Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Baucar digital CDC: Peniaga syukur dapat elak 'kerugian', perniagaan tambah rancak

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sejak tahun lalu, Encik Sahat Wahab memang mengalu-alukan jika pelanggan ingin menggunakan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) untuk 'membeli' makanan di gerainya, King Nasi Padang.

Malangnya, beliau acap kali mengalami kerugian. Sebabnya, ada baucar atau kupon yang dikumpul menjadi rosak atau hilang sedangkan semua itu perlu diserahkan kepada pihak CDC untuk meraih pendapatan sebenar.

Menurut Encik Sahat, baucar terkumpul perlu diserahkan kepada pihak CDC pada jam 2.30 petang setiap hari.

"Lepas 2.30, (permohonan) ditutup. Kena tunggu hari lain. Kupon itu saya campur-campur dan kemudian saya kadang-kadang terlupa saya meletakkannya di mana, atau baucar fizikal itu terkena air dan sebagainya. Ia akhirnya tidak boleh digunakan dan menjadi sia-sia. Saya rugi," cerita lelaki berusia 59 tahun itu.



Pemilik gerai yang terletak di Blk 88 Bedok North Street 4 itu bagaimanapun kini boleh menghela nafas lega.

Baucar CDC yang mula diagihkan pada bulan lalu semuanya dalam bentuk digital. Cara menebusnya juga perlu dilakukan menerusi wadah digital.

Ini bermakna, para pegerai tidak lagi akan berdepan masalah seperti yang pernah dialami Encik Sahat.

"Baucar digital CDC ini betul-betul bagus berbanding dulu. Sebab apa? Kita cuma perlu imbas kod. Kalau pelanggan tidak tahu pun tidak mengapa, saya boleh ajar mereka," luah Encik Sahat secara jujur sambil menambah, operasi mengendalikan gerai menjadi lebih mudah kerana urus niaga digital semuanya dikemas kini secara automatik.



King Nasi Padang antara kedai yang terdaftar di bawah Skim Baucar CDC sejak skim berkenaan dilancarkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Disember lalu.

Dalam tempoh kurang dua bulan, Encik Sahat sudahpun meraih lebih S$600.

"Pendapatan bertambah saya rasalah. Ada pelanggan tidak suka pakai wang tunai. Jadi mereka suka bila datang ke gerai saya dan tengok lalu beli."

TIMBUL KESEDARAN MANFAAT PEMBAYARAN DIGITAL

Menurut Persatuan Rakyat, lebih 12,500 peniaga sudahpun mendaftarkan diri bagi Skim Baucar CDC di mana mereka menerima baucar digital CDC sebagai satu bentuk pembayaran.

Daripada jumlah itu, ramai peniaga awalnya perlu didekati dan didampingi duta-duta CDC kerana mereka tidak pernah menggunakan kaedah pembayaran digital.

Antaranya termasuk Haron Groceries di Pasar Geylang Serai.



"Ini baru pertama kali saya gunakan wadah digital, Alhamdulillah. Tidak susah. Senang, saya belajar ikut setiap langkah yang diterangkan," kata pemilik Haron Groceries, Encik Haron Amat.

Hasilnya, perniagaan beliau menjadi lebih rancak. Sejak menerima pembayaran menggunakan baucar digital CDC pada awal bulan ini, jumlah yang ditebus di kedai runcitnya melebihi S$300!

Lebih menarik lagi adalah, pelanggan yang menebus baucar-baucar digital itu adalah mereka yang berusia antara 55 hingga 70 tahun.

Dalam erti kata lain, 'pembayaran' digital boleh dilakukan sesiapa sahaja - tidak kira yang muda ataupun yang tua.



Ini membulatkan lagi niat Encik Haron, 50 tahun, untuk menawarkan pembayaran digital di kedai runcitnya pada masa akan datang.

"Kadang-kadang pelanggan tak tahu sangat pakai tetapi saya ajar mereka. Dari situ mereka faham sikit. Lagi bagus. Ini semacam kemudahan," kongsi beliau.

Encik Haron menambah, menggunakan kaedah digital juga memudahkan operasi kedai runcitnya kerana beliau tidak perlu bimbang tentang recehan wang kecil.

Selain Haron Groceries, terdapat lagi 33 gerai di Pasar Geylang Serai yang menerima baucar digital CDC. Ini termasuk gerai makanan, kedai barangan dapur dan kedai menjual pakaian.

DUTA CDC GIAT DEKATI PARA PENJAJA - FAHMI ALIMAN

Sementara itu, Datuk Bandar Daerah Tenggara Fahmi Aliman berkongsi bersama BERITAmediacorp bahawa duta-duta CDC dan para sukarelawan masih giat mendekati para penjaja untuk menyertai Skim Baucar CDC.

Peniaga-peniaga yang didekati khususnya dibimbing untuk menggunakan aplikasi 'RedeemSG' di mana rekod urus niaga dikemas kini secara automatik.
 

(Gambar: Persatuan Rakyat)

Ditanya jika ada sebarang kumpulan penjaja yang menjadi sasaran inisiatif berkenaan, ini kata Encik Fahmi:

"Kalau nak tanya sama ada sebarang kumpulan tertentu yang kami sasarkan, sebenarnya tidak. Namun, kita rata-rata membantu warga emas yang ingin menceburi bidang digital ini."

Beliau menarik perhatian, walaupun Skim Baucar CDC pada dasarnya dilancarkan sebagai cara mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura kerana bersatu padu sepanjang pandemik COVID-19, ini juga boleh menjadi permulaan untuk mengajak lebih ramai peniaga mendakapi kemahiran digital.



"Yang penting bagi kita (CDC) ialah untuk menunjukkan bahawa digital adalah satu platform yang agak senang digunakan di mana kita dapat menggunakan teknologi atau digital bagi skim-skim yang lain," tambah Encik Fahmi.

Sejauh ini, lebih S$28 juta baucar CDC sudah dibelanjakan lebih sejuta keluarga. Orang ramai mempunyai pilihan yang cukup luas - dari menebus baucar di klinik, kedai gunting rambut sehinggalah kedai cermin mata.

Sumber : BERITA Mediacorp/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan