Skip to main content

Singapura

Barang kemas $260j dipamerkan dalam edisi terbesar Ekspo Barang Kemas Antarabangsa SG

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ekspo Barang Kemas Antarabangsa Singapura (SIJE) mencatat rekod baru dengan pameran bernilai lebih S$260 juta, menjadikannya edisi terbesar sejauh ini.

Dalam edisi ke-18 ekspo itu,ia menampilkan lebih 280 pereka barang kemas, pengilang dan pengeksport dari 28 negara.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Antara koleksi barang kemas yang dipamerkan termasuk 'Columbian Emerald' atau Zamrud Columbia oleh syarikat tempatan Ivy Masterpiece, yang bernilai AS$1.5 juta.

Ini selain anting-anting berliannya yang disifatkan sebagai "sempurna" kerana saiz kedua-dua pasang hampir serupa apabila dibelah.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Menurut syarikat itu, ia jarang berlaku dan dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa.

Acara empat hari itu dilancarkan siang tadi (13 Jul) oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah.

Dalam ucapannya, beliau membawa perhatian tentang pertumbuhan bagi sektor-sektor runcit dan pelancongan akibat fenomena 'revenge travel' atau pelancongan balas dendam dan kenaikan semula permintaan pengguna.

Gambar: SIJE 2023

Misalnya, antara Januari dan Jun tahun ini, lebih 6 juta pelawat antarabangsa tiba di Singapura dan ketibaan pelawat itu dijangka akan terus meningkat pada separuh tahun kedua terutama sekali semasa tempoh perayaan akhir tahun.

"Ini sudah memberi rangsangan besar dalam sektor runcit, mengakibatkan pertumbuhan 1.8 peratus tahun demi tahun pada Mei 2023," ucap Cik Indranee.

"Industri jam dan barang kemas juga meraih manfaat daripada momentum ini, dengan pertumbuhan 3.5 peratus tahun demi tahun dalam penjualan runcit pada Mei," tambah beliau.

KATEGORI BARU DIPERKENALKAN UNTUK ANUGERAH REKAAN BARANG KEMAS SINGAPURA

Dalam pada itu, Cik Indranee juga mengumumkan satu kategori baru dalam Anugerah Rekaan Barang Kemas Singapura (SJDA) yang mengiktiraf inovasi barang kemas bagi pemasaran dan budaya global.

"Pertandingan ini akan menyaksikan kategori baru “Artificially Exquisite” yang ditujukan khas buat penyertaan yang menerapkan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI)," kongsi Cik Indranee.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

"Selain itu, kategori baru seperti “Fresh Facets”, bagi para pelajar dan kategori terbuka “Jewellery Without Limits” juga diperkenalkan. Penyertaan bagi pertandingan itu akan berlangsung pada suku keempat 2023," tambahnya.

Beliau juga menekankan komitmen pemerintah untuk menyokong perniagaan tempatan, lebih-lebih lagi Syarikat-syarikat Kecil dan Sederhana (SME) dalam usaha mereka untuk berinovasi dan menjalani transformasi.

SYARIKAT 'STATE PROPERTY' OLEH ANAK MELAYU SG TURUT SERTA

Antara syarikat tempatan yang mengambil bahagian kali ini ialah State Property oleh pasangan suami isteri Encik Afzal Imram dan Cik Lin Ruiyin.

Barang kemas State Property pernah dipakai oleh orang-orang ternama seperti Michelle Obama, Lady Gaga dan Nicole Kidman.

Penglibatan mereka dalam SIJE kali ini lebih istimewa lagi buat mereka memandangkan syarikat itu baru sahaja melancarkan koleksi baru yang dipanggil Borsh yang berilhamkan pengaruh zaman seni bina Byzantine.

Gambar: SIJE 2023


"Saya rasa SIJE adalah platform yang tidak ada saingannya di Singapura dan platform ini memberi kami peluang untuk berjumpa klien baru, dengan mengekalkan hubungan kami dengan klien-klien yang kami sudah ada," kongsi Encik Afzal.

Ia juga kali kedua syarikat itu mengambil bahagian dalam pameran itu.

"Singapura adalah persimpangan antara barat dan timur. Ini memberi kami kelebihan untuk menarik pelanggan yang lebih pelbagai dan di Singapura juga ada peniaga barang kemas yang menawarkan produk-produk yang berkualiti," menurut Encik Afzal.

TAMPILKAN KHAZANAH DARI INDONESIA

Gambar: SIJE 2023

Selain pemain industri dari Singapura, penglibatan besar mereka dari Indonesia juga menjadikan SIJE kali ini lebih istimewa.

Indonesia ialah negara rakan penganjur bagi acara kali ini.

Antara "khazanah" Indonesia yang dipamerkan di SIJE kali ini ialah barang kemas unik termasuk mutiara dari Laut Selatan.

Menurut Duta Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo, ini adalah peluang keemasan bagi para pemain industri dari negaranya mencari peluang melebarkan sayap mereka di Singapura iaitu hab barang kemas di rantau ini.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Dengan kerjasama itu, beliau berharap produk Indonesia yang ditawarkan dapat lebih dikenali dan diminati orang ramai lebih-lebih lagi dengan keunikan dan mutu ketukangannya.

"Ada empat pengusaha SME yang ikut serta dalam pameran kali ini. Ini tentunya kesempatan bagi mereka untuk melakukan pemadanan perniagaan dan bertemu dengan rakan kongsi Singapura," kongsi Encik Pratomo.

"Mudah-mudahan kemudian ada kolaborasi dan bukan hanya pasaran Singapura tetapi pasaran antarabangsa kerana Singapura mempunyai kelebihan untuk melakukan penerobosan ke pasar global," tambah beliau.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri
Malah, kurator untuk koleksi-koleksi Indonesia di astaka itu, Cik Caroline Wihono menambah bahawa platform sebegitu bermanfaat bukan sahaja untuk para pereka tetapi juga untuk para pembeli.

"Kita ada platform untuk pereka seperti kita menampilkan barang kemas kita dalam peringkat antarabangsa seperti ini. Jadi kita sangat bangga dan meraikan seni dan ketukangan kami," ujar Cik Wihono.

"Kalau kita datang di platform seperti ini, pembeli boleh membina hubungan dengan barang kemas ini dan mereka boleh mencuba dahulu sebelum membeli," tambahnya.

Orang ramai boleh berkunjung ke pameran itu yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands hingga Ahad (16 Jul).

Selain pameran, para pengunjung juga boleh ikuti bengkel-bengkel barang kemas, sesi-sesi ceramah serta pertunjukan fesyen.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita