Basikal tanpa brek tidak lagi dibenarkan di laluan pejalan kaki dan jalan raya
Penggunaan basikal tanpa brek tidak akan lagi dibenarkan di laluan pejalan kaki dan jalan raya pada masa hadapan, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Isnin (25 Jan).
(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Penggunaan basikal tanpa brek tidak akan lagi dibenarkan di laluan pejalan kaki dan jalan raya pada masa hadapan, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Isnin (25 Jan).
Langkah itu adalah sebahagian daripada usulan yang dikemukakan oleh semakan keempat Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP), yang diterima Pemerintah, menurut MOT dalam satu kenyataan media.
Semakan itu yang diserahkan kepada Pemerintah pada 30 Dis, bertujuan untuk "menggalak pengunaan alat mobiliti aktif secara selamat".
"Sementara keselamatan di laluan pejalan kaki sudah dipertingkatkan, tepat pada masanya bagi panel tersebut untuk terus mengawasi landskap berkenaan dan memberi saranan yang memandang ke hadapan," menurut MOT.
"Panel itu juga memainkan peranan penting dalam mendampingi orang ramai dan menggalakkan kesedaran dan tanggungjawab awam dalam kalangan semua pengguna laluan pejalan kaki."
KEPRIHATINAN KESELAMATAN
Dalam semakan itu, panel tersebut mengesyorkan agar semua basikal diwajibkan dipasang brek apabila digunakan di laluan pejalan kaki dan jalan raya bagi menangani keprihatinan keselamatan yang timbul daripada basikal yang tidak dipasang brek.
"Ini dialu-alukan oleh masyarakat mobiliti aktif, para peruncit dan pejalan kaki," menurut MOT.
"Kami akan bekerjasama rapat dengan panel itu bagi melaksanakannya. Butiran lanjut akan diumumkan pada satu tempoh masa kelak."
Peraturan yang diusulkan itu akan menjejas basikal dengan gear tetap atau lazimnya dikenali sebagai 'fixie', serta basikal 'motorcross' BMX yang digunakan dalam perlumbaan lasak dan aksi nekad. Ia merangkumi sebahagian besar basikal khas yang sama ada tidak dipasang brek atau hanya dipasang satu brek tangan, menurut panel penasihat tersebut.
Pengayuh basikal sedemikian memerlukan tenaga dan kekuatan yang tinggi serta daya ketahanan untuk menghentikan basikal tersebut.
Di bawah peraturan yang disarankan, basikal tanpa brek itu harus dipasang sekurang-kurangnya satu brek tangan berfungsi apabila digunakan di laluan pejalan kaki dan jalan raya. Basikal sukan yang tidak dipasang brek tetap boleh digunakan di sekitaran terkawal seperti trek berbasikal dan taman papan selaju, tambah panel itu.
Sementara itu, MOT menyatakan: "Semua pengguna alat mobiliti aktif harus terus mengamalkan aktiviti menunggang secara selamat dan sentiasa mengawasi pengguna lain di jalan raya dan laluan pejalan kaki."
INSURANS TANGGUNGJAWAB PIHAK KETIGA
Panel itu juga menekankan peri pentingnya memantau keberkesanan keperluan berkenaan sejak Disember 2020 bagi para pengguna alat mobiliti aktif yang berbasikal untuk tujuan perniagaan atau komersil diberi perlindungan insurans tanggungjawab pihak ketiga.
Pihak berkuasa juga perlu mendampingi industri insurans untuk menyediakan insurans tanggungjawab pihak ketiga yang lebih dimampui bagi para penunggang bukan untuk tujuan komersil, menurut panel itu.
"Kami bersetuju dengan penilaian panel itu dan akan bekerjasama dengan mereka untuk terus mengkaji isu tersebut," menurut MOT.
SOKONGAN AWAM "MENGGALAKKAN": FAISHAL IBRAHIM
Anggota panel dan Menteri Negara bagi Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Muhammad Faishal Ibrahim menyifatkan keputusan Pemerintah itu "satu langkah yang baik yang akan menbaiki keadaan sekarang".
"Meskipun kebanyakan basikal dijual siap dipasang dengan dua brek tangan, adalah tepat pada masanya untuk melaksanakan peraturan ini kerana minat terhadap basikal tanpa brek meningkat baru-baru ini," kata Dr Faishal dalam satu catatan Facebook pada Isnin (25 Jan).
"Saya amat berbesar hati kerana ramai penunggang basikal, pejalan kaki dan peruncit menyuarakan sokongan terhadap langkah itu dan bersetuju bahawa ia lebih selamat bagi semua pengguna jalan raya dan pejalan kaki."
Mengenai isu insurans tanggungjawab pihak ketiga, pihak panel kata Profesor Madya Faishal, perlu mengkaji idea mewajibkan semua pengayuh basikal bukan komersil.
"Peraturan sedemikian akan memberi kesan kepada ramai warga Singapura seperti golongan warga emas, keluarga dan kanak-kanak yang berbasikal untuk riadah. Ia adalah isu penting dan rumit dan kami perlu mengkaji kesannya dengan lebih teliti tanpa hilang imbangan dalam usaha kami menggalak mobiliti aktif," katanya.
"Jika anda berbasikal bagi tujuan riadah, pertimbangkan untuk mendapatkan insurans bagi ketenangan fikiran, bagi diri anda dan keluarga anda."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.