Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Baucar bukan huraian jangka panjang; sebahagian besar Belanjawan bagi program tingkatkan kemahiran penduduk

Pengagihan baucar untuk membantu rakyat Singapura menampung kos sara hidup yang meningkat bukan huraian jangka panjang dan ia hanya membentuk sebahagian kecil daripada keseluruhan Belanjawan, kata Perdana Menteri Lawrence Wong di parlimen pada Jumaat (28 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Baucar bukan huraian jangka panjang; sebahagian besar Belanjawan bagi program tingkatkan kemahiran penduduk

Gambar fail baucar CDC.

Diterbitkan : 28 Feb 2025 06:57PM Dikemas Kini : 28 Feb 2025 06:58PM
SINGAPURA: Pengagihan baucar untuk membantu rakyat Singapura menampung kos sara hidup yang meningkat bukan huraian jangka panjang dan ia hanya membentuk sebahagian kecil daripada keseluruhan Belanjawan, kata Perdana Menteri Lawrence Wong di parlimen pada Jumaat (28 Feb).

Langkah menampung kos sara hidup dan sokongan yang ditawarkan dalam pakej SSG60 hanya merangkumi 5 peratus daripada Belanjawan 2025, kata Encik Wong dalam ucapannya bagi menggulung perbahasan tiga hari tentang Belanjawan.

"Sebahagian besar daripada perbelanjaan kami adalah dalam program struktur terutama sekali untuk melengkapkan dan memperkasakan warga Singapura menerusi pendidikan, latihan kemahiran, peningkatan kemahiran, latihan pekerjaan dan langkah-langkah ketara terhadap SkillsFuture," kata Encik Wong yang juga Menteri Kewangan.

"Semua ini akan memastikan rakyat Singapura bukan sahaja menerima bantuan, tetapi dapat berdikari dan merebut peluang lebih baik untuk diri mereka dan bertakat dalam dunia yang pesat berubah."

Encik Wong berkata demikian sebagai menjawab komen daripada Anggota Parlimen parti-parti pembangkang tentang sama ada lebih banyak tumpuan harus diberikan kepada sokongan jangka panjang berbanding pengagihan sokongan jangka pendek.

"Parti Pekerja dan Parti Kemajuan Singapura seolah-olah tidak gembira dan berpuas hati bahawa pemerintah mengagihkan baucar untuk membantu warga Singapura menampung kos sara hidup," kata Encik Wong.

"Mereka berkata Pemerintah hanya bergantung kepada pengagihan baucar untuk membantu dengan kos sara hidup, namun kita tidak pernah katakan sedemikian," kata Encik Wong.

"Ini hanya langkah bantuan sementara, ia bukan huraian jangka panjang."

Encik Wong mengumumkan dalam ucapan Belanjawan pada awal bulan ini bahawa sebagai sebahagian daripada pakej SG60, semua rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas menerima baucar wang tunai sehingga S$800.

Baucar itu dijangka menelan belanja pemerintah sebanyak S$2.02 bilion pada tahun fiskal ini.

Setiap isi rumah rakyat Singapura juga akan menerima baucar CDC sebanyak S$800 bagi menampung kos yang meningkat, dan ia akan menelan belanja pemerintah sebanyak S$1.06 bilion pada tahun kewangan ini.

PENDAPATAN LEBIH TINGGI HALA TUJU KE HADAPAN

Cara 'lebih tahan lama' dan lebih mampan untuk menangani kos sara hidup adalah untuk memastikan rakyat Singapura meraih pendapatan sebenar lebih tinggi, disokong oleh ekonomi yang kukuh dan keuntungan daya penghasilan, kata Encik Wong.

"Ia kekal sebagai tunjang utama pendekatan kami, dan secara objektif, kami telah mencatatkan prestasi yang baik."

Encik Wong berkata isi rumah rakyat Singapura dari setiap tahap pendapatan meraih pertumbuhan pendapatan sebenar yang berkekalan sepanjang sedekad lalu, dan apa yang dicapai oleh Singapura jauh lebih baik berbanding ekonomi maju yang lain.

Kenaikan gaji perlu dipadankan dengan kenaikan daya penghasilan, katanya.

Dalam komennya kepada Profesor Madya Jamus Lim (WP-Sengkang), yang menarik perhatian bahawa kenaikan gaji sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini telah melembapkan pertumbuhan daya penghasilan dan skop bagi kenaikan gaji lebih tinggi, Encik Wong berkata data itu harus dilihat dalam jangka yang lebih panjang.

"Sepanjang sedekad lalu, pertumbuhan gaji sebenar sepadan dengan pertumbuhan daya penghasilan, dan kami terus berusaha mencapai ini, untuk berusaha bagi daya penghasilan lebih tinggi serta gaji lebih tinggi," katanya.

Inilah tujuan model gaji progresif, kata Encik Wong, kerana ia memastikan para pekerja sentiasa menajamkan kemahiran sedang mereka 'naik tangga gaji'.

"Kami juga akan memantau kos dan menawarkan bantuan jangka pendek sewajarnya kepada syarikat-syarikat, namun tanpa menjejas insentif untuk mereka melakukan penyusunan semula struktur," katanya.

Ini adalah sebab mengapa diadakan rebat cukai pendapatan korporat dalam belanjawan tahun ini, serta penambahan pada tahap pembiayaan bersama bagi skim kredit gaji progresif untuk membantu syarikat-syarikat membuat bayaran bersama kenaikan gaji untuk pekerja bergaji rendah, katanya.

Sambil menarik perhatian bahawa persekitaran global sedia ada "sangat tidak menentu", Encik Wong berkata ia kini satu "situasi di mana keuntungan satu pihak dapat diseimbangkan secara langsung oleh pihak yang kerugian", dan bukan lagi "kerjasama menguntungkan kedua-dua pihak".

Hal itu akan merugikan ekonomi-ekonomi kecil dan terbuka seperti Singapura.

"Kami perlu bersiap sedia menghadapi persaingan lebih sengit dan lakukan apa yang perlu untuk terus kekal dalam permainan ini," katanya.

Dan ini sebabnya pemerintah Singapura mengumumkan tokokan S$3 bilion ke Dana Produktiviti Nasional untuk menawarkan "lebih pembakar semangat" untuk kekal berdaya saing dan menarik pelaburan, kata Encik Wong.

Dana itu ditubuhkan pada 2010 bagi menyokong inisiatif untuk meningkatkan daya penghasilan dan melatih para pekerja.

"Kami mengambil langkah bagi mengukuhkan prasarana kami, mempertingkatkan ekosistem perusahaan serta enjin inovasi dan teknologi.

"Dan langkah-langkah ini akhirnya akan menghasilkan pekerjaan dan peluang lebih baik untuk semua rakyat Singapura," katanya.

Pihak berkuasa Singapura juga akan mengambil "langkah-langkah proaktif" bagi memastikan Singapura kekal sebagai rakan kongsi yang boleh diyakini dan dipercayai dalam perdagangan global, kata Encik wong.

"Dalam dunia yang semakin berpecah belah, kita harus bekerja lebih keras untuk kekal terbuka sebagai sebuah hab di mana perniagaan dari seluruh dunia dapat beroperasi dengan penuh rasa terjamin dan keyakinan," katanya.

PERBELANJAAN SOSIAL DIJANGKA MENINGKAT

Walaupun dengan ekonomi yang kukuh dan berkembang, hakikat seharian bagi rakyat Singapura mungkin berbeza, kata Encik Wong.

"Kehidupan di bandar yang padat seperti Singapura tanpa kawasan pedalaman mungkin hebat persaingannya dan boleh membuat seseorang berasa tertekan, iaitu sesuatu yang dibangkitkan dalam ucapan oleh kedua-dua anggota dewan sepanjang dua hari lalu," katanya.

Encik Wong menarik perhatian terdapat seruan agar pemerintah mengambil "langkah berani" berhubung dasar-dasar sosial.

Beliau berkata di seluruh dunia, terdapat banyak contoh aturan sokongan sosial yang dimulakan dengan niat yang baik tetapi ia hanya menimbulkan lebih banyak masalah.

Sebagai contoh, sesetengah perundangan menawarkan jagaan kesihatan universal namun ia kini berdepan kos yang meningkat dan sistem jagaan kesihatan yang terlalu dibebani.

"Ini bukan tentang perbelanjaan pemerintah," kata Encik Wong.

"Kami bersedia untuk membelanjakan lebih jika perlu, tetapi ia adalah sama penting, jika tidak lebih penting untuk memastikan kita melakarkan dasar-dasar yang betul dan untuk memastikan keseluruhan sistem adalah kukuh dari segi fiskal dan mampan."

Encik Wong berkata "tunjang utama sistem sosial kita dan kontrak sosial kita" sedang diperkukuhkan secara progresif.

Ini termasuk Skim Daya Kerja bagi pekerja berpendapatan rendah, Skim Ihsan Senja bagi golongan warga emas lebih mudah terjejas dan SkillsFuture untuk menyokong semua pekerja.

Encik Wong berkata Pemerintah terus menerima maklum balas yang diberikan oleh Anggota Parlimen tentang bagaimana membantu kumpulan mudah terjejas seperti golongan kurang upaya, warga emas, penjaga, pekerja bebas dan agensi, ibu yang bekerja dan mereka yang mengalami isu kesihatan mental.

"Kami sentiasa berfikiran terbuka, dan kami mengkaji semua cadangan anda dengan teliti. Dan selain daripada idea-idea yang dikongsi di Dewan, kami terus mendampingi dan mendengar pandangan semua rakyat Singapura," kata Encik Wong.

Encik Wong berkata lebih banyak dibelanjakan untuk pembangunan sosial daripada ekonomi dan keselamatan.

"Sebenarnya, perbelanjaan sosial lebih tinggi daripada apa yang dibelanjakan untuk ekonomi dan keselamatan negara, jadi kita bukan sekadar katakan bahawa kita akan lakukannya, kita telah lakukannya secra konkrit dan kami menjangkakan perbelanjaan sosial akan terus meningkat sepanjang beberapa tahun akan datang ini."

Encik Wong berkata sistem sokongan sosial yang kukuh tidak harus hanya bergantung kepada pemerintah sahaja.

"Kami akan lakukan lebih lagi, tetapi tindakan kita perlu dilengkapi dengan tanggungjawab individu dan masyarakat," katanya.

MELINDUNGI DARI XENOFOBIA

Mengikut rentak peralihan industri, Encik Wong berkata keprihatinan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat Singapura mengenai pekerjaan mereka benar-benar berlaku.

Namun, sebab ia berlaku perlu difahami dan rakyat asing tidak harus dipersalahkan.

"Kami lihat ia berlaku di banyak negara lain di mana rakyat asing dituduh dan wacana awam menjadi sesuatu yang sangat negatif, sangat toksik dan menuju ke arah xenofobia," kata encik Wong.

"Ini bukan pendirian kita di Singapura, dan kita tidak boleh benarkan perkara itu berlaku di sini."

Encik Wong berkata pendekatan terhadap pekerja hijrahan adalah jelas: "Kami mengalu-alukan mereka untuk bekerja di sini, tetapi kami melakukannya secara terkawal dan memastikan mereka melengkapi rakyat Singapura, dan kami terus memperhalusi sistem kawalan kami dari masa ke masa,"katanya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan