Skip to main content

Singapura

Bapa didenda S$5,000; menyamar sebagai pengawal peribadi puteri Selangor gara-gara mahu temankan anak perempuan ke konsert K-pop

Anggaran Waktu Membaca:
Bapa didenda S$5,000; menyamar sebagai pengawal peribadi puteri Selangor gara-gara mahu temankan anak perempuan ke konsert K-pop

Enhypen membuat persembahan di sebuah konsert. (Gambar fail: Ahn Young-joon/AP)

SINGAPURA: Seorang lelaki mahu anak perempuannya menghadiri sebuah konsert K-pop di Stadium Tertutup Singapura, tetapi bimbang akan keselamatannya dan tidak mahu anak remajanya beratur panjang untuk memasuki dewan konsert.

Dia kemudian menggunakan muslihat seolah-olah anak perempuannya adalah seorang puteri daripada kerabat diraja Selangor dan berpura-pura menjadi pengawal keselamatan yang mengiringinya ke konsert itu.

Tipu daya mereka terbongkar apabila penganjur acara tersebut menyedari mereka bukan seorang puteri dan pengawal peribadi, dan lelaki tersebut didenda S$5,000 oleh mahkamah pada Isnin (29 Jul).

Identiti rakyat Singapura berusia 49 tahun itu tidak boleh didedahkan kerana anak perempuannya masih bawah umur, menurut Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda.

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan bersekongkol dengan anak perempuannya untuk menipu dengan menyamar diri, dengan tuduhan kedua iaitu memasuki premis secara haram turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

"PUTERI" DAN PENGAWAL PERIBADINYA

Mahkamah diberitahu bahawa anak perempuan lelaki terbabit, yang berusia 17 tahun, membeli tiket bagi dua persembahan Jelajah Dunia Enhyphen di Singapura pada Januari 2024.

Bapanya membantu membiayai harga tiket yang dibeli anaknya serta seorang rakan.

Pada 20 Jan, pesalah menghubungi penganjur acara Anschutz Entertainment Group (AEG) selepas mendapatkan nombor telefon mereka secara online.

Dia memberitahu pihak penganjur bahawa seorang puteri daripada keluarga diraja Selangor akan menghadiri konsert berkenaan pada 20 dan 21 Jan, dan telah memperolehi tiket bagi konsert tersebut.

Menjelaskan bahawa dia adalah pengawal peribadi puteri itu, lelaki tersebut memberitahu pihak penganjur bahawa dia tidak mempunyai tiket ke konsert berkenaan. Dia meminta akses untuk menjaga keselamatan puteri tersebut.

Sebagai respons, pihak penganjur memintanya datang ke konsert lebih awal pada 20 Jan untuk membantu memudahkan kemasukannya. Lelaki tersebut kemudian mengongsi muslihat itu dengan anak perempuannya.


Menurut kertas pertuduhan, dia berbuat demikian agar anak perempuannya tidak perlu beratur untuk memasuki konsert tersebut, dan supaya dia dapat mengawasinya sepanjang tempoh konsert,

Pada 20 Jan, lelaki tersebut, anak perempuannya serta rakannya pergi ke konsert itu bersama-sama.

Lelaki tersebut lengkap berpakaian sut agar kelihatan seperti seorang pengawal peribadi.

Sebaik tiba di lokasi konsert, lelaki itu memberitahu pihak penganjur bahawa dia adalah pengawal peribadi puteri tersebut.

Dia diberi lanyard dan dua gelang tangan bagi kemasukan awal untuk dua tarikh konsert itu. Kedua-dua remaja tersebut tidak diberikan tiket atau pas khas, memandangkan tiket mereka sah.

Ketika konsert sedang berlangsung, lelaki itu berdiri di kawasan pintu masuk stadium, di mana dia dapat mengawasi anak perempuannya.

Selepas konsert berakhir, mereka meninggalkan tempat itu bersama-sama.

Seorang pengurus acara di Hab Sukan Singapura bagaimanapun mula mencurigai tindak-tanduk lelaki itu dan memberitahu pasukan keselamatan serta Stadium Tertutup Singapura bahawa dia mungkin bukan seperti yang didakwanya.

Mereka kemudian mengesahkan bahawa anak perempuannya bukan puteri Selangor yang dimaksudkan itu. Pihak penganjur kemudian membuat aduan kepada pihak polis.

Pihak polis dihubungi apabila mereka bertiga datang pada keesokan harinya bagi konsert kedua.

Bagi kesalahan menipu dengan menyamar diri, dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.

Mediacorp sudahpun menghubungi AEG dan Hab Sukan Singapura berhubung kes itu, termasuk bertanya mengapa bapa itu diberikan akses ke konsert tersebut.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita