Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Baucar CDC S$100 bagi setiap keluarga rakyat S'pura; warga tua dibantu tebus baucar digital

Satu skim yang akan mengagihkan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai S$130 juta kepada semua keluarga rakyat Singapura dilancarkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Kelab Masyarakat Jurong Spring hari ini (13 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Dec 2021 08:33PM Dikemas Kini : 14 Dec 2021 12:19AM

SINGAPURA: Satu skim yang akan mengagihkan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai S$130 juta kepada semua keluarga rakyat Singapura dilancarkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Kelab Masyarakat Jurong Spring hari ini (13 Dis).

Skim yang sebelum ini diumumkan semasa Belanjawan tahun ini dibentangkan adalah sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga Tambahan bernilai S$900 juta. Seramai 1.3 juta keluarga rakyat Singapura akan masing-masing menerima baucar CDC bernilai S$100 dalam bentuk digital.

Baucar-baucar tersebut, yang boleh digunakan di gerai-gerai penjaja dan kedai-kedai kawasan kejiranan yang mengambil bahagian dalam skim tersebut, mesti ditebus sebelum 31 Disember 2022, menurut kelima-lima CDC dalam satu kenyataan bersama dengan Persatuan Rakyat (PA).

Hanya seorang anggota keluarga perlu mengunjungi laman dan log masuk menggunakan Singpass mereka untuk menebus baucar.

Pautan pada baucar CDC itu akan dihantar ke nombor telefon bimbit yang digunakan untuk mendaftar. Baucar itu kemudian boleh dikongsi secara digital bersama anggota keluarga yang lain.

Baucar-baucar tersebut boleh ditebus di gerai-gerai penjaja dan kedai-kedai kawasan kejiranan yang boleh dikenal pasti melalui pelekat baucar CDC.

Untuk menggunakan baucar tersebut, para penduduk boleh mengklik pautan baucar CDC, kemudian memilih jumlah yang ingin digunakan dan menunjukkan kod QR kepada para peniaga yang mengambil bahagian untuk diimbas menggunakan aplikasi RedeemSG mereka.

Bantuan akan disediakan di balai rakyat dan kelab masyarakat untuk membimbing para penduduk tentang cara-cara untuk menebus baucar. Keutamaan akan diberikan kepada warga senja tanpa anggota keluarga di sisi mereka untuk membantu.

Para penduduk yang tidak mempunyai telefon bijak atau mereka yang perlu mendaftar Singpass atau menukar semula kata laluan mereka juga akan dibantu sepanjang tempoh skim tersebut.

Jika perlu, pilihan untuk mencetak salinan baucar tersebut turut disediakan di balai rakyat atau kelab masyarakat.

Bantuan juga akan disediakan di pusat jawatankuasa penduduk atau rangkaian pusat penduduk terpilih di kawasan-kawasan yang terdapat lebih ramai penduduk warga tua.

"Selain itu, Duta Digital di hab masyarakat SG Digital dan perpustakaan awam tertentu juga akan menghulurkan bantuan kepada penduduk kurang celik digital yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan baucar digital mereka. Duta Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) juga akan membantu dengan sebarang pertanyaan atau permintaan untuk mendapatkan bantuan semasa melakukan lawatan dari rumah ke rumah warga tua," menurut kenyataan media itu lagi.

"Kami faham bahawa bukan setiap penduduk celik digital dan ada yang mungkin memerlukan bantuan untuk menggunakan baucar digital. CDC komited untuk memastikan semua penduduk dapat memanfaatkan baucar CDC bernilai S$100 itu," menurut Datuk Bandar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Tengah Singapura, Cik Denise Phua.

"Kami berharap baucar ini dapat menampung sebahagian daripada kos sara hidup para penduduk kita dan menyokong para penjaja serta peniaga di kawasan-kawasan kejiranan yang mungkin menghadapi kesukaran akibat pandemik."

Skim baucar tersebut bertujuan untuk memenuhi dua matlamat utama: Mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura atas semangat perpaduan yang ditunjukkan sepanjang pandemik, serta menyokong para penjaja dan peniaga di kawasan kejiranan yang terjejas, menurut kelima-lima CDC dan PA dalam kenyataan bersama itu.

Demi memastikan Skim Baucar CDC itu mudah digunakan dan inklusif, kelima-lima CDC bersama dengan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTECH) sudah merintiskan beberapa percubaan dengan para penduduk, penjaja dan peniaga di kawasan kejiranan untuk memperhalusi pengalaman menebus dan membelanjakan baucar digital.

"Maklum balas daripada peringkat akar umbi serta saranan-saranan yang diusulkan turut diambil kira untuk menghasilkan huraian digital yang akan memanfaatkan para penjaja dan peniaga di kawasan kejiranan menerusi pembayaran yang lebih pantas dan menjimatkan masa, agar mereka tidak lagi perlu mengumpul, mengira dan menyerahkan baucar kertas. Para penduduk juga tidak perlu mengunjungi CC untuk mendapatkan baucar fizikal," tambah kenyataan itu lagi.

Sumber : CNA/IH/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan