Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Barangan dari Masjid Wak Sumang, Darul Aman antara 100 artifak di pameran Muzium Tamadun Asia

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: Memukul beduk dan kentung untuk menandakan masuk waktu solat Jumaat kekal sebagai tradisi yang dilestarikan Masjd Darul Aman sehingga ke hari ini.

Ia juga merupakan salah satu daripada beberapa masjid sahaja di Singapura yang masih mengamalkan tradisi itu.

Oleh itu, ia mahu memperkenalkan budaya ini dengan masyarakat yang lebih luas.
Ketua Penglibatan Masyarakat dan Dakwah Masjid Darul Aman, Muhd Ridzwan Abdul Manap.(Gambar: Nurfazirah Azman)

Bagi tujuan tersebut, masjid itu bekerjasama dengan Muzium Tamadun Asia (ACM).

Para pengunjung kini berpeluang untuk melihat sendiri beduk dan kentung dari Masjid Darul Aman, yang dipamerkan dalam pameran pelbagai agama ACM berjudul 'Jasad dan Jiwa: Badan Manusia dalam pemikiran dan Amalan'.

"Kentung dan beduk yang kami ada sejak pembinaan Masjid Darul Aman awal-awal lagi dan Masjid Darul Aman sebelum ini terkenal dengan kebudayaan dengan kemeriahan kelas-kelas ilmu agama dan ini pada asalnya daripada Masjid Aminah jadi kami bawa ke Masjid Darul Aman," jelas Ketua Penglibatan Masyarakat dan Dakwah Masjid Darul Aman, Muhd Ridzwan Abdul Manap.

"Kami gunakan pada masa ketika itu untuk memanggil kepada solat untuk memberikan pengumuman dan sebagainya dan ini merupakan alat komunikasi yang ada pada ketika itu yang masih dikekalkan di Masjid Darul Aman," tambahnya.

Beduk yang biasanya digunakan untuk menandakan masuk waktu solat (Gambar: ACM)

Beliau juga berharap beduk dan kentung itu dapat mengembalikan nostalgia dalam kalangan jemaah mereka.

"Masjid Darul Aman berada di pintu gerbang Geylang Serai dan budaya-budaya sebegini sangat dekat dengan jemaah kami. Ini terutama sekali golongan-golongan warga emas. Bila kami promosikan, meneruskan budaya sebegini, ia memberikan satu gambaran dan pengalaman yang indah bagi jemaah kami pada zaman muda mereka dahulu," tambah beliau.

Pameran yang memaparkan lebih 100 artifak yang disumbangkan daripada pengumpul peribadi, koleksi negara serta kerjasama dengan rakan-rakan kongsi masyarakat itu meninjau bagaimana beberapa masyarakat agama di Asia Tenggara memahami peranan badan manusia dari segi kesejahteraan.

Selain beduk dan kentung, artifak dengan nilai-nilai dan pengaruh budaya Melayu dan Jawa serta unsur-unsur Islam di rantau ini turut dipamerkan.

Antaranya adalah sebuah glob cakerawala dari India, kain limar bersurat dari Terengganu dengan seni khat, lukisan khas Masjidil Haram, kerusi berkhatan dari tanah Jawa serta barangan yang didapatkan daripada Masjid Wak Sumang.

"Kita juga ada objek-objek yang telah didapati daripada Masjid Wak Sumang. Masjid ini sekarang tiada lagi tetapi masjid ini dulu berada di Kampung Wak Sumang yang ditempatkan di Punggol. Antaranya adalah sejadah-sejadah yang digunakan dalam masjidnya dan juga bahan seni bina masjid," kata Kurator Kanan seni Islam dan Peranakan ACM, Noorashikin Zulkifli.

Kurator Kanan seni Islam dan Peranakan ACM, Noorashikin Zulkifli (Gambar: Nurfazirah Azman)
ACM mengharapkan agar lebih banyak pameran sebegini diadakan di Singapura untuk menggalakkan lebih ramai penduduk mendalami pelbagai kepercayaan agama yang wujud di Asia Tenggara.

"Dalam pameran ini kami cuba meninjau bagaimana cara-cara beberapa masyarakat agama mendekati peranan badan manusia dan kami berharap para pengunjung dapat memahami lebih dalam tentang budaya-budaya lain dan agama-agama lain," ujar Cik Noorashikin.
Artifak sumbangan Masjid Wak Sumang. (Gambar: Nurfazirah Azman)

"Para pengunjung akan menikmati beraneka jenis objek daripada bahan manuskrip, lukisan, tekstil serta alat-alat perubatan azimat dan juga citra ketuhanan," tambah beliau.

Dua pertunjukan khas mengiringi pameran tersebut yang dinamakan, “Vel Vel: The Burden Dance” dan “Buddha Relics” turut diadakan.

Kerusi yang akan mempersembahkan kanak-kanak lelaki selepas upacara berkhatan dari tanah Jawa (Gambar: Nurfazirah Azman)
Orang ramai boleh mengunjungi pameran 'Jasad dan Jiwa: Badan Manusia dalam pemikiran dan Amalan' sehingga 26 Mac 2023.

Ia dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 7 malam dan sehingga 9 malam setiap Jumaat.

Tiket-tiket berharga $12 (warga Singapura/PR) dan $25 boleh didapatkan di sini. 
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan