Bas tanpa pemandu diuji mulai 2019; mahu dijadikan pengangkutan awam
Ia juga menonjolkan ciri simulasi hujan dan zon banjir untuk menguji keupayaan navigasi kenderaan di bawah keadaan cuaca tropika.
SINGAPURA: Bas-bas tanpa pemandu yang mahu dijadikan pengangkutan awam akan diuji mulai awal tahun 2019 di litar ujian Universiti Teknologi Nanyang (NTU) yang terletak di Jurong, dalam satu kerjasama dengan Volvo.
Kedua-dua pihak memeterai perjanjian pada hari ini (11 Jan) untuk menjalankan ujian ke atas dua bas elektronik berautonomi dengan 40 tempat duduk di Pusat Kecemerlangan bagi Ujian dan Kajian Kenderaan Berautonomi NTU.
Litar ujian itu menyerupai keadaan jalan raya di Singapura, dengan skim-skim trafik yang biasa, prasarana jalan raya dan peraturan jalan raya.
Ia juga menonjolkan ciri simulasi hujan dan zon banjir untuk menguji keupayaan navigasi kenderaan di bawah keadaan cuaca tropika.
Ujian itu disokong oleh pengendali pengangkutan SMRT, yang terlibat menentukan sama ada bas-bas tanpa pemandu itu boleh digunakan di jalan raya.
Salah satu daripada bas itu akan menjalani ujian di sebuah depot bas yang dikendalikan oleh SMRT, untuk menilai keupayaan kenderaan tersebut melalui ruang mencuci dan meletak kereta dengan selamat di kawasan mengecas.
Sekiranya ia berjaya dilakukan, SMRT menyatakan bas-bas tersebut akan mengambil penumpang pada tahun-tahun mendatang. SMRT bgaimanapun tidak mendedahkan sebarang masa tertentu.
Bas-bas sepanjang 12 meter itu akan dilengkapi teknologi pandu sendiri seperti sistem laser untuk menjejak dan mengesan hadangan serta sistem navigasi bersepadu yang termasuk keupayaan mengemudi kenderaan, penukaran gear dan kawalan kelajuan secara automatik.
Menurut Volvo, bas sepanjang 12 meter itu memerlukan tenaga kurang 80 peratus berbanding bas bersaiz sama yang menggunakan enjin diesel.
Meskipun bas elektronik berautonomi lebih mahal untuk dibeli, kos operasinya lebih rendah.
CEO SMRT, Desmond Kuek berkata: "Kami akan memanfaatkan pengalaman luas kami mengendalikan dan menyenggara bas-bas untuk menyokong pengerahan kenderaan berautonomi dengan selamat di jalan-jalan raya pada masa akan datang.
"Bas-bas berautonomi dijangka lebih banyak dikerahkan di bawah pelan induk pengangkutan darat masa akan datang. Kenderaan sedemikian membolehkan pengerahan tenaga manusia yang optimal, membolehkan bas-bas dikerahkan di jalan-jalan raya bagi khidmat yang selamat, tepat dan cekap, sepanjang hari dalam apa juga keadaan cuaca dan trafik."
NTU dan Volvo juga akan bekerjasama dengan syarikat teknologi ABB untuk membangunkan huraian-huraian bagi mengecas kenderaan elektronik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.