Bapa dipenjara rogol anak remaja 2 kali, mencabulnya sejak usia 13 tahun
Seorang lelaki yang hubungannya dengan isteri renggang sanggup menjadikan anak kandungnya sendiri yang bawah umur untuk melepaskan nafsu. Dia pertama kali mencabul kehormatan anaknya itu ketika berusia 13 tahun dan kemudian merogolnya sebanyak dua kali.
Tukul kayu mahkamah. (Gambar: AFP)
SINGAPURA: Seorang lelaki yang hubungannya dengan isteri renggang sanggup menjadikan anak kandungnya sendiri yang bawah umur untuk melepaskan nafsu. Dia pertama kali mencabul kehormatan anaknya itu ketika berusia 13 tahun dan kemudian merogolnya sebanyak dua kali.
Perbuatannya terbongkar setelah seorang guru bertanya kepada mangsa, yang kini berusia 16 tahun, mengapa dia ingin larikan diri dari rumah.
Bapanya yang berusia 50 tahun itu, tidak boleh didedahkan namanya demi melindungi identiti mangsa. Dia dijatuhi hukuman penjara 24 tahun pada Rabu (26 Feb).
Mahkamah diberitahu bahawa lelaki tersebut berusia 48 tahun seorang dan bekerja sebagai teknisyen ketika melakukan kesalahan itu. Dia tinggal bersama isterinya, 39 tahun, dan dua anak di sebuah flat.
Semua anggota keluarga adalah warganegara China dengan status penduduk tetap Singapura.
Timbalan Pendakwa Raya April Phang, Andrew Low dan Jamie Pang memaklumkan pasangan itu tidur berasingan kerana sudah bertahun hubungan mereka renggang.
Lelaki itu mula menyimpan hasrat terhadap anak perempuannya untuk memuaskan nafsunya. Dia kali pertama menyentuh anaknya secara tidak wajar pada awal tahun 2018 ketika mangsa berusia 13 tahun.
Walaupun remaja itu tidak bersetuju dengan tindakan ayahnya, dia akur berasa takut untuk membantah.
Bapanya juga seorang yang panas baran dan pernah mendisiplinkan anaknya dengan memukul atau menamparnya, menurut dokumen mahkamah.
Penderaan seksual berlarutan berbulan-bulan antara awal 2018 hingga Mei 2018.
Lelaki tersebut mula merogol gadis itu ketika dia berusia 13 tahun, pada satu hari Ahad pada Mac 2018.
Dia merogol mangsa buat kali kedua pada satu pagi Ahad sebulan kemudian pada April 2018, kali ini tanpa menggunakan kondom.
Kesalahan tersebut akhirnya terbongkar pada Oktober 2018 apabila guru pelajar itu bercakap dengannya, setelah mendapat tahu mangsa ingin melarikan diri dari rumah.
Selepas disoal, mangsa akhirnya memberitahu guru berkenaan dia disentuh dengan cara tidak senonoh oleh bapanya.
Polis dimaklumkan berkenaan kes itu dan lelaki tersebut ditangkap.
Penilaian psikiatrik ke atas mangsa mendapati dia mematuhi kehendak bapanya kerana berasa tidak ada pilihan dan takut terhadapnya.
Menurut laporan itu lagi, gadis tersebut kadang-kadang "merasa sesak nafas tanpa sebab" dan dia beberapa kali menemui kaunselor sekolahnya.
Lelaki itu mengaku bersalah pada Rabu atas dua dakwaan merogol, dengan lapan lagi tuduhan mencabul kehormatan diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.
Lelaki itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun atas setiap dakwaan rogol dan didenda. Dia tidak boleh disebat kerana berusia 50 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.