Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bas bawa jemaah umrah S'pura bertembung lori di Arab Saudi; Ustaz Abu Bakar dilapor maut

Sebuah bas yang membawa sekitar 30 jemaah umrah Singapura di Arab Saudi bertembung dengan sebuah lori semasa dalam perjalanan ke bandar Taif pagi tadi (20 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

TAIF, ARAB SAUDI: Sebuah bas yang membawa sekitar 30 jemaah umrah Singapura di Arab Saudi bertembung dengan sebuah lori semasa dalam perjalanan ke bandar Taif pagi tadi (20 Mac).

BERITAMediacorp difahamkan seorang warga Singapura maut manakala ramai yang lain cedera.

Sumber-sumber memberitahu pihak kami bahawa mereka yang terlibat dalam kemalangan tersebut adalah jemaah umrah dari Abu Bakar Travel Services Pte Ltd.

Menurut beberapa sumber kepada BERITAMediacorp lagi, pengarah syarikat pelancongan itu, Ustaz Haji Mohd Abu Bakar Osman, merupakan warga Singapura yang meninggal dunia dalam kemalangan tersebut. Ramai jemaah lain dikatakan cedera dan dikejarkan ke hospital.

BAHAGIAN DEPAN BAS REMUK

Kemalangan tersebut juga dilaporkan oleh sebuah laman berita bahasa arab, Tawasul.info, yang berpangkalan di Arab Saudi. Seorang jurucakap Ketua Pengarah Pasukan Pertahanan Makkah, Mejar Jeneral Nayef Al-Sharif dipetik laman tersebut sebagai berkata: "Kemalangan itu berlaku pukul 9.00 pagi (2.00 petang waktu Singapura) hari Selasa (20 Mac), menyusuli pertembungan sebuah bas dan lori."

Beliau menambah pihaknya menerima laporan tentang sekumpulan jemaah yang terperangkap dalam bas tersebut selepas pertembungan yang berlaku di jalan Quba'iya.

"Mereka diselamatkan oleh Unit Menyelamat Pasukan Pertahanan Awam," katanya seperti dipetik laman Tawasul.info.

Gambar-gambar yang diambil di tapak kemalangan menunjukkan bahawa bahagian depan bas yang membawa jemaah Singapura itu remuk akibat pertembung dengan lori berkenaan.

Lori tersebut, yang dipercayai lori treler tanpa muatan, juga teruk terjejas sehingga merintangi jalan raya.

MANGSA KEMALANGAN DIRAWAT DI 2 HOSPITAL

Semasa dihubungi, Persatuan Agensi Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) menyatakan bahawa tiga orang kini dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU) di Hospital Raja Faishal.

17 yang lain sudah dibenarkan keluar hospital manakala lagi 10 jemaah di rawat di sebuah hospital lain.

Dua daripada jemaah Abu Bakar Travel Services terselamat dan tidak terlibat dalam kemalangan tersebut, kerana mereka tidak mengikut kumpulan tersebut ke Taif. Mereka kini berada di hotel masing-masing.

Dalam pada itu, BERITAMediacorp difahamkan bahawa isteri kepada Ustaz
Abu Bakar turut berada dalam bas tersebut dan merupakan antara mereka yang cedera teruk.

Anak beliau yang berada di Singapura kini dalam proses mendapatkan dokumen perjalanan untuk berangkat ke Arab Saudi bagi menguruskan keadaan.

BERITAMediacorp sudah menghubungi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan AMTAS bagi mendapatkan maklumat lanjut. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan