Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Barisan panjang bagi pasport di bangunan ICA pada hari pertama peraturan baru dikuatkuasa

Barisan beratur panjang berlaku dalam bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Isnin (13 Jun), iaitu hari pertama peraturan baru bagi membenarkan hanya pemohon pasport tertentu sahaja untuk masuk tanpa sebarang janji temu.

Anggaran Waktu Membaca:
Barisan panjang bagi pasport di bangunan ICA pada hari pertama peraturan baru dikuatkuasa

Orang ramai di hadapan laluan masuk bangunan ICA, bertanya sama ada mereka boleh masuk. (Gambar: CNA/ Cheryl Lin)

SINGAPURA: Barisan beratur panjang berlaku dalam bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Isnin (13 Jun), iaitu hari pertama peraturan baru bagi membenarkan hanya pemohon pasport tertentu sahaja untuk masuk tanpa sebarang janji temu.

Hanya mereka yang dimaklumkan untuk mengambil pasport mereka, menyerahkan dokumen atau menyerahkan semula gambar mereka dibenarkan masuk, menyusuli perubahan proses yang diumumkan pada hujung minggu lalu.

Peraturan baru itu dilaksanakan di tengah-tengah permohonan pasport yang naik mendadak, sekali gus menyebabkan barisan beratur panjang di bangunan itu sejak beberapa minggu lalu.

ICA menyatakan ramai individu sebelum ini datang untuk memeriksa status aplikasi mereka atau meminta supaya permohonan mereka dipercepatkan. Ini menyebabkan pihak berkuasa perlu mengerahkan pegawai tambahan bagi menguruskan orang ramai dan khidmat lain.

Apabila Mediacorp mengunjungi bangunan ICA semasa waktu makan tengah hari pada Isnin, tiada barisan dilihat seperti minggu-minggu lalu.

Ramai pengunjung tetap memasuki bangunan tersebut selepas ditanya oleh pegawai yang memberi pelekat bagi menandakan sama ada mereka membuat janji temu atau tidak.

Bagaimanapun beberapa kumpulan orang juga dilihat berada di luar tempat masuk, untuk mendapatkan penjelasan pegawai ICA sama ada mereka boleh memasuki bangunan tersebut.

TUNGGU LAMA BAGI PASPORT

Meskipun tempoh menunggu untuk memasuki bangunan tidak begitu lama, pemohon berkata keadaannya berbeza untuk mendapatkan pasport mereka.

Seorang pemohon yang tidak membuat janji temu, Muhammad Asyraf, 28 tahun, berkata beliau sudah menunggu selama empat jam dan dijangka menunggu lagi dua jam.

"Semua tempat duduk sudah diambil, semua orang duduk di lantai sehingga ke bahagian lobi lif dan itu tingkat dua sahaja," katanya.

Beliau menambah pegawai ICA meminta sebilangan orang ke luar bangunan dahulu jika nombor giliran mereka masih jauh bagi mengurangkan kesesakan.

"Memenatkan. Rakyat Singapura menjangkakan sistem yang lancar, tidak kira di poliklinik atau pendaftaran, jadi apabila ia berlaku seperti ini, agak menjengkelkan tetapi kita tetap harus lakukan," katanya.

"Pilihan hantar ke pejabat pos juga sangat sesak. Kami tinggal di Jurong dan di cawangan Jurong penuh setiap hari."

LANGKAH BARU LEBIH BERKESAN

Bagaimanapun bagi pemohon lain, seperti Encik Chua, 34 tahun, aturan baru itu lebih baik berbanding sebelum ini.

"Saya datang ke sini minggu lalu... keadaan sekarang lebih baik. Minggu lalu, barisan beratur tidak berpenghujung. Pada 2.00 petang atau 3.00 petang, anda masih beratur hanya untuk masuk bangunan."

Beliau juga berkata keadaan kurang sesak di bawah sistem baru itui, dengan ICA juga menghadkan jumlah anggota keluarga yang boleh memasuki bangunan.

BANTUAN BAGI KHIDMAT LAIN

Meskipun wujud sistem yang baru, masih ada pengunjung yang datang untuk mendapatkan bantuan bagi isu lain.

Ini termasuk Encik Kevin Ong, 56, yang meminta supaya permohonannya untuk memperbahaui pasport dipercepatkan.

Apabila beliau tiba di bangunan itu, beliau diminta mengimbas kod QR bagi menyerahkan borang - tetapi berkata beliau tidak menemui maklumat yang diperlukan pada kali pertama membuat permohonan.

ICA mengingatkan pemohon bahawa mereka boleh menyemak status aplikasi pasport mereka secara online.

Mereka yang mempunyai pertanyaan berkaitan pasport juga boleh memeriksa laman ICA atau menghubungi pihak berkuasa melalui fungsi perbualan langsung laman web itu.

Pemohon yang ada keperluan mendesak ke luar negara boleh menyerahkan rayuan secara online bagi mempercepatkan proses mendapatkan pasport mereka.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan