Bapa dua anak dijel, denda dan sebat kerana cabul amah ketika keluarga keluar melancong
Sedang keluarganya bercuti di luar negara, seorang lelaki mengambil kesempatan untuk mencabul kehormatan pembantu rumah mereka.
Gambar hiasan.
SINGAPURA: Sedang keluarganya bercuti di luar negara, seorang lelaki mengambil kesempatan untuk mencabul kehormatan pembantu rumah mereka.
Stanley Cheng Kim Han, 44 tahun dijatuhi hukuman penjara 11 bulan, tiga sebatan dan didenda S$5,000 hari ini (2 Okt) atas kesalahan-kesalahan tersebut.
Cheng merancang untuk membuat rayuan terhadap hukuman itu.
Dia didapati bersalah atas dua tuduhan mencabul kehormatan mangsa, yang tidak boleh didedahkan identitinya atas perintah mahkamah.
Mahkamah diberitahu bahawa Cheng sudah berkhidmat dengan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) selama 22 tahun dan dia tinggal bersama isterinya, dua orang anak mereka dan mertuanya.
Mangsa mula bekerja dengan keluarga itu pada lewat September 2016 setelah meninggalkan kampung halaman di Myanmar untuk bekerja di luar negara buat pertama kali.
Pada 27 November 2016, keluarga Cheng melancong ke China dan meninggalkan mangsa dan Cheng seorang diri di rumah.
Keesokan malam, Cheng mengekori mangsa ke bilik tidur dan menyandarkan kepalanya pada bahu mangsa. Mangsa bertindak dengan memalingkan tubuhnya.
Pada hari seterusnya, Cheng masuk ke dalam bilik tidur utama untuk meletakkan pakaian lusuh ke dalam bakul sedang mangsa mencuci tab mandi.
Berdasarkan keterangan mangsa, Cheng kemudian memeluknya daripada belakang dan menyentuh payudaranya.
Tindakan Cheng itu membuat mangsa berasa takut.
Setelah Cheng keluar daripada flat itu, mangsa menghubungi agensi pembantu rumah untuk melaporkan kejadian itu.
Seorang pengurus agensi kemudian menghubungi Cheng tentang tuduhan itu dan menyuruhnya membuat aduan polis.
Cheng berbuat demikian pada 30 November 2016 meskipun tidak berniat untuk ke balai polis.
TERTUDUH MENYALAHGUNAKAN KEDUDUKAN SEBAGAI MAJIKAN MANGSA: HAKIM
Hakim Daerah Edgar Foo berkata beliau akur bahawa tiada berlaku sebarang persetubuhan atau sentuhan secara langsung berdasarkan tuduhan pertama di mana Cheng menyandarkan kepalanya pada bahu mangsa.
"Walau bagaimanapun, saya bersetuju bahawa memandangkan ia melibatkan hubungan antara kedua-dua pihak, iaitu situasi antara majikan dengan pembantu rumah, maka ada berlaku salah guna amanah," kata Hakim Daerah Foo.
"Tertuduh menyalahgunakan kedudukannya sebagai majikan dan mengambil kesempatan apabila mereka berdua di rumah ketika ahli keluarga yang lain ke luar negara. Sebagai seorang majikan, tugas atau tanggungjawabnya adalah untuk melindungi (pembantu rumah itu) dan bukan sebaliknya."
Bagi kesalahan kedua, Hakim Foo berpendapat ia dirancang terlebih dahulu dan dilakukan dalam ruang sempit di tandas bilik tidur.
"Saya berpendapat terdapat bukti yang menunjukkan mangsa berasa takut dan trauma akibat kejadian itu," kata Hakim Foo lagi.
Menurut Hakim Foo, meskipun Cheng berhak untuk dibicarakan, peguam bela cuba merosakkan kewibawaan mangsa dengan membuat andaian bahawa amah itu berpakat dengan seorang lagi amah.
Cheng juga tidak menunjukkan rasa kesal terhadap perbuatannya dan
membayangkan dalam keterangannya kepada pihak polis bahawa mangsa sebaliknya menuduh dia merogolnya.
Menurut pihak pendakwa, ia adalah satu pembohongan.
"Satu perkara yang menimbulkan kemusykilan saya saya ialah perbuatan suspek menukar dan menanggal pakaian tanpa menghiraukan sama ada mangsa akan melihatnya dalam keadaan sedemikian. Ini jelas menunjukkan tingkah lakunya yang tidak tahu malu," ujar Hakim Foo lagi.
Peguam Bela Gino Hardial Singh yang mengambil alih kes itu hari ini daripada peguam T M Sinnadurai berkata anak guamnya merancang untuk membuat rayuan terhadap hukuman itu.
Hakim meluluskan ikat jamin S$20,000 bergantung kepada rayuan yang bakal dikemukakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.