Skip to main content

Singapura

Baru 6 tahun, Adam Mahathir rangkul pingat perak dalam Kejohanan Jiu-Jitsu Dunia Abu Dhabi

Anggaran Waktu Membaca:
Baru 6 tahun, Adam Mahathir rangkul pingat perak dalam Kejohanan Jiu-Jitsu Dunia Abu Dhabi
Adam Mahathir berjaya menang pingat perak dalam sukan Jiu-Jitsu di pentas antarabangsa pada November lalu. (Gambar: Sulyani Aziz; BERITA Mediacorp/Syazwani Sanep)

SINGAPURA: Usianya baru 6 tahun. Tubuh badannya pula kecil. Namun, ketangkasan Adam Mahathir dalam sukan Jiu-Jitsu tidak boleh dipertikaikan. 

Bak pepatah, kecil-kecil cili padi. 

Baru-baru ini, Adam Mahathir berjaya merangkul pingat perak bagi kategori Kelabu/20kg dalam edisi ke-17 Kejohanan Festival Jiu-Jitsu Dunia di Abu Dhabi. 

Related article image
Adam Mahathir (paling kiri) bergambar bersama pemenang-pemenang lain di edisi ke-17 Kejohanan Festival Jiu-Jitsu Dunia di Abu Dhabi. (Gambar: Sulyani Aziz)

Ini bahkan merupakan pertandingan sulungnya di pentas antarabangsa. 

Adam merupakan salah seorang daripada lima atlet warga Singapura yang beraksi di kejohanan itu. 

Berlangsung dari 12 hingga 22 November 2025, temasya sukan berprestij itu menghimpunkan seramai 10,000 atlet Jiu-Jitsu dari pelbagai pelosok dunia. 

Untuk pingat perak yang diraihnya, Adam berjaya mengatasi pesaingnya dari Serbia sebelum kecundang di tangan peserta dari Uzbekistan melalui 'submission'. 

"Saya rasa gembira, bersyukur. Saya suka Jiu-Jitsu kerana ia jadikan saya kuat," luah Adam. 

Pencapaian anak ketiga daripada empat beradik ini juga berkat sokongan tidak berbelah bahagi ibu bapanya, Cik Sulyani Aziz dan Encik Mahathir Omar. 

Related article image
Adam Mahathir (tengah) bergambar bersama ibu bapanya, Cik Sulyani Aziz dan Encik Mahathir Omar serta adik-beradiknya. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Bahkan juga, dorongan daripada dua abang Adam yang menjadi sosok teladannya, Mateen Mahathir dan Aqil Mahathir, yang turut aktif dalam sukan Jiu-Jitsu.
Related article image
Adam Mahathir (kanan, paling depan) bersama abangnya, Mateen Mahathir dan Aqil Mahathir, serta adiknya. (Gambar: Sulyani Aziz)

PANTAU PEMAKANAN, IBU TURUT RASAKAN DEBARANNYA

Selain menghadiri latihan bersama The Gentle Art Academy selama dua jam hampir setiap hari menjelang kejohanan itu, Adam juga perlu menjaga pemakanannya.

Adam perlu meningkatkan pengambilan protein sambil mengurangkan makanan bersumberkan karbohidrat. 

"Susah pasal dia seorang budak lelaki yang sedang membesar. Dia selalu nak makan, selalu macam nak makan roti tapi kami cuba kawalnya," ujar ibu Adam Mahathir, Cik Sulyani Aziz. 

Tuntutan seperti ini lazim bagi seorang atlet Jiu-Jitsu untuk memastikan mereka kekal dalam kategori berat badan yang dipertandingkan, di samping mengekalkan prestasi pada tahap terbaik.

Related article image
Adam Mahathir bersama jurulatihnya, Arthur Gomes Barbosa. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Penyertaannya dalam beberapa pertandingan sebelum ini membantu Adam menyesuaikan diri dengan rutin seorang atlet.  

Dia sebelum ini giat menyertai beberapa pertandingan dalam negara dan pernah merangkul beberapa pingat. 

Ini termasuk pingat emas yang diraih Adam di ABJJC Singapore Championship dan Pesta Sukan Beach Wrestling & Beach Sambo Championships 2025 pada Ogos lalu. 

Sungguhpun begitu, rasa gementar masih dirasakan Adam setiap kali melangkah masuk ke gelanggang Jiu-Jitsu.

"Sebelum saya langkah masuk gelanggang, saya sebut "Bismillah". Saya berasa gementar. Terdapat ramai orang di sana menonton dan jurulatih-jurulatih lain banyak menjerit dan jurulatih tidak dibenarkan berada dekat dengan kanak-kanak," kongsi Adam.

Bukan sahaja Adam, ibunya turut merasakan debarannya melihat anak kecilnya beraksi di gelanggang.

"Dalam hati, baca doa zikir supaya semua jadi selamat dan dia dapat hasil yang baik, yang diingininya. Ini tentang dirinya dan dia telah berusaha. Jadi, kami harapkan terbaik saja," kongsi Cik Sulyani yang turut mengimbangi masa untuk menguruskan perniagaan jamunya sendiri, Suwe Ora Jamu.

Ibu berusia 42 tahun itu turut berkongsi bahawa beliau sering menasihati Adam untuk membayangkan seolah-olah ia hanyalah sesi latihan setiap kali dia berasa gementar sebelum pertandingan.

Meskipun tidak meletakkan sebarang jangkaan, Cik Sulyani tetap meluahkan rasa bangga melihat usaha Adam akhirnya membuahkan hasil.

IMPIAN DIPENDAM SI CILIK INI ...

Baru kurang setahun Adam berkecimpung dalam sukan itu, namun dia sudah pun mencatat pencapaian yang membanggakan. 

Related article image
Adam Mahathir menghadiri latihan di The Gentle Art Academy. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Malah dia menyimpan impian lebih besar iaitu untuk merangkul pingat emas bagi kejohanan antarabangsa suatu hari nanti.

"Kami sentiasa menyokong apa yang ingin dilakukan. Jika dia gemarinya, kami akan terus menyokong dan jika dia mahu ke luar negara untuk bertanding di pentas antarabangsa. Insya-Allah kalau ada kelebihan, mengapa tidak bukan?" kata Cik Sulyani. 

Adam kini membuat persiapan untuk beraksi dalam kejohanan Grappling Industries pula pada Mac depan di Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita