semua STAR$ yang dikeluarkan daripada penukaran kali ini mempunyai tarikh luput pada 30 Jun 2024.

BAUCAR "PALING DITERIMA"

Ketua platform digital, runcit dan ruang kerja CapitaLand Investment (Singapura dan Malaysia), Encik Reuben Yong, berkata peralihan kepada baucar digital eCapitaVoucher itu disebabkan ia semakin popular dalam kalangan pengguna dan peruncit sejak dilancarkan pada 2019.

"Pada 2022, penjualan eCapitaVoucher meningkat sebanyak 29 peratus dari tahun ke tahun, dan lebih daripada S$280 juta penjualan yang diraih penyewa adalah melalui penggunaan eCapitaVoucher," katanya.

Dengan menggunakan baucar digital sepenuhnya, CapitaLand juga akan dapat memperbaiki aplikasi CapitaStar untuk menyediakan "perkhidmatan nilai tambah kepada pengguna dan peruncit".

"Kami akan terus berinovasi dan memperkukuh populariti eCapitaVoucher sebagai baucar beli-belah digital yang paling diterima di seluruh Singapura," kata Encik Yong.

eCapitaVoucher diterima di lebih 3,200 kedai di 28 hartanah yang mengambil bahagian. Sejak 10 April, program itu sudah diluaskan ke Paragon, Clementi Mall, Rail Mall dan Seletar Mall.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita