Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Barangan terpakai derma orang ramai di SG buat mangsa gempa Turki, Syria dibuang atau dihantar ke NGO

Anggaran Waktu Membaca:
Barangan terpakai derma orang ramai di SG buat mangsa gempa Turki, Syria dibuang atau dihantar ke NGO

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 10 Mar 2023 08:48PM Dikemas Kini : 10 Mar 2023 08:53PM
SINGAPURA: Barang-barang terpakai yang diderma oleh orang ramai di Singapura untuk mangsa gempa bumi di Turki dan Syria sama ada dibuang atau diserahkan kepada pertubuhan bukan pemerintah (NGO).

Pihak Mediacorp difahamkan langkah-langkah sedemikian dilakukan atas sebab-sebab kebersihan.

Gempa berukuran 7.8 pada skala Richter yang menggoncang kedua-dua negara itu pada 6 Februari meragut lebih 50,000 nyawa.

Ia membawa kepada sokongan melimpah daripada para penduduk di Singapura yang membanjiri pusat-pusat derma serta kedutaan Turki di sini untuk menyumbangkan barangan seperti pakaian bagi musim sejuk dan lampin bayi.
Duta Turki ke Singapura Mehmet Burçin Gönenli memberitahu Mediacorp pada Selasa (7 Mac) bahawa Turki hanya menerima pakaian baru atau yang tidak dipakai atas sebab-sebab kebersihan.

Disebabkan itu, kedutaan tersebut "berhubungan dengan beberapa NGO" bagi "menjalin kerjasama dengannya, dengan hasrat untuk menghantar pakaian-pakaian terpakai kepada mereka yang memerlukan," katanya.

"Pihak NGO sedang mengitar semula pakaian tersebut dan menghantarkannya ke pelbagai negara yang memerlukannya di rantau ini tetapi saya tidak tahu secara khusus di mana."

Mr Gönenli menambah bahawa kedutaan itu menyerahkan sejumlah pakaian terpakai ke Global Ehsan Relief, sebuah kumpulan bantuan kemanusiaan yang berpangkalan di Malaysia. Ia juga mempunyai cawangan di negara-negara seperti Singapura, Indonesia dan Sri Lanka.

Setakat Jumaat (10 Mac), NGO itu tidak menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai apa yang dilakukannya dengan sumbangan tersebut.

Satu lagi syarikat yang dihampiri kedutaan Turki adalah firma kitar semula tempatan, Tay Paper Recycling.

Pengurus besarnya, Daryl Chew, berkata syarikat itu "membuang pakaian yang tidak diinginkan" pada berat sekitar 16,000 kilogram.

171 TAN SUMBANGAN DERMA DIHANTAR KE TURKI

Pada Selasa, Encik Gönenli berkata bahawa selain kakitangannya daripada kedutaan itu, sukarelawan warga Turki dan Singapura sudah mengasing-asingkan dan membungkus sumbangan derma tersebut.
Mereka memilih barang-barang yang sesuai untuk dihantar ke Turki.

Ini termasuk barangan yang dalam bungkusan aslinya. Para sukarelawan juga memeriksa keadaan barangan yang diderma, tambah beliau.

Encik Gönenli memberitahu bahawa setakat ini, kedutaan Turki sudah menghantar sumbangan derma seberat 116,000 kilogram ke Turki melalui udara. Ia termasuk khemah, beg tidur, pakaian, makanan bayi dan selimut.

Kedutaan itu kemudian bekerjasama dengan satu lagi syarikat pengangkutan untuk menghantar 55 tan sumbangan derma melalui kapal ke Turki.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan