Bapa pulih dengan cepat kerana anak kenal simptom angin ahmar
Tarikh 29 Oktober adalah Hari Angin Ahmar Sedunia. Di Singapura, lebih 8,300 kes angin ahmar dicatatkan pada 2018 - naik 5 peratus berbanding sekitar 7,900 kes pada 2017.
SINGAPURA: Tarikh 29 Oktober adalah Hari Angin Ahmar Sedunia. Di Singapura, lebih 8,300 kes angin ahmar dicatatkan pada 2018 - naik 5 peratus berbanding sekitar 7,900 kes pada 2017.
Hakikatnya, mengetahui tanda-tanda serangan angin ahmar boleh membantu menyelamatkan nyawa.
Itulah yang dialami seorang anak apabila bapanya sendiri diserang strok di depan matanya.
TIDAK BERPENYAKIT KRONIK TAPI DISERANG ANGIN AHMAR
Encik Zailani Mahmood, 66 tahun, sebelum ini bekerja sebagai pemandu forklif.
Beliau tidak menghidap penyakit kencing manis mahupun darah tinggi. Namun, beliau banyak merokok, bahkan pernah menghabiskan tiga pek rokok setiap hari.
Namun pada Jun tahun ini, sedang Encik Zailani menantikan waktu solat Maghrib di rumah, beliau tiba-tiba diserang angin ahmar.
"Tiba-tiba saya rasa kepala saya pening, mabuk. Saya beritahu anak "apasal kepala bapa mabuk?" Nak angkat tangan saya nak pegang di kepala itu sudah tak boleh. Terus tangan saya jadi keras, kaku dan lepas itu saya dah tak tahu apa yang berlaku.
"Bila saya sedar lagi sekali, saya sudah di hospital tapi dekat hospital mana pun saya tak tahu. Kaki pun tak boleh angkat, cakap pun dah tak boleh. Buka mata pun tak boleh," kata Encik Zailani yang dikejarkan ke Hospital Besar Changi.
Encik Zailani bertuah kerana hanya terpaksa tinggal di hospital selama tiga hari memandangkan keadaanya bertambah baik. Walaupun boleh berjalan, beliau dapati pergerakan dan ingatannya terjejas sedikit. Atas sebab-sebab kesihatan, Encik Zailani juga sudah diberhentikan kerja.
MINAT ANAK MEMBACA TENTANG KESIHATAN BANTU SELAMATKAN AYAH
Mujur ketika kejadian itu berlaku, anak keduanya, Cik Salinah Zailani, 41 tahun kenal dengan simptom-simptom angin ahmar.
Dengan pantas beliau segera memanggil ambulans.
Cik Salinah sebelum ini mengenali simptom atau tanda-tanda penyakit angin ahmar, yang dikenali sebagai 'FAST'.
Pertama, simptom yang menunjukkan sebahagian wajah pesakit menjadi bengot. Kedua, tangan pesakit tiba-tiba menjadi lemah dan tidak bermaya. Ketiga, pesakit sukar untuk bercakap. Jika semua itu berlaku, anda hendaklah segera menghubungi ambulans untuk segera mengejarkan pesakit ke hospital.
Ternyata, minat Cik Salinah untuk membaca dan mendalami tentang isu-isu kesihatan dan kesejahteraan diri telah membantu menyelamatkan nyawa ayahnya.
"Ini adalah kejadian pertama kali yang saya saksikan. Saya pernah membaca dan mendengar tentang angin ahmar. Saya baca tentang fungsi-fungsi otak dan lain-lain lagi tapi saya tidak pernah nampak ia secara nyata dan jelas sehingga ia berlaku kepada ayah saya sendiri.
"Saya bersyukur ketika kejadian itu berlaku, ayah saya menyuarakan tentang apa yang dialaminya - simptom-simptomnya. Jadi saya rasa kalau sesiapa yang mengalami serangan angin ahmar, jangan berdiam diri," kata Cik Salinah.
MASYARAKAT MELAYU MENUNJUKKAN RISIKO TINGGI ANGIN AHMAR
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) angin ahmar adalah penyebab kematian yang keempat paling tinggi di Singapura.
Konsultan dari Jabatan Neurologi, Institut Neurosains Nasional (NNI) (Kampus SGH), Dr Pang Yee Hau juga mendapati, jumlah pesakit juga semakin meningkat tidak kira usia dan bangsa.
"Melalui pengalaman saya, saya telah bertemu dengan pesakit dari pelbagai bangsa. Tapi menurut rekod Pendaftar Penyakit Negara (NRDO), bangsa Melayu adalah dalam kalangan pesakit angin ahmar yang paling tinggi di antara semua bangsa di Singapura.
"Jadi keadaan ini amat membimbangkan terutamanya rekod juga menunjukkan bangsa Melayu menghidap penyakit berpanjangan seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung adalah antara yang tertinggi di antara bangsa-bangsa lain," kata Dr Pang yang pernah menemui pesakit semuda 18 tahun yang diserang angin ahmar.
Namun, Dr Pang percaya, pesakit angin ahmar berupaya segera pulih sekiranya mereka diberikan rawatan secepat mungkin. Paling cepat adalah dalam beberapa hari sahaja dan pesakit sudah boleh berjalan.
"Biasanya kami beri ubat melalui titisan darah jadi ubat itu memang kuat untuk memecahkan pembekuan darah. Kalau kami dapati darah beku itu masih terdapat di saluran darah besar, rawatan yang baru dipanggil trombektomi mekanikal akan diberikan. Ia melibatkan prosedur di mana doktor memasukkan tiub melalui saluran besar ke dalam otak dan gumpalan yang menyumbat disedut keluar dari otak pesakit. Jadi kedua-dua rawatan ini telah terbukti boleh mempercepat pemulihan pesakit angin ahmar," ujar Dr Pang.
Menurut Dr Pang lagi, menjaga pemakanan serta melakukan aktiviti-aktiviti sihat boleh mencegah penyakit angin ahmar.
Bagi Encik Zailani, beliau kini sudah cukup serik dan enggan pisang berbuah dua kali.
Kini beliau mengaku "takut" dengan makanan yang banyak kolesterol. Beliau juga lebih banyak bersenam dan sudah berhenti merokok.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.